10 Kontroversi Membabitkan Winston Churchill

0
1207
views

Baru-baru ini, salah seorang penulis The Patriots, Ayman Rashdan Wong berkongsi berkenaan filem The Darkest Hour yang menampilkan Gary Oldman (trilogi The Dark Knight, Thinker Tailor Soldier Spy) sebagai negarawan Britain, Sir Winston Churchill. Dalam pada ramai memuji lakonan beliau dalam filem tersebut, ada satu komen yang menarik perhatian saya. Seorang hamba Allah ini menyifatkan Churchill sama sekali tidak layak mendapat penghormatan kerana dia juga seorang penjenayah perang sama seperti Adolf Hitler. Nampak kontroversi tetapi tuduhan ini bukan satu-satunya kontroversi yang dihadapi oleh Perdana Menteri era Perang Dunia Kedua (WWII) ini.

1. PERKAUMAN

Jika anda nak mengata Churchill seorang rasis, baik anda sertakan dengan bukti. Jika tidak, nasib kena kecam. Buktinya, pada tahun 2014, seorang calon Parti Buruh bernama Benjamin Whittingham menulis dalam akaun Twiter bahawa Churchill seorang rasis dan pelampau kulit putih. Komen Whittingham dikecam ramai pihak termasuk cucu Churchill, Sir Nicholas Soames. Parti Buruh sendiri menjauhkan diri dari kontroversi tersebut dan menyatakan Whittingham sudah memohon maaf atas komennya yang tidak sensitif itu.

Tetapi apakah dakwaan ini benar? Mari kita lihat. Pada tahun 1937, beliau memberitahu Suruhanjaya Diraja Palestin, “Saya tidak mengakui bahawa kesalahan besar telah dilakukan pada orang asli Amerika atau orang kulit hitam dari Australia (Aborigines). Saya tidak mengakui kesalahan yang dilakukan terhadap mereka ini oleh sebuah bangsa yang lebih kuat, bertaraf tinggi dan lebih bijak telah datang dan mengambilalih kedudukan mereka.” Menurut John Charmley, penulis buku Churchill: The End of Glory menyifatkan Churchill percaya kepada hierarki bangsa dan kuasa orang kulit putih. Charmley menambah, “Churchill melihat dirinya dan Britain sebagai pemenang dalam hierarki sosial Darwin.

Namun menurut Richard Toye, penulis buku Churchill’s Empire menyatakan pandangan Churchill itu bukanlah sesuatu yang asing pada zamannya walaupun ramai menolak idea tersebut. Dan jika dibandingkan sikap Churchill dengan kegilaan Hitler berkenaan keagungan bangsa Aryan, Toye menambah, “Walaupun Churchill percaya bangsa kulit putih lebih hebat, itu tidak bermakna beliau percaya melayan orang bukan kulit putih tanpa perikemanusiaan itu sesuatu yang baik.”

2. GAS BERACUN

Satu kontroversi membabitkan Churchill ialah memo arahannya kepada tentera British untuk menggunakan senjata kimia terhadap orang Kurdis dan Afghanistan semasa berkhidmat sebagai Menteri Perang dan Udara. Dalam memonya, beliau menulis, “Saya tidak faham kejijikan ini membabitkan penggunaan gas. Saya menyokong penggunaan gas beracun terhadap puak-puak yang tidak bertamadun.” Memo yang ditulis pada tahun 1919 ini menjadi senjata kepada ramai pengkritik Churchill termasuk Noam Chomsky untuk menyerang keperibadian beliau.

Namun menurut Warren Dockter, seorang felo penyelidik dari Universiti Cambridge dan penulis buku Churchill and the Islamic World, memo tersebut sebenarnya disalahertikan. Dockter menyatakan gas yang dicadangkan untuk kempen di Mesopotamia ialah gas pemedih mata bukan gas mustad. Dalam memo tersebut, Churchill menyatakan sebab penggunaan gas dipilih ialah untuk mengurangkan bilangan kematian dalam kalangan tentera, menakutkan pihak musuh dan tidak memberi kesan sampingan kekal pada mana-mana pihak yang terkena.

Walau bagaimanapun, taktik serangan bom yang diperkenalkan oleh Tentera Udara Diraja Britain (RAF) ke atas puak-puak yang memberontak pada tahun 1920 masih lagi dianggap satu kontroversi yang berterusan sehingga ke hari ini. Malah strategi ini digunakan untuk kempen-kempen perang berikutnya dari Perang Dunia Kedua (WWII) hinggalah konflik di Afghanistan dan Iraq. Selain itu, menurut Dockter, Churchill juga sebenarnya tidak teragak-agak memilih gas mustad dalam menghadapi tentangan tentera Empayar Uthmaniyyah semasa Perang Dunia Pertama (WWI). Walau bagaimanapun, Dockter mengingatkan kebanyakan negara yang terlibat turut menggunakan gas tersebut semasa WWI.

3. KEBULURAN DI BENGAL

Satu perkara yang menyebabkan Churchill dilabel sebagai penjenayah perang ialah isu kebuluran yang melanda wilayah Bengal, India. Peristiwa yang berlaku pada tahun 1943 ini mengakibatkan tiga juta warga India mati. Menurut penulis buku Churchill’s Secret Wars, Madhusree Mukerjee, sudahlah Churchill enggan memenuhi rayuan mereka untuk bekalan gandum tetapi masih mahu India mengeksport beras untuk membantu usaha perang. Dan reaksi pelik beliau bila mendengar insiden ini ialah, “Mengapa Gandhi masih belum mati?” Ini ditambah dengan sikapnya sekali pada musim panas dan musim luruh 1943. Churchill memberitahu Setiausaha Negeri India, Leopold Amery, “Mereka orang buas dengan agama yang buas.” Dalam satu mesyuarat bersama kabinet perangnya, beliau menganggap kebuluran yang melanda India berlaku kerana mereka membiak seperti arnab.

Dalam bukunya, Mukerjee turut menyebut bekalan gandum dihantar ke Ceylon (Sri Lanka) untuk memenuhi keperluan di sana walaupun krisis di sana tidaklah mendesak seperti apa yang berlaku di India. Kapal-kapal Australia yang membawa bekalan gandum berlayar melepasi bandar-bandar India di mana ramai mati bergelimpangan di jalanan ke depot-depot di Eropah dan Balkan. Amerika Syarikat dan Kanada cuba menawarkan bantuan makanan kepada India tetapi ditolak oleh London. Tambah memilukan, tindakan Britain tidak membenarkan India menggunakan simpanan wang atau kapal mereka untuk mengimport gandum menambah penderitaan rakyat di sana. Britain turut mengenakan harga mahal bagi gandum untuk memastikan bekalan sentiasa ada menyebabkan warga India yang tidak berkemampuan tidak dapat membelinya. Gabenor India pada tahun tersebut, Lord Wavell menyifatkan sikap kerajaan Churchill terhadap India sebagai memualkan, cuai dan kejam.

Toye dalam bukunya berpandangan Churchill melihat isu tersebut sebagai gangguan tatkala sibuk melawan ancaman rejim Nazi Jerman di Eropah. Bagi Charmley, imej beliau yang dikatakan berpandangan jauh itu dilihat satu mitos saja. Menurut beliau, jika benar Churchill mempunyai pandangan sedemikian, pasti beliau tidak akan mengulangi kesilapan sama apabila kebuluran melanda Ireland satu abad sebelumnya. Bagi penyokong Churchill pula, mereka menyatakan Churchill terlalu sibuk dengan situasi perang di mana kepentingan dan keutamaan berbeza-beza. Arthur Herman, penulis buku Churchill & Gandhi menyifatkan tanpa Churchill, situasi di India boleh saja bertukar jadi lebih buruk. Dan selepas mendapat tahu skala sebenar insiden tersebut, bantuan segera dihulurkan tanpa menggugat usaha perang Britain. Walau apapun alasan Churchill, bagi Toye, ia seharusnya tidak berlaku. Walaupun sumber empayar berkurangan semasa perang, ini bukanlah alasan untuk tidak menghantar bentuk bantuan pada mereka yang terjejas.

4. MAHATMA GANDHI

Pada tahun 1930-an, Churchill tidak menyembunyikan kebenciannya pada penggerak kemerdekaan India, Mahatma Gandhi. Pada tahun 1931, beliau menggelar Gandhi seorang penghasut yang menyamar sebagai seorang fakir untuk meraih kepercayaan rakyat. Dan pada satu mesyuarat bersama kabinetnya, Churchill berkata, “Gandhi tidak perlu dilepaskan hanya kerana dia berpuasa. Kita seharusnya hapuskan lelaki jahat dan musuh kepada Empayar akan berkurangan apabila dia mati.” Tidaklah mengejutkan mengapa Gandhi dibenci Churchill kerana beliau dianggap halangan utama dalam mengekalkan penguasaan Britain ke atas India seperti dinyatakan Setiausaha Luar, Boris Johnson dalam biografinya berkenaan Churchill.

Menurut Charmley, sikap Churchill ini tidak popular dalam kalangan anggota Konservatif kerana dianggap terlalu menjurus kepada pelampau berhaluan kanan. Sentimen ini turut dikongsi oleh parti-parti lawan seperti Buruh dan Liberal di mana pandangan sebegini tidak boleh diterima. Kerasnya penentangan Churchill terhadap Gandhi sehinggakan beliau tidak mahu India mencapai kemerdekaan hingga ke tahap memusuhi pemimpin partinya sendiri dan mempunyai pandangan buruk pada agama Hindu. Charmley menyifatkan pandangan sebegini timbul kerana mentaliti imperialis era Victoria yang menyifatkan kemerdekaan India bakal membawa kepada kejatuhan Empayar Britain dan penamat kepada peradaban manusia.

Atas sikap inilah, apabila Churchill memberi amaran tentang Adolf Hitler pada akhir 1930-an, ramai tidak mengambil endah nasihatnya. Dan semua berbuat demikian kerana bahasa yang digunakan Hitler pada ketika itu sama seperti yang digunakan terhadap Gandhi pada awal 1930-an.

Waqaf Saham

5. ANTI-SEMITIK

Pada tahun 2012, ada cadangan untuk mewujudkan Pusat Churchill di Baitulmaqdis (Jerusalem) tetapi dibantah oleh beberapa pihak. Alasan mereka, Churchill seorang anti-Semitik walaupun idea tersebut ditolak penulis biografi beliau, Sir Martin Gilbert yang menyifatkan beliau memahami fahaman Zionis dan menyokong idea negara Israel.

Menurut Charmley, walaupun dakwaan beliau sebagai penyokong gerakan Zionis ada benarnya namun ia masih dianggap tidak sesuai dengan sikapnya yang anti-Yahudi. Bukti bagi dakwaan ini ialah sebuah artikel bertajuk ‘How The Jews Can Combat Persecution’ di mana ia dikatakan ditulis oleh Churcill. Tulisan tersebut menyifatkan orang Yahudi sengaja mengundang penindasan dan mereka juga dikatakan menyumbang sebahagian daripada punca kepada penindasan mereka. Tulisan tersebut turut menggelar orang Yahudi sebagai bangsa asing yang hanya setia kepada bangsa mereka sendiri. Ramai sejarawan Churchill mempertikai kesahihan artikel ini dan mendakwa artikel tersebut sebenarnya ditulis seorang wartawan bernama Adam Marshall Diston. Bagi Dockter, pendirian Churchill pada zaman tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi itu tidak menjadikannya anti-Semitik seperti yang didakwa.

6. PENDIRIAN TERHADAP ISLAM

Dalam bukunya The River War, Churchill menyifatkan orang Islam sebagai ganas, fanatik dan kurang empati dalam diri mereka. Dalam buku tersebut, beliau turut menyelar mereka sebagai orang yang mundur dari segi cara hidup tanpa mengira di mana mereka tinggal atau memerintah. Berikutan itu, sesetengah pengguna internet menggabungkan petikan ayat ini dengan imej Churchill untuk menunjukkannya sebagai seorang yang anti-Islam. Bagaimanapun, menurut Charmley, ini satu lagi norma biasa yang berlaku semasa era beliau. Ini disokong dengan catatan Dockter dengan menyatakan kecaman Churchill dalam The River War itu merujuk kepada golongan Mahdi di Sudan selepas tercetus perang antara golongan tersebut dengan empayar Britain.

Churchill sebenarnya tertarik dengan keindahan Islam sehinggakan pada satu ketika, keluarganya bimbang beliau akan memeluk Islam. Dalam satu surat bakal kakak iparnya, Lady Gwendoline kepada beliau, kakak iparnya merayu Churchill agar memperlahankan minatnya pada agama tersebut. Minat Churchill ini turut ditambah dengan pertemuannya dengan rakan baik merangkap penyokong perjuangan Islam, Wilfrid S. Blunt. Jika mereka berdua bertemu secara peribadi, Blunt akan menyambutnya dengan memakai pakaian tradisional Arab. Dan pada tahun-tahun awal kariernya sebagai ahli politik, beliau sentiasa bertelagah dengan pegawai-pegawai koloni yang keras kepala seperti Frederick Lugard, Pesuruhjaya Tinggi Nigeria Utara. Churchill mengecam sikap Lugard yang membenarkan taktik kekerasan digunakan ke atas orang Islam di kawasan tersebut.

Dan pada Oktober 1940, apabila Britain terpaksa berhadapan dengan rejim Nazi Jerman, beliau memberi peruntukan 100,000 paun sterling dan membenarkan pelan pembinaan sebuah masjid di London. Churchill berbuat demikian kerana percaya tindakannya itu akan mendapat sokongan dunia Islam pada saat Britain memerlukan sokongan mereka, satu tindakan yang mengundang kritikan orang ramai. Namun tindakannya itu membawa kepada pembinaan Masjid London Tengah (London Central Mosque) di Regent’s Park. Dan setahun selepas itu, beliau memberitahu Parlimen, “Kebanyakan rakan Muslim kita di sebelah Timur amat menghargai hadiah ini.” Dockter turut menyatakan pada masa lapangnya, Churchill pernah bercuti ke Istanbul, Turki dan bermain polo dengan rakan India Muslim di India.

7. ‘MOGOK? JANGAN MENGADA-ADA!’

Ada satu insiden yang menyebabkan Churchill dilabel sebagai anti-kesatuan pekerja. Insiden tersebut ialah Rusuhan Tonypandy yang berlaku pada November 1910. Rusuhan yang bermula dengan mogok ini tercetus berikutan pertelingkahan antara pekerja lombong dengan majikan mereka yang kemudiannya berlangsung selama hampir setahun. Polis berusaha menyuraikan mereka tetapi itu tidak berjaya, ini memaksa ketua konstabel Glanmorgan memohon bantuan tentera. Tetapi permohonan tersebut ditangguhkan oleh Churchill, sebaliknya beliau menghantar detasmen Polis Metropolitan dan polis berkuda ke Cardiff. Churchill turut menghantar mesej kepada perusuh bahawa beliau cuba menahan pihak tentera dari terlibat.

Walaupun Churchill sudah memberi jaminan tiada campur tangan dari pihak tentera, majistret-majistret di kawasan tersebut menghantar mesej telegraf kepada Pejabat Keselamatan Dalam Negeri untuk masuk campur. Berikutan itu, mereka menghantar Skuadron Hussar Ke-18 untuk menghentikan rusuhan di Porth, Lembah Rhondda pada 9 November. Di sinilah timbul dakwaan bahawa Churchill membenarkan pihak tentera menembak perusuh. Untuk menghentikan khabar angin tersebut, beliau menghantar satu memo kepada Alfred Gardiner, editor The Daily News dan menyatakan tuduhan tersebut satu fitnah. Namun, insiden tersebut menjadikan Churchill dianggap seorang penjenayah di kawasan tersebut sejak hari itu.

Dan tambah parah, setahun selepas insiden tersebut, satu lagi rusuhan berlaku di Liverpool. Kali ini, ia melibatkan polis dengan penunjuk perasaan yang mendesak mahukan kebajikan mereka di tempat kerja lebih baik dari sebelumnya. Berikutan situasi di Liverpool semakin buruk, Pejabat Keselamatan Dalam Negeri menghantar polis dari wilayah lain dan tentera dari Rejimen Warwickshire ke wilayah tersebut. Mereka turut menghantar bot penembak yang berlabuh di Sungai Mersey. Satu insiden pada 15 Ogos 1911 dikatakan menjadi bukti Churchill anti-kesatuan pekerja. Pada hari itu, konvoi pasukan keselamatan yang membawa 90 perusuh yang ditahan diserang semasa dalam perjalanan ke Penjara Walton. Konvoi yang dikawal oleh 32 anggota Skuadron Hussar Ke-18 ini terpaksa melepaskan tembakan mengakibatkan dua orang perusuh iaitu John Sutcliffe, 20 dan Michael Prendergast, 29 terbunuh.

Pada tahun 1919, semasa berkhidmat sebagai Setiausaha Perang dan Udara, Churchill menghantar 10,000 tentera dan kereta kebal ke Glasgow semasa mogok dan kekacauan awam berlaku. Beliau bimbang rusuhan ini boleh membawa kepada pemberontakan kelompok Bolshevik. Apabila membandingkan insiden Tonypandy dengan bagaimana Margaret Thatcher mengendalikan situasi mogok, ia sebenarnya hampir serupa. Ramai juga yang berhujah sekiranya pihak tentera tidak dihantar ke situ, pasti situasi akan jadi lebih buruk dan Churchill akan dikritik lebih teruk lagi. Menurut Allen Packwood, pengarah Pusat Arkib Churchill berpandangan bagi orang yang anti-kesatuan pekerja, Churchill diberi peluang mengetuai dua kerajaan yang mengambil berat isu pekerja.

8. PENGEPUNGAN JALAN SIDNEY

Tak lama selepas Rusuhan Tonypandy, Churchill sekali lagi dikecam tetapi atas sebab yang berbeza. Insiden pengepungan Jalan Sidney yang berlaku pada Januari 1911 ialah satu insiden tembak-menembak antara pihak polis dengan kumpulan anarki Latvia diketuai Peter The Painter. Kumpulan tersebut bertanggungjawab membunuh tiga orang polis pada Disember 1910. Insiden ini berakhir dengan dua anggota tersebut selepas Churchill mengarahkan pihak bomba tidak memadamkan kebakaran pada bangunan yang dijadikan sebagai tempat persembunyian mereka sehinggalah insiden tersebut berakhir.

Apa yang menjadi kontroversi ialah tindakan Churchill yang muncul semasa insiden tersebut berlaku. Beliau dikatakan memberi arahan dan mencampuri operasi polis. Arthur Balfour, ketua blok pembangkang ketika itu memberitahu Parlimen, “Churchill dan jurugambarnya membahayakan nyawa mereka. Saya faham tugas jurugambar itu tetapi saya tidak faham apa yang dilakukan oleh individu terhormat ini?” Menurut Toye, tindakan beliau ini menonjolkan personalitinya sebagai tidak stabil dan terburu-buru. Bagi Charmley pula, Churchill tidak menunjukkan minat pada politik melainkan ia membabitkan pertumpahan darah dan publisiti lebih-lebih lagi melalui gambar.

9. IRELAND

Selepas mengambil alih peranan sebagai Setiausaha Perang dan Udara pada Januari 1919, Churchill diuji dengan Perang Kemerdekaan Ireland. Semasa tempoh ini, beliau dihambat dengan kontroversi kerana mengerahkan kumpulan konstabel sementara dipanggil ‘Black and Tans’. Kumpulan ini dikenali menerusi kekerasan mereka yang keterlaluan. Penulis buku Churchill: The Greatest Briton Unmasked, Nigel Knight mendakwa Churchill enggan mengundurkan Black and Tans dan turut menyokong penggunaan serangan udara di Ireland.

Namun bagi Toye, tidak aci untuk memanggil Churchill anti-Ireland. Walaupun beliau menentang usaha pemerintahan sendiri Ireland dan menggunakan pendekatan keras, beliau juga sebenarnya mendukung pada keamanan. Menurut Packwood, Churchill akan bertarung habis-habisan sekiranya berlaku pertempuran tetapi beliau juga tidak teragak-agak memperjuangkan keamanan sekiranya ada peluang. Buktinya, beliau menyokong usaha pemerintahan sendiri Ireland sejak tahun 1912 dan memainkan peranan penting untuk Perjanjian Anglo-Ireland yang dimeterai pada tahun 1921. Malah, Churchill juga turut mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh askar-askar Ireland semasa WWI dan WWII.

10. DUIT = PENGARUH

Dalam biografi rasmi Gilbert, dua syarikat minyak iaitu Royal Dutch Shell dan Burmah Anglo-Persian Oil Company (kini BP) meminta Churchill menjadi wakil mereka untuk memohon kebenaran pihak kerajaan agar penggabungan yang dicadangkan diluluskan. Sebagai pertukaran, Churchill akan dibayar 5,000 paun sterling. Kalau ikut standard politik hari ini terutama di Britain, bayaran yang dibuat pada tahun 1923 ini boleh dianggap melanggar undang-undang. Menurut sejarah British Petroleum, karier politik beliau pada ketika itu merosot jadi tidak menghairankan mengapa Churchill sedia menggunakan pengaruhnya di Parlimen sebagai tukaran dengan duit.

Menurut Toye, pemberian sebegini bukanlah sesuatu asing malah Churchill menerima banyak hadiah semasa berkhidmat sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, Toye tidak pula melabel ia sebagai rasuah kerana Churchill beroperasi mengikut peraturan etika berbeza pada zamannya. Undang-undang berkenaan ini hanya diluluskan pada tahun 1975. Bagi Packwood, hubungan ahli politik dengan bisnes dan media tidaklah diteliti seperti apa yang berlaku hari ini.

SUMBER

1. Tharoor, Shashi. (2010). Time Magazine. Books: Churchill’s Shameful Role in the Bengal Famine. http://content.time.com/time/magazine/article/0,9171,2031992,00.html

2. BBC. (2011). Liverpool’s fatal 1911 riots remembered. http://www.bbc.com/news/uk-england-merseyside-14529243

3. BBC. (2014). Winston Churchill’s Tonypandy riots memo up for auction. http://www.bbc.com/news/uk-wales-south-east-wales-26601738
4. Pruszewicz, Marek. (2014). BBC. The 1920s British air bombing campaign in Iraq. http://www.bbc.com/news/magazine-29441383
5. Sawer, Patrick. (2014). The Telegraph. Sir Winston Churchill ‘s family feared he might convert to Islam. http://www.telegraph.co.uk/news/religion/11314580/Sir-Winston-Churchill-s-family-feared-he-might-convert-to-Islam.html
6. Heyden, Tom. (2015). BBC. The 10 greatest controversies of Winston Churchill’s career. http://www.bbc.com/news/magazine-29701767

Previous articleMengapa Aku Banyak Menukilkan Sejarah Melayu Sarawak?
Next articleSiapakah Haji Mahadi?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE