Apabila Hitler melancarkan perang di Poland, sekali memulakan paluan gendang Perang Dunia Kedua (WWII), Hitler sudah membayangkan kejayaan sudah berada di tangannya. Pihak Nazi bukan setakat mempunyai pelan pertempuran dan kekuatan ketenteraan tetapi juga rancangan pasca-perang sekiranya mereka muncul sebagai pemenang untuk dunia. Jika anda sangka perancangan Nazi Jerman ialah penubuhan empayar berteraskan fascisme, fikir semula. Orde baru dunia yang dicadangkan Hitler bukanlah seperti yang anda sangkakan.

1. MENGEMBALIKAN SEMULA AMERIKA SYARIKAT KEPADA ORANG ASLI AMERIKA.

Antara janji pihak Nazi kepada pihak orang asli Amerika ialah mengembalikan semula tanah Amerika kepada mereka. Dan ini secara tidak langsung menarik perhatian sesetengah kelompok yang bersimpati dengan perjuangan fascisme. Ini membawa kepada penubuhan American Indian Federation di mana ia diketuai seorang peguam dari Portland iaitu Elwood A. Towner atau dikenali dengan identiti palsunya, Ketua Red Cloud. (Ketua Red Cloud sebenar mati pada 1909 dan tiada kaitan dengan Nazi dan Hitler) Sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Nazi, Red Cloud meletakkan swastika pada pakaiannya dan memberi ucapan bersifat menghasut seperti orang Yahudi merupakan anak-anak syaitan dan mendakwa mereka mengawal perkhidmatan orang asli.

Figure 1: Elwood A. Toyner merupakan antara tokoh orang asli Amerika yang menyokong perjuangan fascisme. Sumber: http://crosscut.com/2016/12/native-american-nazi-chief-red-cloud-elwood-tanner/

Nazi Jerman menggalakkan kumpulan ini dengan menghantar perisik untuk menyakinkan mereka menggulingkan kerajaan Amerika Syarikat yang pada ketika itu dipimpin oleh Presiden Franklin D. Roosevelt. Sebagai pertukaran kepada bantuan tersebut, janji yang saya nyatakan di atas adalah buktinya. Antara sebab pihak Nazi mahu membantu kerana melihat mereka sebahagian dari bangsa Aryan yang dibangga-banggakan. Tidak diketahui sama ada janji tersebut benar atau tidak tetapi ramai yang mendengar. Dan Towner mendakwa mempunyai 750,000 askar orang asli sedia mengangkat senjata sekiranya pihak Nazi mendarat di Amerika Syarikat.

Namun apabila Amerika Syarikat menyertai perang selepas insiden pengeboman Pearl Harbor, semua itu hanya sekadar angan-angan. Majoriti orang asli Amerika menyumbang kepada usaha perang Amerika Syarikat dengan 25,000 orang berkhidmat semasa perang. Bagi Towner sendiri, selepas insiden Pearl Harbor, beliau menjauhkan diri dari inisiatif tersebut dan kembali fokus kepada kerjayanya sebagai peguam untuk orang asli Amerika dan meninggal dunia pada awal 1950-an.

2. KANTA PEMBESAR GERGASI.

Seorang saintis Jerman bernama Hermann Oberth mencadangkan Jerman seharusnya membina sebuah stesen angkasa di mana salah satu komponennya ialah cermin gergasi yang mempunyai diameter 1.6 kilometer pada orbit 35,900 kilometer. Konsepnya sama seperti menggunakan kanta pembesar untuk melakukan aktiviti pembakaran. Logik mereka, sekiranya ada negara yang mencetuskan kemarahan pihak Nazi, mereka boleh saja menggunakan cermin gergasi tersebut untuk membakar mana-mana bandar di negara tersebut. Taktik sebegini mungkin diambil dari taktik perang yang digunakan Archimedes yang menggunakan pantulan cermin di Syracuse untuk membakar kapal-kapal laut tentera Rom. Stesen angkasa yang digunakan untuk menyelenggara cermin tersebut akan dipantau oleh sepasukan krew di mana mereka dibekalkan oksigen dan makanan yang diambil dari beberapa tanaman labu. Hari ini, ramai meragui keberkesanan idea tersebut namun itu tidak menghalang Oberth cuba mendorong pihak Amerika untuk membinanya pasca-perang.

3. LINGKUNGAN KEMAKMURAN BERSAMA ASIA TIMUR RAYA.

Figure 2: Kawasan Lingkungan Kemakmuran Asia Timur Raya. Sumber: http://althistory.wikia.com/wiki/File:East_Asian_Co-Prosperity_Sphere_Location_(1941_Success).png

Rakan sekutu Jerman, Jepun turut mempunyai rancangan mereka sendiri semasa WWII meletus. Berdasarkan perancangan mereka, Jepun mahu mengawal sepenuhnya semua negara di sebelah timur pada 70 meridien iaitu dari India hingga ke Australia dan New Zealand. Dan ini membawa kepada propaganda Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya dan Asia untuk orang Asia yang dipromosikan kepada orang ramai di negara-negara yang dijajah kuasa Barat dengan tujuan mendapatkan sokongan penduduk negara terlibat.

Tanpa kita sedar, maksud sebenar propaganda mereka ialah menjadi hamba kepada empayar Jepun yang luas. Dan mana-mana individu yang sedia berkolaborasi dengan mereka akan diangkat sebagai pemimpin di sesebuah negara kerana bagi Tokyo, mereka hanyalah boneka untuk melaksanakan polisi-polisi Tokyo ke atas penduduk tempatan. Dan kisah-kisah pendudukan Jepun terutama di Malaysia dan Indonesia menjadi bukti. Bahasa Jepun merupakan bahasa rasmi di hemisfera timur dengan guru-guru Jepun dihantar ke sekolah tempatan untuk mengajar penduduk tempatan budaya-budaya Jepun. Dan siapa tidak akan lupa cita-cita Jepun mahu meluaskan empayar mereka sehingga ke India dengan pembinaan Landasan Kereta Api Maut dari Bangkok ke Rangoon (Yangon), Myanmar sehingga menjadi inspirasi kepada filem The Bridge on the River Kwai.

Menurut Hitler, sekiranya Nazi Jerman memenangi WWII, pasti Australia dan New Zealand akan jatuh ke tangan empayar Jepun. Dan Hitler percaya sekiranya senario itu berlaku, orang-orang Caucasia (orang kulit putih) akan diusir dari kedua-dua negara tersebut.

4. SEMPADAN PEMBUAT BAYI.

Hitler dan pihak Nazi sedar sekiranya WWII memihak kepada mereka, pasti pesaing mereka dalam mengekalkan empayar mereka ialah empayar Jepun. Dan mereka percaya, perang pasti akan meletus antara bekas sekutu ini untuk menentukan siapa pemerintah dunia sebenar. Jika anda nak melihat senarionya bagaimana, saya cadangkan anda menonton drama bersiri Amazon, The Man on High Castle yang kini memasuki musim ketiga. Drama ini yang memaparkan senario alternatif kiranya pihak Axis (Jerman, Itali dan Jepun) menang dalam WWII dan bagaimana wilayah mereka ditentukan.

Pihak Nazi merancang meletakkan seberapa ramai peneroka Jerman untuk hidup di sempadan dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Apabila anak-anak mereka lahir, mereka mempunyai darah separuh Jerman. Kriteria bagi yang terpilih ialah berkhidmat selama 12 tahun dalam tentera yang dihantar bertempur di Barisan Timur. Mereka ini akan diberi tanah pertanian dan senjata api serta diarahkan mempunyai ramai anak secepat mungkin. Satu saja masalah di sebalik cadangan ini, kebanyakan askar terlibat perlu menghabiskan banyak masa di bilik tidur. Namun bagi Fuhrer, ini satu arahan yang perlu dilaksanakan. Askar-askar yang bertempur di Barisan Timur diarah mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang anak.

5. MELAGA-LAGAKAN GREAT BRITAIN DENGAN AMERIKA SYARIKAT.

Di sebalik ideanya melancarkan serangan ke atas Amerika Syarikat seperti yang diberitahu kepada Towner, bagi Hitler, ia tidak akan berlaku kerana baginya, ia satu misi mustahil. Sebaliknya, beliau menyalahkan sesetengah pihak yang memanipulasi ketakutan orang ramai bagi meningkatkan keuntungan mereka seperti dinyatakan dalam satu temubual dengan majalah Life. Tetapi secara peribadi, Hitler berkata, “Perasaan aku kepada Amerikaisme ialah kebencian dan penuh dengan rasa penolakan. Semua perkara berkaitan tingkah laku masyarakat mereka mendedahkan mereka separuh Yahudi dan separuh Negro (orang kulit hitam).”

Hitler tidak akan menyerang Amerika Syarikat kerana beliau tidak memerlukannya. Sebaliknya, sebelum Amerika memasuki teater WWII, beliau menjangkakan Amerika akan menyerang Great Britain terlebih dahulu. Namun apabila perkara sebaliknya berlaku, Hitler masih berkeras ia tetap akan berlaku kerana ia sebahagian daripada rancangan jangka panjang Uncle Sam terhadap Britain. Pandangan beliau ini mengambil kira sejarah fasa awal hubungan kedua-dua negara terutama selepas Perang Revolusi Amerika yang tercetus antara 1775-1776 dan Perang 1812. Dan jika mereka berdua enggan melakukannya, pasti Hitler akan memaksa salah satu dari kedua-duanya untuk melakukan tindakan tersebut. Beliau berjanji sekiranya Eropah berada di bawah penguasaan Nazi dan Amerika masih kekal berkuasa, jentera perang Reich akan memfokuskan kepada serangan di tanah besar Amerika.

6. MEMPERHAMBAKAN BANGSA SLAVIK.

Bukanlah satu rahsia Hitler mahu menghapuskan sepenuhnya orang Yahudi di muka bumi ini melalui Final Solution. Tetapi kebencian beliau dan Nazi terhadap bangsa Slavik juga perlu diberi perhatian. Menurut Hitler, bangsa Slavik di Eropah Timur ialah bangsa kedua yang tidak diperlukan dalam senarai penghapusan. Dan apabila WWII berakhir, sebahagian rancangannya sudah dilaksanakan. Salah satu daripadanya ialah Pelan Umum Timur (Generalplan Ost) pada tahun 1941-1942 untuk menempatkan semula penduduk Jerman di Eropah Timur dan menghalau keluar kelompok yang tidak dimahukan seperti orang Yahudi, orang Slavik dan Gipsi. 31 juta penduduk di sebelah situ dipindahkan ke kem-kem buruh paksa ke barat Siberia. Sementara baki populasi tempatan diperhambakan, dibunuh atau dipaksa menjadi rakyat Jerman.

Untuk menggantikan mereka, Jerman akan menempatkan 10 juta penduduk Jerman bagi mewujudkan satu kawasan baik bagi bangsa Aryan yang berdarah tulen. Sekiranya ia diteruskan dalam tempoh 30 tahun, lebih 50 juta orang dipindahkan ke kem buruh paksa atau dibunuh dan secara tidak langsung, ia menghapuskan sebahagian besar populasi bangsa Slavik di Eropah Timur. Namun pelan ini terpaksa dihentikan selepas kekalahan mereka di Stalingrad dengan kepimpinan tertinggi Jerman mula menyifatkan operasi mereka di Barisan Timur sudah goyah.

7. “TEMBAK SI GANDHI ITU.”

Figure 3: Hitler menyifatkan Britain bersikap terlalu lembut terhadap protes aman yang dijalankan Mahatma Gandhi.

Sebelum perang meletus pada tahun 1938, hubungan Nazi Jerman dengan negara-negara Eropah terutama Britain dan Perancis masih baik. Salah satu nasihat yang diberi Hitler kepada Menteri Luar Britain pada ketika itu, Earl of Halifax, Edward Wood, “Tembak Gandhi. Kalau itu saja tidak mencukupi, maka tembak beberapa ahli Kongres untuk paksa mereka tunduk.” Bagi beliau, Britain bersikap terlalu lembut terhadap protes aman Mahatma Gandhi. Hitler melihat bangsa India sebagai bangsa bawahan yang perlu ditundukkan di bawah pemerintahan Aryan dan sekiranya berpeluang, beliau akan melaksanakannya.

Kebenciannya terhadap bangsa India dibuktikan pertama, tulisannya dalam buku Mein Kampf (Perjuanganku/My Struggle) yang menyifatkan India seharusnya terus berada di bawah pemerintahan Britain. Kedua, sikap dingin beliau terhadap Subhas Chandra Bose. Pada April 1941, Bose berjaya melarikan diri ke Berlin untuk meminta bantuan pihak Nazi mendapatkan kemerdekaan India melalui pengumuman radio Menteri Propaganda Jerman, Joseph Goebbels. Semasa di Jerman, pertama, Bose berhasrat mewujudkan sebuah kerajaan India dalam buangan dan kedua, menubuhkan pasukan Tentera Pembebasan India terdiri daripada 50,000 askar India yang menjadi tawanan Afrika Korp pimpinan Field Marshall Erwin Rommel. Dari situ, askar-askar ini dilatih untuk mencapai standard tertinggi tentera Jerman dan menyertai pakatan Jerman-Itali-Jepun menyerang India dari Afghanistan. Namun, tempoh penginapan di Berlin bagi Bose amat mengecewakan berikutan Hitler enggan menerimanya sepanjang tahun 1941 selepas tiba di Berlin. Dan apabila mereka berdua bertemu juga, ianya amat dingin di mana Fuhrer enggan memberi jaminan menyokong perjuangan kemerdekaan India.

Figure 4: Bose merasakan dianaktiri oleh Hitler kerana permintaannya tidak dilayan. Ini disebabkan oleh sikap perkauman Hitler terhadap kaum India.

ecewa dengan maklum balas Berlin, Bose beralih arah kepada Jepun dan India ditanda sebagai sebahagian daripada Lingkungan Kemakmuran Asia Timur Raya. Dan beliau juga mendapat tentera yang dijanjikan melalui penubuhan Tentera Kebangsaan India (INA). Namun sekiranya wujud Perang Dunia Ketiga (WWIII), pasti Hitler akan menunaikan janjinya itu berkenaan India.

8. MEMPERHAMBAKAN LELAKI BRITAIN.

Apabila perang terus berkecamuk dan Britain masih enggan menyerah kalah, kekaguman Hitler terhadap semangat mereka semakin pudar. Sebaliknya, beliau mahu melihat mereka hancur. Berdasarkan maklumat, sekiranya Britain jatuh ke tangan Nazi, lelaki Britain yang sihat dan berumur antara 17-45 tahun akan dipindahkan ke tanah besar Eropah dan menjadi buruh paksa. Kanak-kanak dan wanita boleh kekal dalam rumah masing-masing, sekurang-kurangnya sehingga umur 17 tahun. Semua barang yang dimiliki akan dirampas dan jika ada yang menentang, mereka akan dibunuh. Ketua Schutzstaffen (SS), Heinrich Himmler pula mahu menghapuskan 80% populasi rakyat Britain sekiranya Britain tumbang.

9. MEMBIARKAN TIMUR TENGAH DIPERINTAH UMAT ISLAM.

Satu ironi di sini ialah di sebalik sikap kerasnya terhadap gereja dan Vatican, Hitler menunjukkan dirinya sebagai pro-Muslim. Beliau menyokong rungutan Himmler tentang Jerman sebagai sebuah negara Kristian mazhab Roman Katolik dan menyifatkan agama Mohammedan (agama Islam) lebih sesuai dengan mereka. Pada mulanya, sebaik perang meletus, Hitler menjanjikan keseluruhan Timur Tengah dikawal rejim Benito Mussolini. Tetapi apabila perang semakin berkecamuk, beliau mempertimbangkan semula janjinya itu selepas bertemu dengan Mufti Besar Baitulmaqdis, Haj Amin al-Husseini.

Berikutan itu, Hitler melantik Jeneral Luftwaffe, Hellmuth Felmy untuk mengetuai satu unit Wehrmacht berkenaan urusan Arab di bawah Arahan No. 30. Dan pada 11 Jun 1941, Hitler dan kepimpinan tertinggi tentera mengeluarkan Arahan No. 32 bertajuk ‘Persediaan untuk tempoh selepas Barbarossa’ di mana pihak mereka akan mengeksploitasi pergerakan kebebasan Arab untuk memaksa pihak Bersekutu menghabiskan sumber mereka di situ bagi mengukuhkan lagi kuasa Jerman.

Figure 5: Hellmuth Felmy diberi tugas mengendalikan urusan Wehrmacht berkenaan bangsa Arab sebagai sebahagian daripada perancangan pasca-Barbarossa.

Apabila perang tidak lagi memihak kepada Jerman terutama selepas Itali mengambil keputusan berpaling tadah, Hitler menyalahkan dirinya kerana tidak bersekutu dengan negara-negara Islam. Namun, ini tidak bermakna Hitler memandang tinggi orang Islam. Sebaliknya rasa perkaumannya tetap menebal berdasarkan perbualannya dengan arkitek Reich merangkap sahabat baiknya, Albert Speer. Dalam memoirnya, Inside The Third Reich, Speer diberitahu Hitler bahawa orang-orang Arab tidak akan bertahan dengan iklim yang merbahaya dan pada akhirnya, hanya orang Jerman yang beragama Islam saja akan mengetuai empayar Mohammedan yang diidamkan itu.

10. MEMAKSA POPULASI EROPAH TIMUR MENERIMA FAHAMAN JEHOVAH’S WITNESS.

Jika anda fikir empayar Nazi akan menerima Islam macam itu saja, salah. Ada seorang individu yang mahu sebahagian empayar Nazi terutama di Eropah Timur menerima Jehovah’s Witness. Orang tersebut ialah ketua SS, Himmler. Ironinya, ribuan penganut fahaman ini dibunuh di kem-kem tahanan mereka, Himmler menunjukkan rasa hormat pada agama tersebut. Beliau berkata, “Kalau kefanatikan mereka boleh diaplikasikan untuk Jerman, kita akan jadi lebih kuat daripada hari ini.” Di mata Himmler, Jehovah’s Witness mempunyai kombinasi sempurna iaitu etika kerja fanatik dan pasifisme yang menghalang mereka dari menentang rejim. Beliau turut mengarahkan Dr Ernst Kaltenbrunner untuk menyebarkan agama tersebut di Eropah Timur.

SUMBER:

1. Speer, Albert. (1970). Inside The Third Reich. https://ia801406.us.archive.org/34/items/Inside_the_Third_Reich_Albert_Speer/Inside_the_Third_Reich_Albert_Speer.pdf
2. Berger, Knute. (2016). Crosscut. The strange case of the Northwest’s Native American Nazi. http://crosscut.com/2016/12/native-american-nazi-chief-red-cloud-elwood-tanner/
3. Oliver, Mark. (2017). Listverse. 10 Plans Hitler Would Have Put In Motion If The Nazis Had Won. http://listverse.com/2017/08/20/10-plans-hitler-would-have-put-in-motion-if-the-nazis-had-won/
4. Pal, Sanchari. (2017). The Better India. The Fascinating Tale of Subhash Chandra Bose’s Secret Submarine Journey from Germany to Japan. https://www.thebetterindia.com/83132/subhash-chandra-bose-india-submarine-germany-japan/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply