10 Perkara Tidak Diketahui Berkenaan Francais Mission: Impossible

0
1163
views

Siri keenam filem Mission Impossible iaitu Mission Impossible – Fallout sedang menggegar pawagam. Siapa sangka selepas ia dilancarkan menerusi filem pertamanya, Mission Impossible (1996), ia sudah mencecah usia lebih 20 tahun. Walaupun cuba diasak oleh beberapa filem genre perisikan lain seperti siri filem Jason Bourne atau James Bond, ia terus menjadi pilihan penonton kerana aksi merbahaya dilakukan oleh pelakon utama Tom Cruise atau drama yang buat ramai tidak senang duduk. Dalam tempoh itu, ada banyak fakta yang tidak diketahui peminat berkenaan francais yang diambil dari siri televisyen ciptaan Bruce Geller ini.

  1. ADA AKSI, TIADA PLOT PENCERITAAN

Semasa memulakan projek Mission Impossible (1996), selain memegang watak utama sebagai Ethan Hunt, Cruise turut memegang peranan sebagai penerbit. Dan selepas mengambil Brian De Palma (Scarface, Black Dahlia), kedua-duanya meneliti dua draf lakon layar tetapi kedua-dua draf berkenaan tidak disukai Cruise dan De Palma. Ini mendorong pengarah legenda itu membawa masuk Steve Zaillian, David Koepp dan Robert Towne untuk membikin plot dan penceritaan yang memuaskan dan mengejutkan penonton. Jadi apabila produksi memulakan penggambaran, hanya gambaran aksi saja yang dianggap selesai sementara plot dan skrip masih tiada. Ini memaksa ketiga-tiga penulis berkenaan memikirkan cerita dan skrip yang baik bagi menghubungkan ia dengan semua aksi yang dirancang De Palma. Walaupun bermasalah dari segi itu, ia berjaya disiapkan di bawah belanjawan $70 juta dan berjaya meraih kutipan pecah panggung $457.7 juta.

2. TERLALU TINGGI

Peminat-peminat siri Mission Impossible pasti sudah masak dengan keinginan Cruise melakukan aksi lagak ngerinya sendiri, kadang-kadang sampai ke tahap tidak masuk akal. Daripada bergantung pada keretapi berkelajuan tinggi TGV di Perancis hinggalah terbaru, melakukan terjunan altitud tinggi di Dubai untuk Fallout, ianya hanyalah satu lagi hari penggambaran biasa bagi bintang Valkyrie dan American Made itu. Tetapi ada satu adegan lagak ngeri yang dianggap paling mendebarkan iaitu memanjat bangunan Burj Khalifa dan melakukan terjunan dari bangunan tertinggi di dunia itu untuk siri keempat, Mission Impossible – Ghost Protocol. Walaupun beliau memakai abah-abah semasa melakukan semua aksi berkenaan, kebanyakan aksi dilakukan pada ketinggian melebihi ketinggian Bangunan Empire State.

3. TANGAN SENDIRI

 

Selepas bermasalah mencari pengarah baru untuk mengisi kerusi panas Mission Impossible III, Cruise dicadangkan oleh Paramount Studio untuk menonton siri televisyen Alias hasil inspirasi J.J Abrams. Dan semua itu sudah jadi sejarah dengan Abrams bukan saja bergelar pengarah untuk M:I III tetapi juga memegang peranan sebagai penerbit untuk siri-siri berikutnya iaitu Ghost Protocol, Rogue Nation dan Fallout. Tetapi ada sesuatu yang buat Abrams rasa tidak selesa iaitu meminta pelakon utamanya memegang pelakon-pelakon lain. Atas sebab itu, untuk dua babak penting iaitu Hunt disuntik dengan bom kapsul dalam hidung dan menggigit tangan pengkhianat Impossible Mission Force (IMF), Musgrave (Billy Crudup) semasa berada di Shanghai, Abrams menggunakan tangan Cruise untuk dua babak berkenaan. Nampak agak pelik tetapi ia dilihat satu komitmen demi menghasilkan filem terbaik untuk tatapan penonton.

4. TIPU HELAH LAGAK NGERI

Semua sedia maklum plot Mission Impossible (1996) berkait dengan senarai perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang menyamar (NOC) iaitu untuk mendedahkan siapa pengkhianat dalam IMF. Selepas mendapat tahu senarai yang diambil di Prague, Republik Czech adalah palsu, Hunt tahu satu-satunya cara untuk mendedahkan pengkhianat yang membunuh semua rakan sepasukannya ialah dengan mencuri senarai sebenar dari CIA di Langley. Ini yang membawa kepada aksi lagak ngeri Cruise tergantung di siling untuk babak mencuri senarai NOC di mana satu ketika, beliau sentiasa jatuh dengan muka tersembam ke lantai. Bosan dengan keadaan itu, Cruise meminjam beberapa keping duit syiling dan meletakkannya dalam kasut. Dan selepas itu, beliau tidak lagi jatuh dan adegan berkenaan berjaya disempurnakan. Malah, ramai mengganggap adegan tergantung di siling itu ikonik dengan aksi lagak ngeri Mission Impossible lain termasuk bergantung pada kapal terbang (Rogue Nation) atau memanjat Burj Khalifa (Ghost Protocol).

5. RUPANYA PEMAIN SELO…

Waqaf Saham

Antara rakan kolaborasi J.J Abrams dalam beberapa produksi drama atau filem ialah komposer Michael Giacchino. Dan antara beberapa projek yang mendapat sentuhan beliau ialah M:I III dan Ghost Protocol. Tetapi tidak ramai tahu muzik gubahan komposer filem Rogue One dan tiga siri filem Star Trek ini turut mendapat sentuhan muzik selo yang dibawa pelakon berkaliber, Dermot Mulroney. Mulroney yang pernah membintangi filem Zodiac dan August Osage County itu memang berbakat sebagai pemain selo dan sudah bermain alat muzik berkenaan sejak berusia tujuh tahun. Selepas kedua-duanya bertemu pada malam tayangan perdana filem The Family Stone pada tahun 2005 dengan Mulroney sebagai protagonis dengan Giacchino sebagai komposer, komposer siri televisyen Lost itu menjemputnya menjadi sebahagian daripada skor muzik M:I III. Dan selebihnya menjadi sejarah dengan beliau menjadi sebahagian daripada skor muzik Giacchino dari Star Trek (2009) hinggalah Rogue One (2016).

6. MENDAKI TANPA JARING

Selepas diberi peluang menggalas tugas pengarahan filem Mission Impossible 2, pengarah Red Cliff dan A Better Tomorrow, John Woo menyifatkan adegan Cruise mendaki bebas secara solo cenuram-cenuram merbahaya di Moab, Utah sebagai paling merbahaya dalam karier pengarahannya. Ini kerana untuk adegan berkenaan, pihak produksi tidak dapat menyediakan jaring keselamatan lebih-lebih lagi dengan keinginan Cruise sendiri mahu melakukannya. Pada satu ketika, semasa melakukan terjunan dari satu cenuram ke satu cenuram lain, beliau mengalami kecederaan bahu walaupun memakai abah-abah untuk babak berkenaan. Tetapi ia satu risiko yang berbaloi kerana aksi-aksi dalam M:I 2 mendapat pujian ramai.

7. SPIELBERG

Bagi setiap filem Mission Impossible, IMF mempunyai cara unik untuk menyampaikan maklumat kepada ketua ejen lapangan mereka. Dari tayangan video pesawat pada akhir Mission Impossible (1996) hinggalah pondok telefon lama dalam Ghost Protocol, ia meneruskan tradisi siri televisyen Mission Impossible di mana selepas ia selesai menghantar maklumat, ia akan musnah dalam tempoh lima saat. Untuk filem M:I III pula, selepas dicadangkan Musgrave untuk membeli kamera pakai buang Kodak, Hunt diberi taklimat misinya yang menjadi pencetus kepada plot filem berkenaan. Idea menggunakan kamera pakai buang ini datang dari pengarah Hollywood bertaraf legenda, Steven Spielberg dan dicadangkan kepada Abrams sebagai cara unik menyampaikan maklumat rahsia kepada perisik IMF itu.

8. REAKSI NEGATIF PELAKON ASAL

Semasa Mission Impossible (1996) mula ditayangkan di pawagam, reaksi yang diberikan kebanyakannya positif dengan ramai memuji lakonan Cruise dan sentuhan De Palma yang menggunakan teknik pengarah filem legenda, Alfred Hitchcock. Tetapi bagi barisan pelakon asal siri televisyen Mission Impossible, ia dianggap satu penghinaan lebih-lebih lagi dengan menjadikan Jim Phelps (Jon Voight) sebagai antagonis sebenar filem berkenaan. Peter Graves yang memegang peranan sebagai Phelps sebelum itu pernah ditawarkan peluang memainkan peranan perisik itu untuk filem berkenaan tetapi menolak selepas melihat wataknya dijadikan sebagai pengkhianat dan pembunuh anak buahnya sendiri. Mendiang Martin Landau yang pernah membintangi siri berkenaan selama tiga musim melihat gambaran filem berkenaan sebagai tidak realistik.

9. PATUTNYA SEBAGAI PENGGANTI…

Walaupun M:I III mendapat sambutan baik di pawagam pada tahun 2006, ianya tidaklah sebanyak kutipan Mission Impossible dan M:I 2 iaitu $457.7 juta dan $546.4 juta. Ini ditambah dengan kemerosotan Cruise di luar set melalui tingkah laku yang kurang enak seperti melompat di set sofa rancangan Oprah Winfrey, kontroversi membabitkan fahaman Scientology dan khabar angin keengganan beliau mengikut jelajah promosi M:I III sekiranya satu episod South Park yang mengejek Scientology. Bukan itu saja, beberapa filemnya tidak berjaya di panggung seperti Lions for Lambs (2007) dan Valkyrie (2008). Tetapi kemuncak semua ini ialah apabila Paramount memutuskan untuk tidak meneruskan kontrak dengan Cruise selepas 14 tahun bekerjasama pada Ogos 2006 atas alasan tingkah laku yang tidak munasabah.

Dan semasa pembikinan filem Ghost Protocol, wujud khabar angin jenama Mission Impossible akan digugurkan untuk mengikut jejak langkah pesaing Paramount, Warner Bros untuk filem kedua trilogi The Dark Knight arahan Christopher Nolan, The Dark Knight (2008). Begitu juga dengan pengambilan Jeremy Renner yang memegang peranan sebagai William Brandt, di mana peranannya dianggap sebagai pengganti Hunt dan mengambilalih operasi lapangan IMF. Tetapi siapa sangka sentuhan pengarah The Incredibles, Brad Bird mengembalikan semula jenama Mission Impossible dan Ghost Protocol mencatat kutipan tertinggi untuk francais sebanyak $694.7 juta. Ini yang mendorong Paramount mempertimbang semula idea menggugurkan Cruise sebagai protagonis utama dan beliau meneruskan peranan sebagai Hunt untuk Rogue Nation dan Fallout. Renner kembali sebagai Brandt dalam Rogue Nation tetapi tidak dapat mengisi peranannya itu dalam Fallout berikutan komitmen penggambarannya untuk dua filem Avengers yang dijalankan secara serentak.

10. TAK BOLEH TUTUP MATA

Bagi setiap filem Mission Impossible, Cruise mahukan setiap aksi lagak ngeri lebih hebat berbanding filem terdahulu. Dalam kes Rogue Nation, berpaut pada kapal terbang Airbus A400 dilihat lebih hebat berbanding memanjat atau terjun dari Burj Khalifa. Untuk menjayakan babak berkenaan, Cruise diikat pada bahagian tepi kapal terbang semasa ia berlepas. Adegan ini langsung tidak menggunakan kesan khas dengan beliau hanya memakai abah-abah keselamatan untuk memastikannya kekal berada di tepi kapal terbang. Tetapi untuk memastikan setiap babak berjaya, Cruise perlu memastikan matanya sentiasa terbuka semasa penggambaran, sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Untuk keselamatan, produksi mereka lensa-lensa perlindungan keselamatan untuk melindungi matanya itu. Babak berkenaan memerlukan lapan percubaan sebelum pengarah Christopher McQuarrie berpuas hati dengan adegan berkenaan.

SUMBER

  1. Cavalrio, Liz. (2016). IndieWire. Rogue One: Dermot Mulroney Played Cello for Michael Giacchino’s Score. https://www.indiewire.com/2016/12/rogue-one-dermot-mulroney-played-cello-michael-giacchino-score-1201760972/
  2. Ryan, Tom. (2011). WhatCulture. History of the Mission Impossible Film Franchise. http://whatculture.com/film/history-of-the-mission-impossible-film-franchise
  3. Steele, Brian. (2016). IFC.com. 10 Things You May Not Know About The Mission: Impossible Movies. https://www.ifc.com/2016/08/mission-impossible-facts

 

Previous articlePoliglot – Antara Yang Fasih Dalam Banyak Bahasa
Next articleDerbi Nusantara: Malaysia Vs Indonesia
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE