Manusia merupakan makhluk diciptakan Allah S.W.T istimewa yang berbanding makhluk lain. Keistimewaan manusia ini dapat dilihat melalui pemberian ‘akal’ yang dikhaskan oleh Allah S.W.T dengan pelbagai tujuan; seperti mengenal dan mengabdikan diri kepada Nya, mengakui kerasulan Rasulullah SAW dan menyebarkan dakwah ajaran Baginda, merenung dan mengambil iktibar daripada penciptaan alam dan makhluk Allah S.W.T yang lain di samping mentadbir dunia ini dengan sebaiknya.

Jika direnung dan diperhatikan di dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyebut dan mengulang perkataan “apakah kamu tidak berfikir?” atau “apakah kamu (manusia) tidak mempunyai akal?” di akhir ayat dalam beberapa surah. Secara tersirat, beberapa ulama tafsir menerangkan maksud sebenar bagi ayat ini adalah teguran secara sinikal atau sindiran untuk manusia kerana menyalahgunakan akal yang diberi Nya kepada kita. Bahkan kita dapat lihat secara realitinya banyak manusia tidak menggunakan akal dengan sebaiknya.

Akal yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan, banyak dijadikan lapik untuk melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT ini sekali gus menghasilkan satu kumpulan manusia yang mengabaikan akal seolah-olah hidup seperti haiwan atau binatang lain. Kita dapat lihat secara realiti ada manusia yang membunuh orang lain kerana untuk mendapatkan duit, saham, pangkat, nama dan sebagainya, menipu dan memperdayakan orang lain untuk keuntungan sendiri, menjadi hamba kepada nafsu, merosakkan alam sekitar melalui kerja dan pembangunan yang melampau dan lain-lain lagi. Lalu bagaimanakah sebenarnya ciri yang sepatutnya ditunjukkan oleh orang berakal?

Haji Abdulmalik Karim Amrullah atau dikenali melalui singkatan namanya Hamka merupakan seorang tokoh Islam dari Indonesia yang banyak menulis buku mengenai akidah dan pemikiran Islam. Beliau telah diiktiraf sebagai seorang ulama Nusantara yang banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pemikiran umat Islam di rantau Asia Tenggara ini. Beliau terkenal dengan himpunan penulisan Tafsir al-Azhar, di mana penulisan tafsir ini disiapkan oleh Hamka sewaktu dipenjarakan oleh pemerintah Indonesia. Hamka telah menulis di dalam salah satu buku beliau yang bertajuk ‘Falsafah Hidup’ bagaimana sebenarnya ciri-ciri orang berakal.

Tanda pertama bagi orang berakal menurut Hamka ialah ‘luas pandangan sama ada dalam sesuatu perkara yang menyakiti (perkara negatif) atau menyenangkan (perkara positif)’. Perkara negatif dan positif ini boleh diperluaskan kepada banyak simbol di dalam kehidupan kita, seperti ujian hidup, pergaulan sosial antara sesama manusia, ibadah dan ketaatan kepada Allah serta Rasulullah, penjagaan alam sekitar dan sebagainya. Menurut Hamka lagi, orang yang berakal ini ‘pandangannya luas, ditimbangnya sebelum dikerjakan’. Berfikir dengan mendalam, menganalisis dan memikirkan kesan yang mungkin terjadi akibat sesuatu pekerjaan merupakan satu keperluan yang mesti dilakukan oleh setiap manusia supaya setiap apa yang dilakukan tidak mendatangkan penyesalan dan kerugian kepada pelaku nya.

Tanda kedua bagi orang berakal menurut Hamka ialah ‘selalu berbantah dengan dirinya’. Pada pandangan penulis, maksud ‘selalu berbantah dengan dirinya’ ini ialah seorang Muslim yang baik yang menggunakan akalnya dengan betul akan selalu menegah dirinya daripada melakukan sesuatu yang membawa kebinasaan dan dosa. Setiap kali timbul godaan dan dorongan nafsu untuk melakukan sesuatu yang tidak elok, maka akal akan menegah dan melarang diri dari melaksanakannya.

Tanda ketiga orang berakal ialah ‘selalu mengingati kekurangannya’. Kekurangan yang dimaksudkan di sini bukanlah kurang dari sudut material atau harta seperti wang, kereta, makanan dan minuman, anak-anak dan sebagainya, tetapi kekurangan yang dimaksudkan di sini ialah kekurangan dari segi akhlak, amalan dan ibadat seharian. Inilah konsep muhasabah diri yang diterapkan oleh Rasulullah SAW agar kita selalu mengingatkan kita akan kelemahan diri dan perlunya untuk taat serta patuh kepada Allah SWT

Tanda keempat bagi orang yang berakal mengikut Hamka pula ialah ‘tidak berdukacita lantaran ada cita-citanya di dunia yang tidak sampai atau nikmat yang meninggalkannya’. Muslim yang tidak mensia-siakan nikmat akal yang diberikan oleh Allah SWT akan bercita-cita untuk menggapai akhirat dan tidak terlekat untuk mengejar nikmat dunia seperti harta, pangkat, jawatan, wanita dan kemasyhuran, material dan sebagainya. Baginya, nikmat dunia merupakan pemberian Allah SWT yang patut dicapai untuk meneruskan kehidupan. Jika dapat mengumpul dan menikmati rezeki pemberian Allah SWT, maka diucapkan ‘Alhamdulillah’. Jika tidak berjaya, kegagalan itu diterima dengan sebaiknya dan bukan bersedih atau bersungguh-sungguh mengejar apa yang tidak berjaya didapatinya serta tidak memegang sifat materialistik di dalam diri.

Tanda kelima bagi orang berakal ialah ‘enggan menjauhi orang berakal pula’. Hamka membawakan contoh seseorang yang berilmu, pasti akan selalu ingin mendampingi orang yang berilmu dan beramal soleh untuk dijadikan inspirasi serta pengaruh yang baik untuk memperbaiki dirinya.

Hamka membawakan tanda keenam bagi orang berakal ialah ‘tahu membezakan manusia’. Dalam kehidupan seharian, kita akan berjumpa, bertegur sapa dan bergaul dengan pelbagai jenis manusia daripada pelbagai pangkat, jawatan, taraf ilmu dan keturunan. Hamka mengatakan bahawa orang yang berakal akan tahu menjaga percakapan dan adab dalam pergaulan dengan manusia yang pelbagai. Dengan orang berpangkat, lain tutur bicaranya, dengan orang berilmu, lain pula adabnya, dengan orang biasa, lain pula kaedah dan cara percakapannya.

Tanda ketujuh bagi orang berakal pula ialah ‘memandang besar segala kesalahan walaupun bagaimana kecilnya di mata orang lain’. Menurut Hamka lagi, seorang yang berakal itu tidak hanya memandang bahawa setiap kesalahan yang dilakukannya kecil, tetapi boleh membawa kepada akibat yang besar. Beliau membawakan contoh dosa kecil ibarat seseorang lelaki membawa kayu yang telah dimakan anai-anai untuk dibuat kapal. Anai-anai yang ada pada kayu tadi boleh berpindah dan merebak ke kayu lain di atas kapal dan akibatnya sekeping kayu itulah nanti akan membawa kepada tenggelamnya kapal tersebut.

Tanda kelapan bagi orang berakal ialah ‘tidak berduka hati’. Menurut Hamka, manusia yang selalu bersedih menyebabkan akal seseorang menjadi kabur, fikiran menjadi kusut, lemah daya pemikiran dan mensia-siakan nikmat lain yang diberikan Allah. Jika mendapat nikmat, orang berakal akan mensyukuri nikmat Nya, dan jika ditimpa musibah atau ujian, seorang yang berakal akan redha dan tabah menerima setiap ketentuan Allah SWT

Tanda kesembilan bagi orang berakal ialah ‘tidaklah menjawab sebelum ditanya’. Seseorang yang betul-betul menggunakan akal menurut Hamka akan berhati-hati sebelum memulakan percakapan dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh membocorkan rahsia orang lain, tidak menghina seseorang, tidak bercakap sesuatu yang tidak diketahui yang dikhuatiri boleh mendatangkan dosa kepadanya.

Tanda kesepuluh orang berakal menurut Hamka ialah ‘tidaklah tersembunyi bahagian cela dirinya’. Maksud Hamka ialah seseorang yang berakal itu tidak melupakan kelemahan dan kekurangan dirinya kerana mengetahui keadaan diri yang lemah dan serba kekurangan. Mengenali kelemahan diri boleh mengelakkan seseorang itu daripada menjadi sombong dan bongkak lantaran mengetahui dirinya tidak sempurna dan masih memerlukan pertolongan serta bantuan orang lain.

Sememangnya sepuluh tanda orang berakal yang dinyatakan oleh Hamka ini tidak melambangkan keseluruhan kehidupan manusia biasa, namun ia merupakan tanda asas yang jika difikirkan secara logik dan kritikal, banyak benarnya serta mampu mengubah dan memainkan peranan besar di dalam kehidupan manusia. Semoga kita dapat menjadi seorang Muslim yang mampu menggunakan akal pemberian Allah SWT ini dengan sebaiknya, di samping menunjukkan kehebatan Islam di mata dunia.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah), Seorang penulis, pendidik dan peminat falsafah Muslim.

Leave A Reply