10 Penemuan Harta Karun Bawah Laut Yang Gegarkan Dunia

1,600

ARTIFAK DARI LOKASI PERTEMPURAN LAUT PERTAMA YANG PERNAH DIKENAL PASTI

Pada November 2013, lingkungan arkeologi mengumumkan penemuan sebuah lubuk artifak dari lokasi pertempuran laut pertama pernah ditemui, bertempat di pantai Sicily. Antara yang barangan yang dijumpai termasuklah alat perempuan, pelindung kepala, baju besi, dan senjata yang rata-ratanya berusia 2000 tahun.

Kesemua artifak ini adalah tinggalan dari Pertempuran Kepulauan Egadi, iaitu pertempuran terakhir dalam P3rang Punic Pertama yang berlaku pada 241 Sebelum Masehi di mana Rom yang mahu membina hegemoni di Laut Mediterranean berp3rang dengan Carthage selama lebih 20 tahun. Walaupun Carthage lebih unggul dalam pep3rangan laut, mereka dikejutkan dengan serangan armada Rom yang datang secara tiba-tiba.

Dianggarkan sebanyak 50 buah kapal Carthage ditenggelamkan dan kira-kira 10 000 orang tenteranya terkorban. Kemenangan Rom dalam pertempuran ini merintis laluan mereka untuk mendominasi rantau Eropah. Lebih dua ribu tahun lamanya, relik-relik tinggalan dari pertempuran tersebut terus terdampar di dasar laut tanpa berusik malah ditemui pula dalam keadaan yang sempurna.

PIL PERUBATAN BERUSIA 2000 TAHUN DARI ROM YANG MASIH SEMPURNA

Pada Jun 2013, sepasukan saintis Itali menjalankan analisis kimia ke atas pil-pil perubatan dari Rom purba yang ditemui di Relitto del Pozzio, sebuah kapal berusia 2000 tahun yang terdampar di pantai Tuscany, berhampiran runtuhan kota Populonia dari tamadun Etruscan. Pada zaman dahulu, Populonia terkenal sebagai kota pelabuhan penting di laluan perdagangan yang menghubungkan antara barat dan timur Mediterranean.

Sepanjang 1980an dan 1990an, ekskavasi ke atas bangkai kapal Relitto del Pozzino dijalankan oleh Superintenden Arkeologi Tuscany dan hasil penemuannya melibatkan pelbagai macam artifak seperti lampu-lampu yang berasal dari Asia Kecil dan barang dagangan dari Syria-Palestin yang meliputi mangkuk gelas, jag gangsa, bekas arak dari seramik, dan kotak perubatan yang dipenuhi dengan cangkuk bedah, lesung, botol kayu yang mengisi ubat-ubatan, dan beberapa bekas tin silinder yang salah satunya menyimpan banyak pil kering.

Pil-pil ini kemudian diteliti kandungannya dan saintis mendapati ia dihasilkan daripada sebatian zink, besi oksida, kanji, resin pain, dan beberapa pati tumbuhan lain. Berdasarkan bentuk dan komposisinya, saintis menyimpulkan bahawa pil-pil tersebut digunakan sebagai penawar penyakit mata.

BANGKAI KAPAL BERUSIA 3200 TAHUN DI CROATIA

Pada Mac 2014, Giulia Boetto, seorang ahli arkeologi dan penyelidik maritim di Pusat Saintifik Kebangsaan de la Recherche (CNRS) di Perancis mengumumkan penemuan sebuah bangkai kapal di Teluk Kecil Zambratija, Croatia, yang berusia seawal 1200SM.

Penemuan ini dianggap langka kerana kapal dari Zaman Gangsa itu adalah jenis kapal tenun, iaitu sejenis kapal kayu yang diikat menggunakan tali, akar, atau dahan pokok willow. Kapal ini berukuran 7 meter panjang dan 2.5 meter lebar. Teknik pembinaannya yang unik itu diamalkan di Lautan Adriatik sejak sekian lama hingga ke era Rom.

Ketika dijumpai, keadaan kapal ini sangat terpelihara dan tenunan-tenunannya masih tampak pada beberapa bahagian badan kapal. Sebahagian besar bingkai kapal juga masih sempurna. Antara jenis kayu yang digunakan untuk membina kapal berkenaan ialah pokok elm, pokok alder, dan pokok fir. Model 3D kapal ini turut dihasilkan sebagai rujukan untuk membina semula kapal langka tersebut.

TEMPURUNG-TEMPURUNG KEPALA YANG DIPERPANJANG DITEMUI DI DASAR TASIK MAYA

Pada Januari 2014, sebuah sinkhole yang terletak di selatan Mexico diterokai oleh sekumpulan ahli arkeologi maritim dan hasilnya, mereka menjumpai gua yang dipenuhi dengan tulang-belulang manusia dan tempurung-tempurung kepala yang diperpanjang.

Gua bawah air yang dikenali sebagai Sac Uayum ini merupakan sebuah cenote yang terletak di Semenanjung Yucatan, Mexico. Cenote pula adalah sebuah lubang semulajadi yang terbentuk hasil daripada runtuhan batu kapur. Cenote kadangkala dijadikan sebagai lubuk untuk mengedepankan sembah korban oleh masyarakat Maya purba.

Menurut legenda tempatan, gua misteri itu dilindungi oleh seekor naga berbulu dan berkepala kuda. Penduduk lama kampung Telchaquillo yang terletak berhampiran seringkali menceritakan kisah penampakan naga yang bertenggek di sebatang pokok, di mana naga tersebut  kebiasaannya akan terbang berputar sebanyak tiga kali sebelum menyelam ke dalam air.

Sejak hari pertama usaha penyelaman dilakukan, ahli-ahli arkeologi maritim yang bertugas di tapak berkenaan menemui sebab sebenar mengapa kawasan itu ditakuti oleh penduduk tempatan.

Mereka meyakini suatu peristiwa hitam pernah terjadi di kawasan tersebut dan kisah itu diwariskan dari satu generasi ke satu generasi sehingga ia berkembang menjadi mitos mahupun legenda – legenda yang berasal-usul daripada puluhan rangka manusia yang terdampar di gua bawah air berkenaan.

Hampir kesemua rangka manusia tersebut tidak mempunyai sebarang petanda yang boleh mengisyaratkan punca kematiannya, justeru ahli-ahli arkeologi menyimpulkan yang ia bukan mati sebagai mangsa korban sekaligus menambahkan lagi ciri misteri bagi penemuan ini.

RELIK-RELIK LAUTAN BERUSIA 11 000 TAHUN DITEMUI OLEH PARA PENYELAM DARI SWEDEN

Pada awal tahun 2014, sekumpulan penyelam dari Sweden melakukan satu penemuan langka di Lautan Baltik melibatkan relik-relik Zaman Batu yang ditinggalkan oleh suku-suku nomad Sweden, dipercayai berusia 11 000 tahun. Penemuan ini dianggap berharga kerana amat sukar bagi lingkungan arkeologi untuk menjumpai tinggalan-tinggalan Zaman Batu yang terpelihara keadaannya.

Terdampar sedalam 16 meter dari paras permukaan, pasukan penyelam berjaya menemui kayu-kayan, alatan batu, tanduk-tanduk haiwan dan tali-temali. Begitu juga dengan tempuling yang diperbuat daripada tulang haiwan, serta tulang-belulang auroch, haiwan purba yang merupakan moyang kepada lembu jinak (pupus pada awal 1600an).

PUING-PUING BANGUNAN BERUSIA 10 000 TAHUN DI DASAR LAUT JEPUN

Jauh di dasar pantai selatan Yonaguni, Jepun, dijumpai puing-puing bangunan yang dianggarkan berusia 10 000 tahun. Asal-usul runtuhan ini masih diperdebatkan secara hangat – ramai pakar berpendapat ia adalah buatan-manusia sambil sebilangan yang lain menegaskan yang ia terbentuk hasil daripada fenomena semulajadi.

Runtuhan ini ditemui pada 1995 oleh seorang penyelam yang tersasar jauh dari trek penyelaman di pantai Okinawa. Bentuknya seakan-akan teres yang dibina di lereng gunung.

Menambah lagi ciri uniknya, runtuhan ini terdiri daripada bongkah-bongkah batu bersaiz besar yang saling tercantum dengan sempurna, mempunyai sudut yang tepat, dan diperindah dengan ukiran-ukiran teliti serta dilengkapi tangga, rangkaian jalan berturap, persimpangan, dan dataran.

Walaupun begitu, terdapat saintis seperti Robert Schoch, ahli geologi dari Universiti Boston yang berpendapat ia terbentuk secara semulajadi hasil daripada pergerakan plat tektonik.

KOTA PELABUHAN PURBA ZAKYNTHOS

Pada Jun 2013, ahli-ahli arkeologi Yunani menjumpai sebuah kota purba yang tenggelam di teluk Alykanas, Zakynthos, Greece. Menurut Jabatan Barangan Antik Dasar Laut Greece, penemuan ini melibatkan sejumlah bangunan awam bersaiz besar, rangkaian jalan berturap, tapak tiang bangunan dan binaan-binaan langka yang lain. Antara jumpaan signifikan adalah 20 buah tapak tiang yang kesemuanya mempunyai ukuran diameter kira-kira 34 cm.

Penelitian awal menyimpulkan bahawa puing-puing yang dijumpai ini adalah sebahagian daripada kota pelabuhan Zakynthos, iaitu sebuah kota purba yang pernah disebutkan oleh Homer di dalam Illiad dan Odyssey. Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang beranggapan runtuhan-runtuhan ini hanyalah hasil pembentukan unik dari fenomena alam.

KOTA SINGA YANG MASIH SEMPURNA

Kota Singa, atau dikenali sebagai Shi Cheng, adalah sebuah kota purba yang tenggelam di dasar Tasik Qiandao yang terletak di kaki Gunung Wu Shi (Gunung Lima Singa), China. Sejak ditemui semula pada Februari 2014, pihak kerajaan menunjukkan minat untuk mengembalikan semula kota berkenaan setelah lebih 50 tahun ia terdampar di dasar tasik. Ketika ditemui, seluruh Kota Singa masih berada dalam keadaan yang sempurna.

Kota ini dibina pada zaman Dinasti Han Timur (25-200M) dan pernah menjadi pusat politik dan ekonomi di wilayah Zhejiang. Namun pada tahun 1959, kerajaan China berhasrat mahu membangunkan sebuah stesen janakuasa hidroelektrik.

Untuk itu, mereka pun membina sebuah tasik-buatan sekaligus mengakibatkan Shi Cheng tenggelam sedalam 40 meter di dasar Tasik Qiandao. Semenjak itu, Kota Singa tidak lagi diingati dan setelah berlalu masa selama 53 tahun, Qiu Feng, seorang petugas kerajaan yang terlibat dalam sektor pelancongan berhasrat mahu menghidupkan kembali kota yang tenggelam itu.

Maka, kerja-kerja ekskavasi arkeologi pun dilakukan dan dengan penuh keajaiban, seluruh kota Shi Cheng masih kukuh berdiri, lengkap dengan segala kuil, lengkungan monumental, rangkaian jalan berturap, dan bangunan-bangunan perumahan (termasuklah alang-alang dan tangga-tangga kayunya).

KOTA BAWAH LAUT BERUSIA 5000 TAHUN DI GREECE

Di wilayah Peloponnesus, selatan Greece, terdapat sebuah kampung kecil bernama Pavlopetri. Berhampiran kampung tersebut, tersembunyi sebuah kota purba berusia 5000 tahun. Tapak bersejarah yang tenggelam di lautan ini boleh dijumpai kira-kira 4 meter dari permukaan dan ia dianggap sebagai antara kota bawah laut tertua pernah diketahui di dunia.

Kota ini direka dengan sangat teliti, merangkumi rangkaian jalan, binaan rumah dua tingkat yang dilengkapi kawasan kebun, kompleks kuil dan tanah perkuburan, serta saliran dan paip air. Di tengah-tengah kota pula terdapat sebuah dataran berukuran 40×20 meter dan kebanyakan bangunan yang dijumpai mempunyai sebanyak 12 buah bilik.

Usia kota ini sangat tua dan dipercayai wujud pada era yang melatarbelakangi puisi epik Illiad. Kajian tahun 2009 mendedahkan bahawa keluasan kota ini mencecah 9 ekar dan ia telah dihuni sekurang-kurangnya seawal tahun 2800SM.

Saintis menganggarkan kota ini tenggelam ke dasar lautan sekitar tahun 1000SM akibat berlakunya gempa bumi. Namun, keadaan kota ini tidak banyak terjejas dan sehingga kini, sekurang-kurangnya 15 buah bangunan telah dijumpai. Susunan kota masih sangat jelas hinggakan John Henderson dan pasukannya dari Universiti Nottingham berupaya membina semula model 3D bagi kota ini dengan tepat.

KOTA HERACLEION – ANTARA MITOS DAN REALITI

Kota Heracleion yang tenggelam di dasar Laut Mediterranean hampir 1200 tahun lalu menempatkan kuil yang menyaksikan penabalan Cleopatra. Pada zaman kemuncaknya, kota ini merupakan salah sebuah pusat perdagangan paling penting di rantau berkenaan. Dek kerana telah lama luput dari ingatan manusia, Kota Heracleion sebelum ini hanya dianggap sebagai sebuah kota legenda. Namun pada tahun 2001, seorang ahli arkeologi maritim yang sedang mencari kapal-kapal p3rang Perancis tanpa semena-mena menemui kota purba berkenaan.

Setelah membuang lapisan-lapisan pasir dan lumpur yang menyelaputi Kota Heracleion, segala khazanahnya pun tampak kelihatan. Antara yang dijumpai termasuklah kuil utama Amun-Gerb, tugu-tugu firaun bersaiz gergasi, ratusan patung kecil dewa-dewi, sebuah tugu sphinx, 64 buah kapal purba, 700 buah sauh, prasasti-prasasti yang mempunyai tulisan Yunani dan Mesir Purba, puluhan sarcophagus, serta longgokan syiling emas dan pemberat yang diperbuat daripada gangsa dan batu.

Herodotus di dalam karyanya ada memerihalkan tentang sebuah kuil utama yang dibina tepat di tempat Heracles menjejakkan kakinya buat pertama kali di Mesir, justeru tempat itu dinamakan bersempena nama beliau. Beliau juga ada mengisahkan tentang kunjungan Helen ke Heracleion bersama kekasihnya, Paris, sebelum berlakunya P3rang Trojan.

Lebih empat kurun selepas Herodotus melawat Mesir, Strabo pula mengabadikan kota Heracleion di dalam karyanya. Namun sejak sekian lama setelah ia tenggelam di dasar lautan, Heracleion hanya dianggap sebagai sebuah kota legenda sebelum akhirnya, kewujudan kota purba ini berjaya dibuktikan.

TERJEMAHAN:

April Holloway. (3 April 2014). Ten Incredible underwater discoveries that have captured our imagination. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places/ten-incredible-underwater-discoveries-have-captured-our-imagination-001522

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.