10 Perkara Mengenai Assasins Yang Anda Harus Tahu

3,576

Siri permainan Assassin’s Creed merupakan sebuah francais yang meraih kejayaan secara meluas dalam menampilkan orde rahsia para assassin (pembunuh) yang telah wujud sejak ribuan tahun dahulu. Permainan ini dikenali kerana ketepatan nilai sejarahnya – walaupun komuniti di dalam permainan itu sendiri adalah fiksyen, terdapat banyak (kalau bukan semua), watak assassin dari ketamadunan silam.

Pergerakan-pergerakan di sebalik kumpulan-kumpulan assassin silam ini sering diselubungi misteri – aktiviti mereka bersifat sulit dan bercakap tentang pekerjaan mereka sering dianggap sebagai taboo. Namun, maklumat-maklumat berkenaan assassin yang dapat kita peroleh membolehkan kita menelusuri peranan yang mereka mainkan dalam kalangan masyarakat di zaman silam dan taktik-taktik yang mereka sanggup lakukan semasa melakukan tugas.

Bermula dari kod-kod rahsia hinggalah penggunaan senjata istimewa – berikut adalah 10 fakta berkenaanassassin yang mungkin kita belum pernah dengar sebelum ini.

1. MEREKA TIDAK SELALU MEMBUNUH SASARAN

Perkataan ‘assassinate’ (pembunuhan) pada hari ini membawa maksud membunuh seorang figura penting bagi tujuan politik. Namun, para pembunuh di zaman silam selalunya tidak perlu membunuh untuk mencapai matlamat tugas mereka. Hashashin, sebuah kumpulan pembunuh yang bertapak di Parsi dan Syria sangat digeruni hinggakan apabila mereka meninggalkan nota amaran atau petunjuk, ia sudah memadai untuk mempengaruhi sasaran supaya melakukan apa yang disuruh oleh mereka.

Pemimpin Muslim yang masyhur, Salahudin didakwa pernah menerima salah satu nota ancaman daripada Hashashin. Nota tersebut diletakkan di atas meja berserta pisau beracun dan sedulang kuih yang sinonim dengan Hashashin. Merespon hal itu, Salahudin menuruti amaran tersebut (beliau mengundurkan pasukannya. Jika menurut sejarah, hal ini bukanlah faktor utama pengunduran beliau).

Lukisan abad ke-14 yang menggambarkan pembunuhan Nizam al-Mulk, wazir Empayar Seljuk yang dilakukan oleh seorang pembunuh dari Hashashin. Pembunuhan ini sering dianggap sebagai kejayaan terbesar mereka

Keupayaan Hashashin untuk bergerak secara rahsia tanpa dikesan membuatkan mereka layak melakukan kerja-kerja peisikan. Kadangkala, assassin diupah dengan tugas merisik dan bukannya membunuh atau membahayakan sasaran. Risikan adalah suatu tugas yang enggan dilakukan oleh kumpulan lain. Misalnya, samurai merasakan perbuatan merisik tidak sesuai bagi mereka justeru mendorong orang ramai untuk mengupah ninja.

Ninja wanita yang dipanggil sebagai kunoichi merupakan pembunuh yang mahir

2. ANTARA NINJA TERBAIK ADALAH KAUM WANITA

Secara tradisinya, peperangan melibatkan kaum lelaki dan makanya kebanyakan pahlawan dan panglima terhebat yang kita kenali adalah dari kaum lelaki. Namun dalam dunia pembunuhan, kaum wanita tidak seharusnya dilupakan. Apatahlagi, terdapat sebuah kumpulan ninja bernama kunoichi yang secara khusus dianggap sebagai pembunuh yang mahir.

Memandangkan wanita secara umumnya dianggap sebagai suri rumah yang tidak berbahaya, kunoichimengambil kesempatan ke atas perkara itu untuk merapati sasaran mereka – sama ada untuk meraih maklumat atau membunuh. Setelah berjaya menghampiri sasaran, mereka akan menghabiskannya seganas ninja lelaki. Kunoichi juga tidak canggung menggunakan shuriken (bintang lontar) dan katana – senjata yang sering dikaitkan dengan ninja.

Pembunuh silam yang dikenali sebagai Thuggees bergerak secara berkumpulan. Lukisan menggambarkan Thuggees mengikat seorang pengembara; seorang memegang kaki, seorang memegang tangan dan yang ketiga mengikat lehernya

3. MEREKA BOLEH JUGA HADIR DALAM BENTUK SAMSENG

Pembunuh di zaman silam boleh hadir sebagai kumpulan samseng (thug) – sebenarnya, daripada situlah wujudnya perkataan “thug”. Sebuah kultus pembunuh silam bernama Thuggees (bahasa Sanskrit yang bermaksud ‘penyembunyian’) merupakan sebuah geng pembunuh yang beroperasi di India pada rentang waktu antara abad ke-13 hingga abad ke-19M. Mereka tidak bergerak secara sendirian seperti kebanyakan pembunuh silam lain. Sebaliknya, Thuggees menyerang sasaran secara berkumpulan dengan setiap ahli memainkan peranan berbeza – sebagai pemantau keadaan misalnya.

Thuggees
 dianggap sebagai mafia pertama di dunia dan dipercayai bahawa mereka bertanggungjawab ke atas 2000 000 kematian. Pada zaman mereka, Thuggees sangat digeruni sehingga nama tersebut terus mekar dalam lipatan sejarah.

Pembunuh silam legenda, Harmodius dan Aristogeiton

4. PEMBUNUH MEMPUNYAI PANGKALAN YANG BESAR

Nama assassin datang daripada perkataan Hashashin, sebuah kumpulan yang pernah memberikan ancaman kepada Salahuddin. Pangkalan mereka terletak di sebuah istana besar yang berlokasi di Alamut, Iran moden yang ditawan oleh mereka pada tahun 1100an. Alamut bermaksud ‘sarang helang’ sekaligus memberi petunjuk tentang lokasi istana – berada di puncak gunung yang tinggi. Setelah istana itu ditawan oleh Hashashin, pertahanan kubunya ditambah baik secara meluas.

Kawasan-kawasan sekitarnya turut diusahakan dengan begitu rancak bagi membekalkan makanan. Sebuah perpustakaan juga dibina bagi memuatkan buku-buku langka. Begitu juga dengan instrumen-instrumen astronomi yang turut diberikan perhatian oleh kumpulan ini.
Kubu Hashashin pada asalnya dianggap mustahil untuk ditembusi. Lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya mempertahankan istana itu daripada serangan Salahuddin pada tahun 1176M. Namun, anggapan tersebut dipatahkan apabila Mongol berjaya menawannya sekitar tahun 1260M.

5. SEBAHAGIAN PEMBUNUH MERAIH STATUS LEGENDA – NAMUN TIDAKLAH STATUS ITU BERUPA PUJIAN SENTIASA


Baik dianggap bertndak sendirian, atau bergerak bersama rakan subahat, atau malah difitnah oleh pihak Kerajaan, kesemua kemungkinan ini melekat pada batang tubuh Lee Harvey Oswald – lelaki yang dipertanggungjawabkan ke atas pembunuhan Presiden John F. Kennedy. Bagi masyarakat Athen purba, nama-nama seperti Harmodius dan Aristogeiton mungkin dikenali dengan agak serupa. Tindakan pembunuhan mereka turut dicertiakan dalam beberapa buah teks purba.

Walaupun mereka telah menyediakan perancangan yang teliti untuk membunuh dua orang lelaki dalam sebuah pesta keraian, mereka bertindak secara gelabah sekaligus identiti mereka terdedah dengan begitu awal. Hal tersebut membawa kepada lolosnya salah seorang sasaran mereka sambil Harmodius sendiri terbunuh.

Tidak seperti Harmodius, Aristogeiton mungkin terselamat. Namun, beliau tertangkap dan dihukum bunuh juga pada akhirnya. Kisah ini mungkin agak lucu jika diperdengarkan pada hari. Ia juga berkemungkinan berfungsi sebagai satu pengajaran supaya tidak cuba-cuba membunuh sesiapa atau tidak, tindakan tersebut akan memakan diri.

6. SEBAHAGIAN PEMBUNUH MEWARISKAN TUGAS MEREKA

Mungkin hal ini kedengaran seperti plot dalam sesebuah novel fantasi. Namun dalam kebudayaan tertentu, peranan membunuh sememangnya diwariskan daripada si bapa kepada anaknya. Misalnya dalam Thuggees– walaupun boleh sahaja seseorang itu menyertai kumpulan tersebut menerusi latihan oleh seorang guru, terdapat ramai ahli Thuggees yang lahir dalam komuniti itu sendiri.

Jika sistem kasta di India masih berpengaruh pada hari ini, maka apatah lagi pada masa dulu di mana undang-undangnya jauh lebih ketat. Dalam erti kata lain, apabila seseorang menjadi Thuggees, berkemungkinan besar keturunannya akan mewarisi peranan tersebut dan turut menjadi Thuggees – generasi demi generasi.

Thuggees
 bukanlah satu-satunya kumpulan pembunuh yang mewariskan tugas pembunuhan. Hal yang sama juga berlaku dalam kebanyakan ninja. Untuk mengekalkan kerahsiaan kumpulan dan memelihara kemisterian identiti, sebahagian keluarga ninja hanya akan menurunkan ilmu kepada anak sendiri.

7. MEREKA MENJALANI LATIHAN BERAT

Dalam kumpulan Hashashin, terdapat sejumlah peringkat pembunuh. Fida’i merupakan peringkat pembunuh yang paling rendah. Walaupun mereka dilihat sebagai ahli yang kurang penting dan sesuai untuk dikorbankan, pada hakikatnya Fida’i menjalani latihan yang agak ketat.

Mereka memerlukan sejumlah kemahiran – selain kekuatan fizikal dan kemahiran bersenjata, pembunuh juga perlu cukup bijak untuk memperdaya dan memerangkap masa. Mereka juga perlu celik huruf dan berpendidikan agar boleh memahami budaya lain di samping bertutur dalam banyak bahasa.

Legenda berkenaan latihan Fida’i memperlihatkan bahawa mereka sering diberikan ganja semasa awal penyertaan mereka walaupun hal ini cenderung adalah kesilapan tafsir daripada para pengembara seperti Marco Polo yang mengaitkan asal-usul nama Hashashin dengan penggunaan hashish.  

Latihan bagi para ninja juga lebih meluas, memandangkan mereka juga perlu mempelajari beberpaa kemahiran lain seperti meninjau (scouting) dan kebolehan asas bagi sesebuah profesion yang mereka perlu ceburi bagi mendapat akses kepada sasaran tanpa menarik syak-wasangka.

8. MEREKA MEMILIKI BANYAK KOD RAHSIA

Memandangkan aktiviti mereka berjalan secara sulit, para pembunuh tidak boleh bercakap secara terbuka dan sembarangan. Namun, mereka masih juga perlu menyampaikan pesanan rahsia kepada rakan-rkaan yang lain. Salah satu kod rahsia yang digunakan oleh ninja adalah menerusi penggunaan sesuatu benda yang tidak mendatangkan syak-wasangka seperti beras.

Sistem ini dikenali sebagai Goshiki-Mai, yang bermaksud ‘Lima Warna Beras’. Persis namanya, sistem pesanan ini ditinggalkan menerusi kombinasi lima warna beras yang berbeza. Dipercayai bahawa terdapat ratusan kombinasi yang perlu diketahui dan dihafal oleh ninja. Beras merupakan suatu barang yang tidak mendatangkan syak-wasangka, walaupun ditinggalkan di tempat-tempat terbuka seperti tepi jalan. Malah, pewarna turut digunakan supaya beras tersebut tidak dimakan oleh burung atau haiwan lain.

9. MEREKA MENGGUNAKAN SENJATA ISTIMEWA

Pembunuh perlu sentiasa terkehadapan dan hal ini bermaksud mereka tidak boleh sentiasa membawa senjata tradisional yang lazim dikenali. Walaupun senjata seperti shuriken sangat masyhur, terdapat sejumlah senjata lain yang digunakan oleh pembunuh.

Racun mungkin merupakan suatu senjata yang paling mudah untuk disembunyikan bagi tujuan pembunuhan. Namun, racun tidak selalunya mendatangkan hasil yang diinginkan, terutama apabila mangsa masih boleh sedar dan mengeluarkan amaran sebelum terkulai mati. Untuk itu, senjata yang bersifat lebih langsung perlu digunakan (dalam keadaan tersembunyi).

Kunoichi
 misalnya, akan menajamkan pin rambut (kanzashi) dan memakai sarung kuku besi yang dikenali sebagai cakar kucing untuk menyerang sasaran. Hashashin Fida’i pula mempunyai pisau pendek yang istimewa. Pembunuh-pembunuh lain paling kurang berupaya mengubahsuai alatan seringkas peralatan kebun supaya dapat digunakan secara lebih efektif tanpa mendatangkan sebarang syak-wasangka.

Ninja wanita, kunoichi, akan menajamkan kanzashi (pin rambut) untuk digunakan sebagai senjata

10. MEREKA MEMANFAATKAN KHABAR ANGIN

Terdapat banyak kisah luar biasa berkenaan para pembunuh dan kebanyakannya tidak munasabah dan tidak masuk akal. Namun, para pembunuh tidak terjejas dengan perkara itu. Malah, mereka sendiri menyebarkan atau bahkan memulakan sesebuah khabar angin tentang diri mereka sendiri.

Menjadi satu kelompok yang digeruni oleh masyarakat merupakan suatu perkara yang boleh dimanfaatkan oleh mereka. Apatahlagi jika masyarakat menganggap para pembunuh ini berupaya membaca minda atau menjadi halimunan. Hal seperti ini sudah tentu lebih memudahkan pekerjaan mereka.

Sebahagian pembunuh boleh menyelesaikan tugasnya tanpa perlu membunuh – hanya dengan meninggalkan surat amaran sahaja sudah cukup untuk menggerunkan sasaran (musuh) sehingga mereka menyerah diri.

Berupaya untuk mengubah propaganda supaya berpihak kepada kepentingan mereka merupakan suatu kemampuan lazim bagi mana-mana manusia yang mahir memanipulasi dan hal ini ternyata merupakan satu pendekatan yang bijak.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Sarah P. Young. (26 Mac 2019). 10 Killer Tactics From the Secret World of Ancient Assassins. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/ancient-assassins-0011666

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.