10 Tempat Paling Berhantu Di Britain

1,491

1. TOWER OF LONDON

Bagi pengunjung yang berkesempatan melawat Tower of London, pasti sudah tahu latar belakang berd4rah monumen bersejarah itu. Ia bukan saja digunakan sebagai penjara tetapi juga sebagai tempat perlaksanaan hukuman sepanjang 950 tahun sejarahnya.

Antara hantu yang paling terkenal ialah hantu Anne Boleyn, isteri kedua kepada Raja Henry VIII yang dip3nggal pada tahun 1536 atas kesalahan khianat. Sejak itu, kelibat hantunya membawa kepala di sisi sentiasa membuatkan staf pengurusan dan pelawat tidak senang duduk sama ada di White Tower atau Gereja St Peter ad Vincula.

Selain hantu Boleyn, jangan lupa kisah dua putera yang dipenjarakan di situ iaitu anak saudara Richard III dan putera kepada Edward IV, Edward dan Richard. Kedua-duanya bukan saja dituduh anak luar nikah Raja Edward IV oleh bapa saudara mereka sendiri bahkan dipenjarakan (ditempatkan kononnya atas alasan keselamatan) sebelum menghilangkan diri. Tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab membVnuh dua putera Edward IV itu tetapi kelibat hantu kedua-duanya memakai gaun putih sentiasa dilaporkan saban tahun.

Selain hantu Anne dan dua anak saudara Richard III, terdapat juga hantu binatang yang menghantui Tower of London berikutan Royal Menagerie ditempatkan di situ. Pada tahun 1816, seorang pengawal yang berkawal di situ terkejut apabila melihat kelibat hantu seekor beruang cuba menerpa ke arahnya. Pengawal itu cuba menikam hantu itu dengan bayonetnya tetapi mendapati ia hanyalah hantu. Pengawal tersebut dikatakan mati beberapa hari kemudian akibat terkejut.

2. RUMAH BORLEY, ESSEX

Kediaman paderi ini dianggap antara kediaman paling berhantu di Britain sehinggakan ia disebut dalam permainan video Silent Hill. Rumah ini dibina pada tahun 1832 dan menjadi sumber khabar angin kisah seorang rahib wanita yang ditanam hidup-hidup dalam dinding sebuah biara tidak jauh dari situ. Hantu rahib itu dikatakan menghantui Rumah Borley dan menjadi bualan penduduk tempatan.

Cakaplah apa saja bentuk gangguan, semuanya ada di situ. Jika di luar rumah, hantu kereta kuda bergerak dan dikendalikan oleh pengendali tanpa kepala dan bunyi tapak kaki. Penyelidik psikik Harry Price pernah melawat Rumah Borley pada tahun 1929 sebelum menyewa rumah tersebut selama setahun pada tahun 1937. Dalam tempoh itu, dia merekodkan banyak insiden termasuk pasu jatuh sendiri ke lantai dan mesej hantu yang ditulis pada cermin. Dua tahun kemudian, Rumah Borley mengalami kebakaran dan kemudiannya dirobohkan pada tahun 1944.

3. Theatre Royal di Drury Lane, London

Theatre Royal di Drury Lane bukan saja merupakan antara dewan teater yang tertua di Britain dan masih digunakan sehingga hari ini tetapi juga memegang jolokan sebagai dewan teater paling berhantu di Britain. Salah satu hantu yang paling terkenal ialah Hantu Kelabu (Man in Grey) di mana hantu ini muncul dengan memakai topi tiga penjuru, kot kelabu yang panjang dan rambut palsu berserbuk. Hantu ini dikatakan hilang apabila berada di tempat dipercayai seorang lelaki yang dibunuh menerusi tikaman pada jantung selepas ditemui pada tahun 1840-an.

Selain itu, hantu kepala Joseph Grimaldi yang memakai mekap putih (Grimaldi ialah bapa badut moden) turut kelihatan dan selalunya membantu pelakon yang bergelut memperbaiki persembahan mereka. Sesiapa yang pernah berjalan di pentas itu melaporkan nama mereka dipanggil oleh suara yang tidak dikenali, pakaian mereka ditarik atau kelibat angin misteri. Mana-mana persembahan yang dihadiri hantu sebegini dianggap mendapat tuah.

4. Medan Perang Culloden, Scotland

Pertempuran Culloden tercetus pada tahun 1746 merupakan perang terakhir yang dilancarkan dan berlaku di Britain. Ia merupakan kempen terakhir yang dilancarkan penyokong Dinasti Stuart yang disingkirkan untuk memulihkan semula kuasa dinasti berkenaan di Britain. Bagaimanapun, kempen yang diketuai Charles Edward Stuart tewas di tangan William Augustus, Duke of Cumberland dengan 1,500 tentera itu terbunuh.

Pertempuran ini berlaku pada 17 Ogos 1746 dan sejak itu setiap kali tarikh itu menjelma, penduduk tempatan melihat kelibat tentera-tentera yang bertarung di situ mengulangi semula konflik berdarah itu. Selain bunyi pertempuran di Culloden, penduduk turut melaporkan melihat kelibat seorang lelaki yang berjalan di tengah-tengah lambakan mayat tentera yang terbunuh.

5. Jamaica Inn, Cornwall

Terletak di Bodmin Moor, ia memang selayaknya dianggap antara tempat paling berhantu. Rumah tumpangan ini menjadi tumpuan bukan saja lanun tetapi juga penyeludup sehinggakan ia menjadi sebahagian daripada novel Daphne du Maurier pada tahun 1936 dengan nama Jamaica Inn sebagai tajuk novel.

Jadi bagi yang pernah berkunjung ke situ, usah terkejut jika mendengar bunyi tapak kaki kuda melalui kawasan laman walaupun laman kosong, orang berbisik dalam bahasa lama berkemungkinan Bahasa Cornish Lama atau hantu yang duduk di luar rumah tumpangan seperti dilaporkan pada tahun 1911. Hantu itu sebenarnya ialah pelawat yang minum arak tetapi kemudiannya dibvnuh di luar sebelum sempat menghabiskan minumannya.

6. Istana Chillingham, Northumberland

Istana yang dikatakan wujud sejak abad ke-13 ini mempunyai banyak cerita hantu tersendiri. Jika anda ke ruang dapur, usah bertembung dengan hantu wanita yang merayu mahukan air, gereja kecil (jeritan suara-suara menakutkan), ruang bawah tanah (rangka seorang budak lelaki yang ditanam di situ) atau bilik seksaan yang penuh dengan peralatan penyeksaan. Yang pasti, ia sudah disiasat berkali-kali oleh kumpulan penyiasat paranormal dan apa saja pengalaman yang diraih sepanjang siasatan di Chillingham sudah pasti bikin bulu roma meremang.

7. Istana Berry Pomeroy, Devon

Runtuhan istana ini dahulunya merupakan kediaman lama Edward Seymour, abang kepada Jane Seymour dan kekanda ipar kepada Henry VIII. Istana yang dibina pada abad ke-15 ini kemudiannya ditinggalkan pada abad ke-17 dan ia menjadi tarikan pelancong semasa era Victoria. Tetapi ia turut menyimpan reputasi sebagai tempat paling berhantu di Britain. Dua hantu yang menghantui istana ini ialah The Blue Lady dan hantu Lady Margaret Pomeroy.

The Blue Lady ialah hantu yang mengumpan mana-mana pejalan kaki sebelum membawa kepada kematian mereka. Hantu ini dikatakan berkabung atas kematian anaknya hasil daripada hubungan sumbang antaranya dengan bapanya mengikut sumber penduduk tempatan. Sementara Lady Margaret pula dikatakan dipenjarakan di ruang bawah tanah istana dan dibiarkan kelaparan sehingga mati. Sementara Pomeroy’s Leap yang terletak di kawasan benteng istana ialah tempat dua saudara lelaki membunuh diri dengan melompat dari kuda mereka untuk mengelak ditangkap semasa istana itu dikepung. Jeritan mereka dan bunyi kuda dilaporkan oleh individu yang berdiri di situ. Dan pada tahun 2018, pelancong-pelancong yang berkunjung ke situ mendakwa mempunyai gambar penunggang-penunggang hantu itu.

8. Istana Hampton Court, Surrey

Istana Hampton Court merupakan istana kegemaran Henry VIII dan raja-raja selepasnya. Istana ini menyimpan sejarah diraja selama 200 tahun dan turut menyimpan pelbagai kisah hantu menarik. Dua isteri Henry VIII dikatakan menghantui istana ini iaitu Jane Seymour yang m4ti di istana ini pada tahun 1537 dan Catherine Howard (1542). Hantu Jane ini dikatakan berjalan sambil membawa pita menuju ke bilik tempat baginda mati selepas melahirkan Edward VI.

Sementara Howard pula menghantui Galeri Berhantu kerana di sinilah tempat baginda ditahan atas dakwaan khianat. Tangisannya dan kelibatnya yang menakutkan banyak kali dilaporkan oleh staf dan pelawat. Malah di tempat ini jugalah, dua pengunjung dalam dua kumpulan pengunjung berbeza jatuh pengsan di tempat sama pada tahun 1999. Pada tahun 2003, rakaman CCTV menunjukkan kelibat hantu rangka memakai jubah mengetuk pintu kecemasan selepas waktu operasi. Sehingga hari ini, mereka tertanya-tanya identiti hantu itu atau bagaimana ia boleh berlaku.

9. The Skirrid Mountain Inn, Montmouthshire

Rumah tumpangan ini sudah wujud sejak abad ke-17 Masihi tetapi ada mengatakan ia sudah wujud lebih awal bertahun-tahun sebelumnya. Ia dikatakan digunakan sebagai markas pemberontakan Owain Glyndwr terhadap Henry IV pada abad ke-15. Pada abad ke-17, ia kemudiannya ditukar sebagai mahkamah dan hakim paling terkenal di situ ialah Hakim George Jefferys atau nama jolokannya Hakim Gantung. Ya, hakim ini bertanggungjawab menghukum mati ramai orang dan penggantungan dibuat di sebuah alang oak di atas tangga dengan tanda dari tali gantung masih kelihatan sehingga hari ini. Justeru tidak hairanlah rumah tumpangan ini dihantui oleh mangsa-mangsa yang dihukum mati tetapi juga Jefferys sendiri.

10. Treasurer’s House, York

Rumah ini merupakan kediaman bendahari untuk pihak gereja di York. Walaupun ia masih mengekalkan kerja batu abad ke-12, majoriti rumah menunjukkan pengaruh seni bina abad ke-16. Tetapi di sini juga merupakan tempat hantu tentera Rom berkawad dan berkawal seperti dilaporkan pemasang dandang, Henry Martindale pada tahun 1953.

Selain melaporkan mereka kelihatan penat dan tak bermaya, askar-askar ini dikatakan membawa pedang, topi besi, kuda dan perisai berwarna bulat. Walaupun laporan itu pada awalnya dikatakan palsu, penemuan beberapa tapak arkeologi di York menunjukkan tentera Rom turut membawa perisai bulat pada abad keempat Masihi. Laporan Martindale turut disokong oleh laporan ramai orang yang melihat kelibat tentera-tentera Rom ini berjalan sekitar York.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.