100 Kata Pujian Buat Nabi Muhammad Daripada Maharaja Hongwu

1,637

Hubungan antara dunia Islam dan China terjalin sejak kira-kira 20 tahun sesudah kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w. lagi, iaitu apabila pada tahun 651M semasa berlangsungnya pemerintahan Khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan, salah seorang sahabat baginda yang bernama Sayyidina Saad ibn Abi Waqqas tiba dan menyebarkan agama Islam di negara berkenaan yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Dinasti Tang (618-907M).

Merentas peredaran sejarah,muncul beberapa figura terkemuka yang berpengaruh besar dalam menyebarkan agama Islam di China. Antara yang paling menonjol adalah Syed Umar Shams al-Din (Sayyid al-Ajall) yang dilantik sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran Dinasti Yuan (1279-1368M).

Pengaruh yang dimainkannya itu sempat diabadikan oleh Marco Polo dalam catatannya semasa mengunjungi empayar berkenaan. Dalam khidmatnya di masa terkemudian, Sayyid al-Ajall ditugaskan untuk mentadbir Yunnan dan sejarahwan memerincikannya sebagai seorag yang membawa ‘ketamadunan’ di Yunnan.

Pendakwah-pendakwah Islam di China tidak hanya menyebarkan agama Islam menerusi tutur bicara ataupun tingkah laku yang mulia, akan tetapi mereka turut meraikan sebarang elemen terpuji yang terdapat dalam tradisi tempatan yang bersesuaian dengan ajaran Islam. Sayyid al-Ajall misalnya, menyatukan komuniti pimpinannya dengan menubuhkan sekolah-sekolah Konfusianisme.

Walaupun Islam menerima penerimaan pada peringkat tertinggi semasa pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644), tradisi Islami-Konfusianisme tidak mencapai masa-masa kemuncak melainkan pada era Dinasti Qing (1644-1911M) yang memperlihatkan ahli-ahli teologi, metafizik dan pemikir Islam di China mula lahir bagaikan cendawan selepas hujan. Ilmuwan-ilmuwan ini kemudiannya menubuhkan sekolah-sekolah falsafah yang memperkenalkan tradisi ‘Han Kitab’, yang mempromosikan pemikiran Islami-Confucian dengan antara pelopor utamanya adalah Wang Daiyu (1660).

Sehingga ke hari ini, populasi umat Islam di China mencapai 1-2% dari populasi keseluruhan negara berkenaan, dengan terdapat lebih 39 000 buah masjid di sana. Walau bagaimanapun, nasib umat Islam di sana terutama daripada etnik Uyghur amat membimbangkan dan kita sama-sama doakan kesejahteraan buat mereka, baik sebagai saudara seagama mahupun sebagai saudara semanusia.

Justeru dalam artikel kali ini, mari kita memperingati kembali riwayat hidup seorang maharaja Cina yang ulung, yang walaupun bukanlah seorang Muslim, akan tetapi sempat mengabadikan penerimaannya terhadap agama Islam dan pujiannya terhadap baginda Nabi menerusi sebuah syair.

KEHIDUPAN AWAL MAHARAJA HONGWU

Maharaja Hongwu, atau nama asalnya, Zhu Chonga dilahirkan pada 21 Oktober 1328 di Haozhuo (Anhui moden) dalam sebuah keluarga lima-beradik yang sangat miskin. Teruknya tahap kemiskinan yang dialami oleh keluarga baginda sampaikan sejarahwan menyebutkan bahawa mereka kerap berpindah-randah semata-mata mahu menghindari dari pengutip sewa.

Kehidupan keluarga Zhu bertambah buruk apabila China diserang wabak penyakit yang menular pada tahun 1340an, di mana ia meragut nyawa bapa dan abang sulung Zhu Chongba. Hal ini mengakibatkan keluarga mereka kehilangan tempat bergantung; ketua keluarga yang boleh mencarikan tempat untuk berteduh dari hujan atau panas, yang boleh menyediakan walau sesuap nasi.

Justeru ketika berusia 16 tahun, Zhu terpaksa meneruskan hidup di sebuah kuil Buddha di Anhui sebagai seorang sami, atau paling tidak, pengkhidmat kuil. Kehidupan sebegini sememangnya menjadi pilihan lazim bagi individu yang datang daripada keluarga miskin kerana dengan cara ini, mereka boleh mendapatkan tempat untuk berteduh dan jika beruntung, makanan untuk mengalas perut.

Walau bagaimanapun, kehidupan di kuil ini juga berlangsung sukar sehingga pada suatu tahap, baginda terpaksa mengemis meminta makanan di jalanan. Pada waktu itu, populasi China secara keseluruhannya terutama di bahagian tengah dan utara mengalami kepayahan hidup. Tidak kurang yang mengalami kebuluran akibat kemarau dan ketidakprihatinan pemerintah Yuan pada waktu itu.

Dalam kesempatan itu, Zhu Chongba mengembara di bahagian tengah Cina selama bertahun-tahun sebelum pada usia 24 tahun, baginda kembali semula ke kuil yang sudah dianggap sebagai rumahnya di Anhui itu. Namun tidak lama kemudian, kuil tersebut dimusnahkan oleh tentera kerajaan sekaligus menjadikan Zhu Chongba sebagai seorang gelandangan.

https://qph.fs.quoracdn.net/main-qimg-f464ae4b19c965a926831d311140309c
Zhu Chongba (Maharaja Hongwu) menyertai Pemberontakan Serban Merah pada usia 24 tahun

Kehidupan awalnya diwarnai dengan ranjau-ranjau yang berduri, yang tusukannya cukup perit sehingga membuatkan Zhu Chonga terus mengingati penderitaan yang pernah dialaminya itu walau sesudah memerintah sebagai seorang maharaja kelak dan menterjemahkannya ke dalam bentuk empati dan bantuan yang dihulurkan buat petani-petani miskin.

Walaupun menjalani usia muda sebagai seorang yang miskin, berkat hidup di dalam kuil di Anhui tersebut membolehkan Zhu Chongba tumbuh mendewasa sebagai seorang yang celik huruf dan berpendidikan dalam ajaran Buddhisme.

Pun begitu, ketaatannya terhadap ajaran Buddhisme sama sekali tidak menghalangnya untuk mengamalkan prinsip-prinsip Confucian di usia lanjutnya. Baginda bahkan dicatatkan sempat menulis edisi sendiri bagi buku Mencius (372-289SM), seorang ilmuwan Confucian yang ulung.

KEHIDUPAN MAHARAJA HONGWU SEBAGAI KETUA PEMBERONTAK

Sejak kurun ke-13 Masehi, China diperintah oleh Dinasti Yuan yang kekuasaannya itu berlangsung selama sekitar 100 tahun. Walaupun sejarahnya dimulakan dengan keluarga penakluk hebat, Kublai Khan si cucu kepada Genghis Khan, Dinasti Yuan mengalami kemerosotan secara bertahap tetapi pasti menerusi beberapa faktor seperti kemiskinan, wabak penyakit, bencana banjir, jenayah rompakan yang meluas dan juga pemberontakan rakyat, di samping pertelagahan sesama sendiri dalam kelas atasan.

Pasukan pemberontak yang paling menonjol dalam penentangan terhadap kerajaan Yuan adalah Gerakan Serban Merah, yang dinamakan bersempena kain lilit kepala berwarna merah yang dikenakan oleh setiap anggotanya – mirip dengan Gerakan Serban Kuning yang meruntuhkan Dinasti Han kira-kira 1000 tahun lebih awal.

https://whc.unesco.org/uploads/thumbs/site_1443_0001-1200-630-20140622124244.jpg
Pemandangan Terusan Besar di zaman moden, bayangkan terusan ini dibina dengan tangan manusia

Gerakan ini mempunyai akar yang kembali kepada gerakan keagamaan yang dikenali sebagai Teratai Putih, sebuah gerakan yang ditubuhkan sebagai tindak balas rakyat terhadap penindasan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat terutama ketika mereka dikerah sebagai buruh paksa untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan Terusan Besar dan Sungai Kuning. Pemberontakan Serban Merah ini bergiat secara aktif di bahagian utara dan sedikit ke tengah Empayar China.

Pada tahun 1352, sebuah pasukan pemberontak yang dipimpin oleh seorang Muslim bernama Guo Zixing menyerang Haozhuo, wilayah kelahiran Zhu Chongba. Zhu Chongba yang ketika itu berusia 24 tahun mengambil keputusan untuk menyertai pasukan ini dan sebagai memperingati peristiwa bakal menjadi titik perubahan dalam hidupnya, baginda mengubah nama menjadi Zhu Yuanzhang. Kualiti kepimpinan dan latar-belakang berpendidikan yang dimilikinya membolehkan baginda mendaki tangga hierarki dengan pantas sehingga baginda diperakui sebagai orang nombor dua dalam pasukan pemberontak berkenaan.

Hal ini sempat mencetuskan pertegangan antara Zhu dan Guo, namun ia berjaya diredhakan setelah Zhu mengahwini puteri angkat Guo, iaitu Ma yang memainkan peranan penting dalam mendamaikan hubungan mereka berdua.

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/2/2a/%E5%AD%9D%E6%85%88%E9%AB%98%E7%9A%87%E5%90%8E.jpg
Potret Permaisuri Ma

Pada tahun 1353, Zhu dan pasukan pemberontaknya berhasil menguasai Chuzhou (juga terletak di Anhui moden). Memasuki tahun 1355, Guo Zixing meninggal dunia dan kedudukannya diambil-alih oleh Zhu Yuanxhang. Baginda menghalakan serangannya ke arah timur China dan berupaya menguasai sejumlah bandar di sana.

Kekuatannya dipusatkan di sekitar delta Sungai Yangzte (Chang Jiang). Sepanjang kempen pemberontakannya itu, terutama ketika berada di Chang Jiang, Zhu Yuanzhang bertembung dengan ramai pahlawan dan cendekiawan yang sebahagiannya menawarkan khidmat untuknya. Justeru, jumlah pengikut baginda pada waktu ini dipercayai mencecah 20 000 – 30 000 orang.

Dalam pada itu, Zhu Yuanzhang juga berkesempatan mempelajari dengan lebih lanjut sejarah Cina dan kitab-kitab klasik Confucius serta prinsip-prinsip pentadbiran di bawah tunjuk ajar cendekiawan-cendekiawan Confucian yang direkrutnya itu. Selain mula menyerap pemahaman Confucianisme, tahap ini juga menyaksikan Zhu Yuanzhang mula menampilkan imej diri dan pasukannya sebagai pejuang yang membela nasib rakyat dan bukan hanya sekadar pemberontak yang mahu menggulingkan kerajaan.

Pada masa-masa inilah baginda memfokuskan cita-cita gerakan pemberontakan Serban Merah tidak hanya sekadar untuk mengembalikan Dinasti Song (960-1279), sebaliknya menubuhkan hegemoni tersendiri.

ZHU YUANZHANG MENGAMBIL-ALIH TAMPUK PEMERINTAHAN CHINA

Maka pada tahun 1356, hanya setahun sesudah menjadi ketua pemberontak dan empat tahun selepas menyertai pasukan berkenaan, Zhu Yuanzhang mengepalai pasukannya menuju ke Nanjing, ibu kota Yuan. Nanjing berjaya dikuasai dan Dinasti Yuan habis digulingkan, walaupun saki-baki kekuasaannya masih lagi tersisa.

Selepas mengisytiharkan diri sebagai pangeran Wu, Zhu Yuanzhang menubuhkan orde pemerintahan tersendiri yang efektif dengan bantuan cendekiawan-cendekiawan yang memainkan peranan sebagai menteri. Baginda menggalakkan pertanian dengan mengurniakan tanah-tanah terbiar kepada rakyat yang belum memiliki tanah untuk diusahakan.

Pada masa-masa ini, Zhu tampil sebagai salah seorang ketua yang paling terkemuka di China, dengan hanya disaingi oleh beberapa seterus seperti Chen Youliang dan Zhang Shicheng. Cheng Youling adalah individu yang sudah pun menabalkan dirinya sebagai maharaja Han pada tahun 1360, dan kekuasaannya berpusat di Wuchang (wilayah Hebei) dan mendominasi sebahagian besar wilayah tengah China. Zhang Shicheng pula menamakan dirinya sebagai Putera Cheng dari Dinasti Zhou, berpangkalan di Pingjiang (kini Suzhou) di timur.

Untuk merealisasikan cita-citanya yang mahu membentuk dinasti baharu, seteru-seteru tersebut terlebih dahulu perlu ditundukkan. Maka pada tahun 1363, sebuah pertempuran naval berlaku di Tasik Poyang, melibatkan jong-jong p3rang Chen Youliang dan tongkang-tongkang kecil milik armada Zhu Yuanzhang. Pertempuran penentu tersebut berlangsung selama tiga hari dan berakhir dengan memihak kepada Zhu. Chen sendiri terkorban dan armada p3rangnya habis musnah. Kubu kuat Chen, iaitu Wuchang ditawan pada tahun 1364 dan kemudian, disusuli oleh penaklukan Hubei, Hunan dan Jiangxi.

Tiga tahun kemudian, iaitu pada 1367, seorang individu yang mendakwa diri sebagai pewaris sah Dinasti Song, iaitu Han Li’er mencari suaka politik di Nanjing kerana berasa terancam dengan kehadiran tentera Monggol di kubunya, Chuzhou. Ketika diiringi oleh salah seorang tentera Zhu, Han Li’er m4ti lemas apabila perahu yang dinaikinya karam. Sebahagian sejarahwan menyebutkan bahawa Zhu memainkan peranan dalam kejadian tersebut.

Pada tahun yang sama, Zhang Shicheng ditangkap dan dibawa ke Nanjing, di mana baginda membvnuh diri di sana sekaligus meninggalkan Zhu Yuanzhang sebagai individu paling berkuasa di China pada waktu itu.

Setelah keadaan mula relatif tenang dan aman berkat penghantaran ketumbukan demi ketumbukan tentera di bawah kepimpinan panglima seperti Xu Da dan Chang Yuchun, maka Zhu Yuanzhang pun mengambil peluang untuk menabalkan dirinya sebagai maharaja pada tanggal 23 Januari 1368. Dengan itu, maka secara rasminya Dinasti Ming (bermaksud ‘cerah’) tertubuh dan berpusat di Nanjing. Sebagai maharaja, Zhu Yuanzhang memakai gelaran Hongwu dan kadangkala disebut sebagai Taizu.

https://www.ancient.eu/img/r/p/750x750/10045.jpg?v=1569516165
Potret Maharaja Hongwu

Baginda meraih penguasaan mutlak ke atas China selepas berjaya menawan Shandong dan Henan, sementara maharaja terakhir Yuan, iaitu Shundi melarikan diri ke Mongolia pada bulan Ogos 1368. Walaupun kekuatan Dinasti Yuan masih lagi tersisa di China sekaligus membuatkannya tidak tumbang secara muktamad, akan tetapi sejarah secara rasmi menyatakan bahawa pemerintahan Dinasti Yuan berakhir pada waktu itu.

Saki-baki pengaruhnya tumbang dengan mudah apabila tentera-tenteranya di bahagian barat laut, dan kemdian di barat daya ditundukkan oleh Maharaja Hongwu. Penyatuan China secara menyeluruh hanya selesai dilakukan pada tahun 1382 Masehi, kira-kira 14 tahun sesudah kenaikan takhta Zhu Yuanzhang.

POLISI PENTADBIRAN MAHARAJA HONGWU

Walaupun catatan sejarah menyifatkan pentadbiran Maharaja Hongwu sebagai tirani, atau lebih tepat, bersifat despotik, akan tetapi sejarawan juga tidak menafikan hakikat bahawa Maharaja Hongwu banyak memelihara kebajikan rakyat dan membantu petani miskin, di samping mempergiatkan tahap pendidikan populasi empayarnya.

Perkara ini agak munasabah jika kita mempertimbangkan latar belakangnya baik sebagai seorang miskin yang pernah kebuluran mahupun sebagai seorang pemberontak yang menggulingkan kerajaan. Dalam bersimpati terhadap nasib rakyatnya yang dilanda kemiskinan, corak pentadbirannya juga dipengaruhi dengan pesimistik yang lahir dari kerisauannya bakal digulingkan dengan cara yang sama seperti baginda menggulingkan Dinasti Yuan.

Sebagai maharaja yang budiman, Maharaja Hongwu kerap mengagihkan pemilikan tanah kepada rakyat jelata untuk diusahakan dengan aktiviti pertanian. Menerusi kod undang-undang (Da ming li) yang digubalnya, baginda merekod dan mendaftarkan pemilikan hartanah tersebut dengan tujuan supaya ia tidak dirampas dari tangan mereka. Undang-undang tersebut juga merangkumi polisi percukaian, polisi pewarisan status ketenteraan bagi rakyat di wilayah yang terancam, polisi perdagangan antarabangsa yang lebih ketat, dan juga polisi peruftian dari negara-negara jiran yang dikembalikan seperti dahulukala.

Maharaja Hongwu turut mengusahakan projek-projek awak seperti pembinaan empangan, terusan dan pengairan yang dibangunkan demi kepentingan rakyat jelata. Menurut catatan sejarah, kadar cukai tanah di zaman pemerintahannya juga dipercayai relatif rendah. Untuk meminimakan kos perlindungan hartanah rakyat dan memaksimakan tahap keefisienan pengawalan keselamatan, baginda turut mengurniakan pemilikan tanah kepada kelas tentera. Dengan demikian, tentera yang menerima ganjaran tersebut tidak hanya memelihara tanah pemilikannya, malah juga tanah pertanian di sekitarnya.

Rentetan polisi ekonomi Maharaja Hongwu yang tidak banyak bergantung pada perdagangan antarabangsa dan lebih cenderung untuk mematuhi doktrin ajaran Confucian yang lebih mengutamakan pertanian, maka sektor berkenaan menerima tumpuan utama daripada kerajaan.

https://cmsmcgregor.weebly.com/uploads/5/9/0/7/59073555/9532388_orig.png
Lukisan yang menggambarkan peperiksaan yang diduduki untuk memohon jawatan kerajaan

Sebagai produk dari sistem pendidikan percuma agama Buddha, Maharaja Hongwu turut menganjurkan polisi pendidikan percuma buat kesemua rakyatnya. Untuk melahirkan cendekiawan-cendekiawan berbakat bagi menjawat profesion kerajaan, baginda memerintahkan penubuhan sekolah-sekolah secara meluas di setiap peringkat pada tahun 1369. Pada tahun berikutnya pula, baginda memperkenalkan semula sistem peperiksaan sebagai langkah untuk merekrut pegawai kerajaan. Polisi peperiksaan sebegini terus diamalkan sehingga kurun ke-20 Masehi.

Polisi pendidikan yang diusahakan dengan giat oleh Maharaja Hongwu ini menjadikan zaman pemerintahannya secara khusus, atau Ming secara umum sebagai zaman di mana sekolah-sekolah ditubuhkan dengan begitu pesat jika dibandingkan dengan zaman-zaman lain dalam sejarah Cina. Dari sudut kesenian pula, walaupun ia hanya mencapai masa kemuncak pada zaman pemerintahan maharaja-maharaja Ming yang lebih terkemudian, akan tetapi Maharaja Hongwu sempat menubuhkan akademi lukisan di Nanjing.

Dalam polisi hubungan antarabangsa pula, Maharaja Hongwu berupaya meluaskan prestij Ming. Wilayah selatan Manchuria berhasil ditakluk manakala wilayah-wilayah jauh seperti Korea, Kepulauan Ryukyu, Annam dan negara-negara lain kembali menghantar ufti sebagai perakuan terhadap pemerintahan Hongwu sebagai Maharaja Ming.

Konflik dengan Monggol terus berlanjutan di mana baginda menghantar sejumlah ekspedisi ketenteraan yang berjaya menembusi sehingga ke Asia Tengah dan sempat bertembung dengan Timurlane si penakluk agung. Pun begitu, kempennya di timur Cina tidak meraih kejayaan yang memberangsangkan apabila pasukan tenteranya tidak mampu menangani lanun-lanun Jepun (wokou) yang menghuru-harakan wilayah pesisiran China. Masalah ini hanya ditundukkan oleh pengganti-penggantinya.

Walau bagaimanapun, demi memelihara takhtanya, Maharaja Hongwu juga sering bertindak kejam, tidak rasional dan sering memasang syak-wasangka terhadap menteri-menterinya. Jika ada menteri yang kurang menyenangkan hatinya, baginda tidak teragak-agak untuk menyebatnya dengan buluh yang kadangkala mengakibatkan maut. Baginda juga lazim menjatuhkan hukuman m4ti ke atas sesiapa sahaja yang disyaki menentangnya. Bukan hanya orang yang disyaki sahaja menerima hukuman, akan tetapi keluarga dan rakan-rakannya juga turut menerima nasib yang sama.

Pada tahun 1376 misalnya, ribuan menteri dikenakan hukuman kerana menurut Maharaja Hongwu, gagal mengendalikan cukai bijirin dengan baik. Semenjak tahun 1380 pula, dipercayai lebih 15 000 orang menjadi mangsa syak-wasagka Maharaja Hongwu apabila mereka dihukum atas tuduhan terlibat dalam komplot membvnuh baginda. Selain pegawai sivil, pegawai ketenteraan juga tidak terlepas daripada perkara ini apabila tiga orang panglima utama Ming dijatuhi hukuman pada tempoh antara tahun 1393 hingga 1395.

MAHARAJA HONGWU DAN ISLAM

Baik dipandang dengan kacamata hitam mahupun putih, ia sama sekali tidak menafikan hakikat bahawa Maharaja Hongwu adalah maharaja yang pernah mengabadikan puisi sanjungan terhadap baginda Nabi Muhammad s.a.w. menerusi puisi masyhurnya, 100 Kata Sanjungan:

https://www.themathesontrust.org/images/baizizan-2.jpg
Salinan puisi 100 Kata Sanjungan, atau bǎizìzàn

“Semenjak penciptaan alam semesta lagi,
Tuhan telah pun melantik insan teragung sebagai pemimpin.
Dari barat baginda dilahirkan,
dan menerima lembaran suci;
sebuah kitab yang mengandungi 30 bahagian,
untuk membimbing seluruh makhluk.
Ketua segala ketua,
pemimpin mereka yang suci,
dengan bantuan daripada Tuhan,
demi melindungi umatnya,
dengan solat lima waktu,
mengharapkan ketenangan dalam senyap,
tumpuan hatinya ditumpahkan kepada Allah,
memberikan kekuatan kepada yang lemah,
menyelamatkan mereka daripada bencana,
melihat menerusi pandangan ghaib,
menarik roh manusia agar menjauhi maksiat,
bagindalah rahmat buat sekalian alam.
memimpin makhluk sejak purbakala,
di jalan agung yang menghapuskan segala kejahatan.
Agamanya suci lagi benar,
bagindalah Muhammad,
insan mulia paling agung.”

Pada hari ini, sejumlah salinan puisi ini kemudiannya digantung di beberapa buah masjid di Nanjing sebagai tanda peringatan betapa besarnya pengaruh Islam di zaman pemerintahan Ming. Selain itu, Maharaja Hongwu turut memerintahkan pembinaan sejumlah masjid di Xijing, Nanjin, Yunnan, Fujian dan Guangdong.

Masjid Jinjue di Nanjing turut dibina semula dan ramai Muslim-Cina beretnik Hui dibawa masuk untuk menetap di ibu kota Ming itu. Hal ini menjadi indikasi besar bahawa baginda turut membenarkan, kalau bukan menggalakkan, penyebaran agama Islam di empayarnya.

Semenjak menjadi ketua pemberontak lagi, Maharaja Hongwu mengandalkan sebahagian kekuatannya daripada panglima-panglima Muslim. Di bawah kepimpinannya sebagai seorang maharaja, dicatatkan terdapat seramai 10 orang panglima Muslim yang berkhidmat untuknya, seperti Chang Yuchun, Lan Yu, Ding Dexing, Mu Ying, Feng Sheng dan Hu Dahai. Masing-masing memainkan peranan yang cukup besar dalam lapangan ketenteraan Ming.

Misalnya, Lan Yu pada tahun 1388 memimpin sebuah pasukan tentera diraja Ming menuju Tembok Besar Cina dan memenangi pertempuran ke atas tentera Mongol. Mu Ying pula berjasa dalam mengawal keselamatan di Yunnan dan tugas tersebut terus disambung oleh keturunannya.

https://www.chinatouradvisors.com/UpLoad/Jiangsu/Nanjing/Attractions/Mosque/Nanjing-Jingjue-Mosque-2_M.jpg
Masjid Jingjue di Nanjing

KEMANGKATAN DAN PEWARISAN TAKHTA

Maharaja Hongwu mangkat pada tanggal 24 Jun 1398 di usia 70 tahun setelah 30 tahun memerintah Dinasti Ming. Sebelum kemangkatannya, baginda yang dicatatkan mempunyai 26 orang putera menamakan putera Zhu Biao sebagai pewarisnya. Namun, Zhu Biao meninggal dunia pada tahun 1392 justeru baginda menamakan pula calon keduanya, iaitu putera sulung Zhu Biao yang bernama Zhu Yunwen. Sebagai maharaja, Zhu Yunwen menggunakan gelaran Maharaja Jianwen (1392-1402).

Namun, pemerintahan Maharaja Jianwen tidak berlangsung panjang apabila kedudukannya dirampas oleh putera Hongwu yang lain, iaitu Zhu Di (digelari Putera Yan) yang kekuasaannya berpusat di Beijing. Sememangnya, peribadi Zhu Di dan kekuatan tenteranya melayakkan dirinya untuk menjadi maharaja. Setelah memenangi p3rang saudara yang memakan masa tiga tahun lamanya, Zhu Di menabalkan dirinya sebagai Maharaja Yongle (1403-1424) dan mengemudi Ming untuk mengecapi zaman keemasannya.

https://media-cdn.tripadvisor.com/media/photo-s/0e/99/1e/47/xiaoling-tomb-of-ming.jpg
Makam Maharaja Hongwu di Nanjing

RUJUKAN

Muhammad Syafiq Borhannuddin. (15 September 2018). China’s forgotten legacy of Islam. New Straits Times.
https://www.nst.com.my/opinion/letters/2018/09/411469/chinas-forgotten-legacy-islam

Mark Cartwright. (13 February 2019). Hongwu Emperor. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Hongwu_Emperor/

David B. Chan. (n.d.) Hongwu, Emperor of Ming Dynasty. Britannica.
https://www.britannica.com/biography/Hongwu/Despotic-tendencies

World History. (25 Mei 2017). Emperor Hongwu Biography.
https://worldhistory.us/chinese-history/emperor-hongwu-biography.php Jessica Aya Harn. (2 November 2019). The Hundred-word Eulogy: An ancient poem written by the Hongwu Emperor of China in praise of Islam. The Muslim Vibe.
https://themuslimvibe.com/western-muslim-culture/the-hundred-word-eulogy-an-ancient-poem-written-by-the-hongwu-emperor-of-china-in-praise-of-islam

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.