Artikel ini di tulis berdasarkan pelbagai sumber dan beberapa pandangan peribadi penulis yang di rasakan logik dan sesuai berdasarkan fakta sejarah.

Pengenalan

Dalam tamadun manusia, tamadun bermula daripada lahirnya sistem pemerintahan yang sistematik, disertai dengan bahasa yang digunakan, kawasan pentadbiran, pemerintahan, dan rakyat. Tamadun akan berkembang berdasarkan garis masa dan pelbagai ciptaan sains dan teknologi bagi mengukuhkan lagi sesebuah tamadun. Seperti yang kita sedia maklum, dalam sejarah, terdapat beberapa aliran tamadun.

Bagi pandangan penulis, kita boleh pisahkan tamadun berdasarkan zaman. Tamadun Mesir Purba, Indus, Huang He, dan Mesopotamia merupakan antara tamadun terawal dunia. Selepas itu lahirnya tamadun Greek, Rom, India (evolusi daripada Indus), Cina (evolusi daripada Huang He), Jepun, Korea. Kemudian Tamadun Islam, puak-puak gasar Eropah mula mencipta tamadun, tamadun Melayu, Sahara-Afrika, Mesoamerika dan lain-lain. Kemudian lahirnya tamadun Barat yang kekal hingga sekarang.

Dalam Tamadun Islam, umat Islam telah mencipta pelbagai kerajaan yang pernah menggoncangkan dunia, menggerunkan musuh, membuatkan musuh tak keruan. Di bawah, penulis senaraikan 10 kerajaan atau empayar Islam yang pernah menggemparkan dunia. Senarai tersebut hanyalah pandangan peribadi penulis, sesiapa sahaja boleh bersetuju atau tidak bersetuju.

10. Dinasti Umayyah Kordoba (756-1031)

Dinasti Umayyah Kordoba merupakan sinambungan daripada Dinasti Umayyah Damsyik yang jatuh di tangan kaum Bani Abbas semasa Revolusi Abbasiyyah pimpinan Abu Abbas al-Saffah dan Abu Muslim al-Khurasani. Waris keturunan Bani Umayyah iaitu Abdul Rahman ad-Dakhil sempat melarikan diri ke Sepanyol (dulu dikenali sebagai al-Andalus) melalui jarak perjalanan ribuan kilometer merentasi padang pasir, dan pelbagai rintangan dan onak duri yang di tempuh oleh baginda. Baginda di terima oleh penduduk Andalus dan menabalkan baginda sebagai pemimpin di sana. Baginda memakai gelaran Amir kerana menghormati khalifah di Tanah Arab walaupun bani Abbas bertindak kejam ke atas keluarga baginda.

Dinasti Umayyah Kordoba terbahagi kepada dua peringkat iaitu yang pertama ialah Amiriyyah Kordoba (756-929), yang kedua ialah Khilafah Kordoba (929-1031). Dinasti Umayyah Kordoba terkenal dengan sumbangan dalam ilmu pengetahuan yang disalurkan kepada dunia Barat. Kerajaan ini juga berjaya mengekang pelbagai asakan daripada puak Kristian dari utara.

Gambar 1: Saiz Dinasti Umayyah Kordoba pada tahun 756
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=6rV7K8hQPo4&t=211s

9. Kesultanan Turki Mamluk, Mesir (1250-1517)

Kesultanan Turki Mamluk Mesir juga dikenali sebagai Negeri Turki, dan Negeri Jarakasiyyah kerana di perintah oleh puak Turki yang kebanyakannya dari puak Turki Kipchak berhijrah ke bumi Mesir sejak zaman Kesultanan Ayyubiyyah. Mereka asalnya hanyalah hamba yang dibeli oleh pemerintah untuk dijadikan tentera kerana bangsa Turki terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanan. Mereka di beri jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Ayyubiyyah. Menjelang kejatuhan Kesultanan Ayyubiyyah, puak Turki mula berkuasa dalam kerajaan Mesir. Shajar Ad Durr isteri sultan Mesir ketika itu iaitu Sultan as-Salih merupakan orang Turki dan beliau merupakan sultan (sultana) pertama Kesultanan Turki Mamluk selepas pembunuhan Sultan Turanshah (Sultan Ayyubiyyah) yang dipelopori oleh puak Turki. Selepas itu, Shajar berkahwin dengan puak Turki Mamluk iaitu Izzudin Aybak, dan Izzudin menjadi Sultan Mesir yang kedua menggantikan Shajar.

Kesultanan Turki Mamluk terkenal selepas kemenangan ke atas Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut pada tahun 1260 pimpinan Sultan Saifuddin Qutuz yang berjaya membunuh orang kanan Hulagu Khan iaitu Kitbuga. Faktor utama kekalahan Mongol dalam pertempuran tersebut ialah kerana ramai tentera Mongol termasuk Hulagu Khan pulang ke Mongolia berikutan kematian Mongke the Great Khan. Selepas kemenangan dalam Pertempuran Ain Jalut, berlaku pembunuhan ke atas Sultan Saifuddin yang di percayai didalangi oleh Az-zahir Baybars. Semasa pemerintahan Sultan Az-zahir Baybars, empayar Turki Mamluk mencapai zaman kemuncak apabila berjaya menghalau Mongol dan tentera Salib keluar dari bumi Sham dalam beberapa kempen ketenteraan dengan strategi perangnya yang hebat terutamanya dalam Pertempuran Elbistan menentang Empayar Mongol Ilkhan. Empayar Turki Mamluk kekal sebagai kuasa terulung di Utara Afrika dan Sham sehingga di kuasai oleh Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1517.

Gambar 2: Sultan Baybars yang dilakonkan semula oleh pelakon keturunan Turki Kipchak
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=uqrOG9mX9Ts&t=5504s;
Gambar 3: Keluasan Empayar Mamluk.

9. Empayar Parsi Dinasti Safawiyyah (1501-1736)

Parsi, merupakan nama yang cukup sinonim dengan kewujudan empayar-empayar gergasi masa silam. Bermula dengan empayar raksasa Dinasti Akaemeni (Hakshamanis), kemudian di ratah oleh Alexander the Great, kemudian Dinasti Salukiyyun (Seleucid), Ashkaniyyan (Parthia), dan Sasaniyyah yg di kenali sebagai Neo-Persian Empire, kemudian di takluk oleh tentera Islam. Sejak di takluk sepenuhnya oleh umat Islam pada tahun 651, tanah Parsi mengambil masa yang lama untuk membina semula empayar identiti Parsi yang hebat macam dahulu, sehingga lahirnya tokoh yang bernama Abu al-Ismail bin Shaikh Haydar yang lebih dikenali sebagai Shah Ismail I. Beliau kekal menggunakan gelaran Shahanshan yang sinonim dengan gelaran Parsi purba yang menganut agama Majusi (atau Zarathustra) yang bermaksud Raja segala Raja. Beliau merupakan seorang penganut Syiah yang berpegang teguh dengan tarekat Syiahnya yang dikenali sebagai tareqat sufi Safawiyyah, manakala ayahnya merupakan seorang Shaikh tareqat tersebut.

Fahaman sufi Safawiyyah yang berasal dari tanah Azeri pada mulanya hanyalah sebuah gerakan keagamaan yang kemudian bertukar menjadi entiti politik yang kemudian berjaya mengubah Iran sepenuhnya menjadi tanah Syiah yang kuat pegangan Syiah. Berita yang sangat menyedihkan bagi ahli sunnah wal jamaah kerana bangsa Parsi sangat terkenal dengan kehebatan dalam bidang ilmu pengetahuan, dan ramai sarjana-sarjana Islam sunnah berasal dari bangsa Parsi. Shah Ismail I dan penerus Dinasti Safawiyyah berjaya men”syiah”kan hampir semua bangsa Parsi sehingga hilangnya permata Islam sunnah yang begitu hebat yang lahirnya dari bangsa Parsi.

Shah Ismail I (yang dipercayai berbangsa Turki Azeri) berjaya menguasai tanah Parsi daripada kerajaan Turki Kara Koyunlu dan menyatukan sisa-sisa kejatuhan Empayar Mongol Timuriyyah. Empayar Safawiyyah yang dikenali sebagai “gunpowder empire” menjadi musuh utama kepada Empayar Turki Uthmaniyyah yang berfahaman sunni dan mereka saling berperang. Ketika pemerintahan Shah Abbas I the Great, Safawiyyah mencapai kemuncak kekuasaan dan berjaya mengalahkan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Turki-Parsi 1603-1618. Empayar Safawiyyah menguasai tanah Parsi hingga digantikan oleh Nader Shah pada tahun 1736.

Gambar 4: wilayah kekuasaan Dinasti Safawiyyah
Sumber: https://www.thinglink.com/scene/761953459451723776

7. Empayar Turki Seljuk (1037-1194)

Empayar Turki Seljuk atau “Great Seljuq Empire” merupakan sebuah empayar Islam yang hebat dan kuat ketika zaman pertengahan. Di asaskan oleh Muhammad Tughril Beg Bin Mikail, seorang berbangsa Turki Oghuz dari puak Kinik. Mereka yang berasal dari Asia Tengah berhijrah ke Tanah Parsi dan bertembung dengan Kerajaan Ghaznawi.

Mereka menang dalam Pertempuran Dandanaqan menentang Empayar Ghaznawi menyebabkan kedudukan mereka semakin kuat. Mereka kemudiannya menguasai keseluruhan Tanah Parsi dan berjaya menguasai Baghdad pada tahun 1055 daripada cengkaman Kerajaan Syiah Bani Buwayh yang menguasai politik Khilafah Abbasiyyah. Semasa era Sultan Alp Arslan yang di bantu oleh menterinya yang pintar iaitu Nizam al-Mulk, mereka mara meredah sempadan empayar purba yang masih lagi wujud ketika itu iaitu Empayar Rom Timur (Byzantine).

Kemuncaknya dalam Pertempuran Manzikert 1071 menyaksikan Turki Seljuk berjaya mengalahkan angkatan tentera Rom Timur dan berjaya menangkap Maharaja Rom iaitu Romanos IV. Kecemerlangan Turki Seljuk di teruskan oleh anaknya iaitu Malik Shah I yang berjaya menguasai sebahagian kecil selatan Asia Tengah. Khalifah menggelarkan beliau sebagai “Sultan di Timur dan Barat”. Selepas kemangkatan Sultan Malik Shah I, empayar mula merosot akibat daripada kelemahan pemimpin, kekalahan yang sangat memalukan dalam Perang Seljuk-Georgia, serangan pihak luar terutamanya daripada tentera Salib, kerajaan Turki Zengi, Kurdi Ayyubi dan akhirnya jatuh ke tangan Empayar Turki Khawarizmi.

Tidak lupa juga dengan terbinanya Universiti Nizamiyyah di Baghdad, yang merupakan antara universiti terbesar di dunia ketika itu hasil sumbangan Nizam al-Mulk.

Gambar 5: Empayar Seljuk di zaman kemuncaknya.

6. Empayar Mughal, India (1526-1857)

Empayar Mughal yang juga di kenali sebagai Moghul dan Gurkaniyyah. Gurkan merujuk kepada istilah yang berkaitan dengan Mongol dalam bahasa Parsi, sama seperti gelaran Tatar (gelaran selain Mughliyah) oleh bangsa Arab yang merujuk kepada Mongol (Tatar pada asalnya salah satu puak atau negeri dari bangsa Mongol, kini Tatar merujuk kepada salah satu etnik dari bangsa Turki).

Empayar ini diasaskan oleh Zahiruddin Muhammad Babur. Beliau berasal dari susur galur keturunan Timurlenk iaitu pengasas kepada Empayar Mongol Timuriyyah. Keturunan beliau sudah bercampur antara Turki-Mongol-Parsi. Empayar Mughal merupakan empayar paling berpengaruh dan terkuat di benua India. Ketika pemerintahan Maharaja Jalaluddin Akbar “the Great” (1556-1605), baginda berjaya meluaskan empayar dengan menguasai India Utara. Kecemerlangan empayar di teruskan oleh Maharaja Nurudin Jahangir, Sahabuddin Shah Jahan, dan kemuncaknya ketika pemerintahan Maharaja Mahyuddin Aurangzeb (1658-1707) yang di gelar Alamgir yang bermaksud “penakluk dunia”. Salah satu faktor kehebatan Empayar Mughal ialah teknologi “gunpowder”.

Ketika di akhir pemerintahan Maharaja Aurangzeb Alamgir iaitu pada tahun 1700, tamadun India mencapai zaman kemuncaknya dengan menguasai 90% benua India dan Afghanistan dengan penduduk mencecah 158,000,000 orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar di dunia iaitu kira-kira ¼ daripada jumlah KDNK dunia lebih besar berbanding KDNK Dinasti Qing di China. Ketika era pemerintahan beliau juga, sejarawan berpendapat Empayar Mughal merupakan empayar terkuat di dunia dari segi ketenteraan, ekonomi, dan politik.

Selepas kemangkatan Maharaja Aurangzeb, empayar Mughal mengalami kejatuhan yang mendadak dan Empayar Maratha pula mengambil alih kuasa politik benua India, dan menjadi empayar terkuat di India sebelum dijajah oleh British.

Gambar 6: Keluasan Empayar Mughal ketika kemuncak kekuasaan pada tahun 1700
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=F3oqeicRu5o&t=516s

5. Empayar Mongol Timuriyyah (1370-1507)
Pada suatu ketika dahulu, apabila sebut sahaja perkataan “Mongol”, sudah cukup untuk membuatkan para pemerintah, menteri, pembesar, dan rakyat dalam sesebuah negeri tak tidur lena, makan tak kenyang, dan hanya memikirkan tentang kematian yang dahsyat. Begitu dahsyat penangan Mongol yang bermain di fikiran manusia yang hidup pada kurun ke-13 dahulu. Serangan pertama bangsa Mongol mengorbankan kira-kira antara 40,000,000-100,000,000 juta nyawa manusia, dan membawa wabak penyakit yang menyerang benua Eropah yang dikenali sebagai “Black Death”. Ini ialah gambaran mengenai bangsa Mongol yang pernah menguasai Asia ketika pemerintahan Genghis Khan dan keturunannya.

Tapi, menjelang akhir abad ke-14, empayar Mongol yang sememangnya sudah berpecah sejak kemangkatan Mongke the Great Khan (the Great Khan ialah gelaran kepada ketua kepada semua Khan yang ada) pada tahun 1259. Mereka mulai lemah dan berpecah belah, saling berperang sesama sendiri. Empayar Mongol yang luas dipecahkan dengan empat negeri yang utama iaitu negeri Yuan di China, negeri Chagatai Khan di Asia Tengah, negeri Ilkhan di Asia Barat dan Parsi, dan negeri Altan Ord (Golden Horde) di Rusia. Negeri Yuan pula tumbang di tangan revolusi rakyat Cina pada tahun 1367. Untuk rekod, tiga daripada empat negeri Mongol menganut Islam kecuali negeri Yuan.

Ketika keadaan Mongol yang mulai lemah, lahirnya seorang manusia yang kelak bakal mengikut jejak Genghis Khan menakluk negeri-negeri yang ada. Manusia tersebut ialah Timur, yang dikenali sebagai Amir Timurlenk yang bermaksud “Ketua Timur Si Tempang” dan di gelar jelmaan Genghis Khan yang menubuhkan Dinasti Timuriyyah. Beliau berasal daripada susur galur keturunan Borjigin daripada puak Barlas dan mempunyai kaitan keturunan daripada Genghis Khan. Sesetengah sejarawan berpendapat, susur galur keturunan beliau sudah bercampur dengan bangsa Turki. Beliau juga tidak pernah kalah dalam mana-mana pertempuran!!

Amir Timur mula berkuasa di barat wilayah Chagatai Khan, dan mula mengumpul bala tenteranya tersendiri untuk menjalankan kempen penaklukan. Sasaran beliau ialah Parsi yang ketika itu  berpecah kepada beberapa negeri kecil selepas kejatuhan Empayar Mongol Ilkhan dan dengan mudah beliau menakluk Parsi. Kemudian beliau mengalahkan angkatan tentera Altan Ord pimpinan Tokhtamysh, menakluk Kesultanan Delhi, dan menyerang bumi Sham. Sama seperti moyangnya Genghis Khan, beliau juga menjalankan kempen ketenteraan yang kejam dengan menjalankan pembunuhan beramai-ramai dan membina menara daripada tengkorak manusia. Sejarawan berpendapat, kempen ketenteraan Amir Timur memakan korban manusia kira-kira 17,000,000 nyawa atau 5% daripada penduduk dunia.

Seterusnya beliau berperang dengan Empayar Turki Uthmaniyyah pimpinan Sultan Bayezid I “Sang Halilintar” dalam Pertempuran Ankara 1402. Sebelum itu, Sultan Bayezid I juga seperti Amir Timur, iaitu seorang penakluk yang sangat di geruni di Eropah, baginda berjaya mengalahkan angkatan tentera gabungan negara-negara Eropah yang terdiri daripada Empayar Suci Rom, Perancis, England, Hungary, Croatia, Wallachia, dan negeri-negeri Itali dalam Pertempuran Nicopolis 1396. Baginda juga berjaya menguasai banyak tanah Balkan daripada kerajaan Kristian, dan negeri-negeri Turki yang lain. Ketika Pertempuran Ankara, nasib tidak menyebelahi baginda dan baginda tewas ke tangan Amir Timur yang lebih hebat dan pintar dalam taktik tipu helah yang menyebabkan tentera Uthmaniyyah keletihan akibat menempuh perjalanan yang panjang. Baginda Sultan akhirnya mangkat dalam tahanan Amir Timur, yang tiada sesiapa yang tahu apakah nasib baginda semasa dalam tahanan tersebut sehingga membawa kepada kemangkatan baginda.

Selepas berperang dengan Uthmaniyyah, beliau kembali ke Parsi selepas berita kejatuhan Baghdad ke tangan pemberontak dan berjaya menakluk semula. Kemudian beliau mara menuju ke Samarkhan dalam persediaan bersama puak Mongol yang lain untuk menakluk semula China yang ketika itu di perintah oleh Dinasti Ming. Ketika itu ramai puak Mongol Borjigin memeluk Islam untuk bersama-sama dengan beliau. Beliau meninggal dunia dalam perjalanan untuk menakluk China. Selepas kematian beliau, Empayar Mongol Timuriyyah terus lemah dan berpecah.

Gambar 7: Saiz Empayar Timuriyyah menjelang kematian Amir Timur tahun 1405. Warna koko gelap ialah saiz sebenar Empayar Timuriyyah, warna oren ialah negeri-negeri naungan dan negeri di bawah pengaruh atau yang tunduk kepada Amir Timur
Sumber: Marozzi, Justin (2004). Tamerlane: Sword of Islam, conqueror of the world. HarperCollins.

4. Khilafah Bani Umayyah (661-750)

Khilafah Bani Umayyah di asaskan oleh sahabat nabi iaitu Khalifah Sayyidina Muawiyyah Bin Abu Sufyan, baginda berasal dari susur galur keturunan Umayyah Bin Abd Shams iaitu dua pupu kepada datuk baginda Rasulullah s.a.w. Sejak pemerintahan Khalifah Muawiyah sistem khalifah yang sebelumnya bersifat demokrasi bertukar kepada sistem monarki.

Empayar Bani Umayyah merupakan empayar Islam terbesar dalam sejarah dunia, saiznya kira-kira 11,000,000-14,000,000 km persegi iaitu bermula dari Perancis, turun ke Semenanjung Iberia, merentas Afrika Utara, Shams, Semenanjung Tanah Arab, Tanah Parsi, menjangkau bumi India. Di sebelah utara hingga sampai ke Turkestan. Saiz yang sangat besar. Menurut rekod, tiada mana-mana empayar yang saiznya lebih besar daripada Empayar Bani Umayyah sejak terciptanya tamadun manusia hingga rekod saiz keluasan bani Umayyah dipecahkan oleh empayar Mongol pada abad ke-13 masihi. Empayar Bani Umayyah juga merupakan empayar terkuat di dunia ketika zamannya, kemajuan dari segi ekonomi, ketenteraan, falsafah, perluasan kuasa, dan kestabilan poltik.

Empayar Bani Umayyah terkenal dengan dasar perluasan kuasa sejak zaman Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan. Kemudian, dasar perluasan kuasa Umayyah semakin berkembang ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan, dan kemuncaknya ketika pemerintahan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik. Ketika era Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, Empayar Bani Umayyah menjadi empayar yang sangat kaya sehingga dikatakan tiada orang miskin yang tinggal walaupun saiz empayar yang sangat besar dan penduduk yang ramai iaitu kira-kira 60 juta orang atau merangkumi kira-kira 29% penduduk dunia!!. Selepas kewafatan Khalifah Umar Abdul Aziz, empayar Bani Umayyah mulai lemah dan berlaku pemberontakan dalaman akibat sikap khalifah yang lemah dan diskriminasi terhadap bangsa bukan arab.

Akibatnya, berlaku pelbagai revolusi, antaranya ialah Revolusi Syiah dan revolusi dari bangsa Berber di Afrika Utara dan berjaya membebaskan diri daripada pemerintahan pusat. Kemuncaknya ialah Revolusi Abbasiyyah yang merupakan revolusi besar-besaran yang di pelopori oleh seorang berbangsa Parsi iaitu Abu Muslim al-Khurasani bersama-sama dengan puak Syiah, dan keturunan Bani Abbas seperti Abu al-Abbas as-Safah yang akhirnya berjaya menumbangkan Khilafah Bani Umayyah pada tahun 750 selepas kemenangan pemberontak dalam Pertempuran Sungai Zab.

Gambar 8: Wilayah kekuasaan Empayar Khilafah Bani Umayyah (warna hijau) ketika zaman kemuncak
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=-6Wu0Q7x5D0&t=780s

3. Khilafah Bani Abbasiyyah (750-1258, 1261-1517)

Kemenangan puak revolusi dalam Pertempuran Sungai Zab 750 menandakan berlakunya peralihan kuasa daripada Khilafah Bani Umayyah kepada Khilafah Bani Abbasiyyah. Khalifah pertama Bani Abbasiyyah ialah Abdullah Bin Muhammad, baginda di gelar Abu al-Abbas as-Saffah kerana baginda berasal daripada keturunan al-Abbas, manakala as-Saffah bermaksud penumpah darah kerana polisi baginda yang bersifat kejam terhadap keluarga Bani Umayyah. Nama “Abbasiyyah” di ambil bersempena nama bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w iaitu al-Abbas bin Abd Muttalib yang merupakan keturunan kepada Dinasti Bani Abbasiyyah. Menurut ahli sejarah, pendiri sebenar Khilafah Bani Abbasiyyah ialah Khalifah Abu Jaafar Abdullah al-Mansur yang menubuhkan bandar Baghdad dan Madinat as-Salam yang terletak di dalam Kota Baghdad.

Khilafah Abbasiyyah terbahagi kepada dua zaman iaitu zaman pertama berpusat di Baghdad dari tahun 750 hingga 1258, zaman kedua ialah khilafah berpusat di Kaherah dari tahun 1261 hingga 1517.

Pada zaman pertama iaitu di Baghdad merupakan empayar sebenar Abbasiyyah. Kegemilangan Abbasiyyah cemerlang dalam ilmu pengetahuan darisegi sains, teknologi, hadith, kelahiran ulama-ulama Islam, dan mazhab-mazhab ahli sunnah wal jamaah. Zaman Abbasiyyah juga merupakan Zaman Keemasan Islam (Islamic Golden Age) kerana perkembangan ilmu pengetahuan yang berpusat di Baghdad dengan lahirnya saintis-saintis Islam yang mengubah tamadun dunia ke arah kecemerlangan ilmu pengetahuan. Antara khalifah Abbasiyyah yang terkenal ialah Khalifah Harun ar-Rasyid, Abu al-Abbas Abdullah al-Makmun,dan Jaafar al-Mutawakkil.

Selepas kemangkatan Khalifah al-Mutawakkil pada tahun 861, Empayar Abbasiyyah mulai lemah dan banyak wilayah-wilayah autonomi berjaya membebaskan diri daripada pemerintah khalifah. Saiz empayar semakin mengecil hingga berkuasa ke atas Baghdad dan kawasan Mesopotamia sahaja. Pada tahun 945, Khilafah Abbasiyyah ditakluk dan menjadi negeri naungan kepada Kerajaan Parsi Bani Buwayh yang berfahaman Syiah. Seterusnya pada tahun 1055, Khilafah Abbasiyyah menjadi negeri naungan kepada Empayar Turki Seljuk hingga tahun 1157 apabila Khalifah al-Muqtafi berjaya membebaskan Baghdad daripada pengaruh Turki Seljuk. Sejak tahun 1157, Khilafah Abbasiyyah berjaya menjadi negeri yang merdeka daripada mana-mana pengaruh hingga kejatuhan Baghdad pada tahun 1258 ke tangan bangsa Mongol pimpinan Hulagu Khan.

Selepas kejatuhan Baghdad ke tangan Mongol, pewaris Bani Abbasiyyah iaitu Abu al-Qasim Ahmad al-Mustansir berjaya melarikan diri ke Mesir yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan az-Zahir Baybars, sultan Kerajaan Turki Mamluk. Sultan Baybars mengembalikan semula sistem khilafah di Mesir dengan melantik Abu al-Qasim Ahmad al-Mustansir sebagai khalifah dari keturunan Bani Abbasiyyah di Mesir. Khalifah tidak berkuasa ke atas politik, hanya berkuasa ke atas agama sahaja, manakala Sultan berkuasa dalam hal ehwal politik, negara, dan lain-lain. Khilafah Abbasiyyah di Mesir yang di bawah pengaruh Kesultanan Turki Seljuk bertahan hingga tahun 1517 apabila Mesir di takluk oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Maka berakhirnya Khilafah Bani Abbasiyyah yang berlangsung selama 764 tahun.

Gambar 9: Abbasiyah Di Puncak Kegemilanngan

2. Kesultanan Turki Uthmaniyyah (1299-1922/1924)

Kesultanan Turki Uthmaniyyah merupakan antara empayar yang terhebat dalam sejarah dunia dan digeruni pada abad ke-15 hingga 17 masihi. Empayar Turki Uthmaniyyah menguasai Laut Mediterranean, Afrika Utara, Balkan, Anatolia, Crimea, Sham, dan Hejaz. Empayar Turki Uthmaniyyah di tubuhkan oleh Uthman bin Ertughrul pada tahun 1299 di wilayah Anatolia. Uthman berasal dari susur galur Empayar Turki Seljuk dan Kesultanan Rom Seljuk yang berpecah menjadi neger-negeri kecil yang di panggil beylik.

Wilayah kekuasaan Uthmaniyyah pada asalnya hanyalah sebuah negeri kecil atau beylik, kemudian berkembang menjadi empayar yang besar dan di geruni negeri-negeri jiran. Perkembangan Uthmaniyyah bermula ketika era Sultan Murad I dan Bayezid I yang berjaya meluaskan empayar ke daratan Eropah. Pada tahun 1371, berlaku Pertempuran Maritsa antara Uthmaniyyah dengan Serbia menyaksikan keajaiban berlaku apabila tentera Uthmaniyyah yang hanya berjumlah 800 orang menang ke atas Serbia yang berjumlah antara 20,000 hingga 70,000 orang.

Kedudukan Uthmaniyyah semakin kuat selepas kemenangan bergaya dalam Pertempuran Nicopolis 1396, dan menaklukan Kota Konstantinopal oleh Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1453. Sultan Muhammad al-Fatih yang di gelar “sang penakluk” oleh orang Barat berjaya menguasai banyak tanah Balkan dan Crimea. Baginda juga berjaya menundukkan Vlad II Dracula “the Impaler”. Dracula merupakan antara tokoh kejam dan penuh misteri yang merupakan pemerintah negeri Wallachia dan istananya di Transylvania. Adiknya Radu the Handsome memeluk Islam dan memerangi abangnya yang kejam.

Kemudian, ketika era Sultan Selim I “the strong” (1512-1520), empayar Turki Uthmaniyyah melebarkan jajahan takluknya ke Timur Tengah dan Afrika Utara. Pada 1517, baginda berjaya menakluk Mesir dan menumbangkan Kesultanan Turki Mamluk dan Khilafah Abbasiyyah. Gelaran khalifah yang sebelum ini dipegang oleh Bani Abbasiyyah di serahkan kepada Sultan Salim dan Sultan Salim menjadi khalifah pertama Turki Uthmaniyyah. Selepas kemangkatan Sultan Selim, tempat di ambil alih oleh Sultan Suleiman al-Qanuni (di Barat di kenali sebagai “the Magnificent”) yang memerintah antara 1520 hingga 1566.

Zaman pemerintahan baginda di kenali sebagai Zaman Keemasan Uthmaniyyah “Ottoman Golden Age”. Zaman pemerintahan baginda banyak kempen ketenteraan melawan kerajaan-kerajaan Eropah seperti Pertempuran Mohacs 1526, dan kelahiran laksamana laut terunggul Uthmaniyyah iaitu Hayruddin Barbarossa yang menang menentang gabungan kuasa-kuasa Eropah dalam Pertempuran Laut Preveza tahun 1538. Pada peringkat awal Perang Uthmaniyyah-Habsburg 1526-1791, Uthmaniyyah banyak memenangi pertempuran menentang gabungan kuasa-kuasa besar Eropah seperti Empayar Suci Rom, Empayar Sepanyol, Empayar Rusia, Portugis, Polish-Lithuania, Austria, Hungary, Bohemia, dan negeri-negeri Itali.

Menjelang akhir abad ke-17, empayar Turki Uthmaniyyah mulai lemah sejak kegagalan menakluk Vienna pada tahun 1683 dalam Perang Besar Turki 1683-1699 menyaksikan banyak wilayah jajahan Turki Uthmaniyyah jatuh ke tangan kuasa Eropah. Pada abad ke-18, negara-negara Eropah mulai berkembang dengan Revolusi Perindustrian, manakala Turki Uthmaniyyah pula tidak berkembang dan ketinggalan jauh di belakang kuasa-kuasa Eropah terutamanya British, Rusia, dan Perancis.

Hingga orang Barat menggelar Turki Uthmaniyyah sebagai “orang sakit Eropah” kerana begitu lemah hingga banyak negeri-negeri balkan dan Greece berjaya merdeka dari Uthmaniyyah. Greece yang dahulunya merupakan negara jajahan Uthmaniyyah pula menjajah Turki semasa Perang Dunia Pertama. Kekalahan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama membawa kepada berlakunya Perang Kemerdekaan Turki yang diketuai oleh Mustafa Kemal Ataturk menyebabkan berakhirnya institusi kesultanan pada tahun 1922. Pada tahun 1924, instituti khalifah pula di mansuhkan.

Gambar 10: wilayah kekuasaan Empayar Turki Uthmaniyyah
Sumber: https://www.britannica.com/place/Ottoman-Empire

1. Khulafa Ar-rasyidin (632-661)

Khulafa Ar-rasyidin ialah pemerintahan oleh empat orang khalifah selepas kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w pada tahun 632 masihi. Empat orang khalifah tersebut ialah Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, dan Ali bin Abi Talib. Keempat orang khalifah tersebut merupakan sahabat nabi yang terdekat dan dijanjikan syurga.

Sistem penggantian dalam Khulafa ar-Rasyidin bersifat demokrasi iaitu secara wasiat, lantikan, persetujuan orang ramai, dan undian. Zaman Khulafa ar-Rasyidin juga terkenal dengan tumbangnya dua empayar gergasi dunia iaitu Empayar Rom Timur (Byzantine) dan Empayar Parsi Sasaniyyah.

Khulafa ar-Rasyidin memiliki ramai panglima perang yang hebat, antaranya ialah Khalid al-Walid dan Saad bin Abi Waqqas. Khalid al-Walid biasanya tersenai dalam mana-mana artikel mengenai komander perang terhebat dalam sejarah dunia. Beliau tidak pernah kalah dalam lebih seratus peperangan.

Semasa zaman Rasulullah lagi, Empayar Rom dan Parsi sudah berperang, perang tersebut dikenali Perang Rom-Parsi 602-628. Dalam perang Rom-Parsi, pada peringkat awal Empayar Parsi pimpinan Shahanshah Kisra II (atau Khosrow II) berjaya menakluk banyak tanah Rom. Kemudian semasa pemerintahan Maharaja Rom Heraclius pada tahun 610, baginda melancarkan serangan balas melawan Parsi dan akhirnya Parsi mengalami kekalahan pada tahun 628, dan Shahanshah Kisra II dipaksa turun takhta digantikan oleh anaknya Kavadh II.

Selepas tamat peperangan, berlaku kebangkitan umat Islam semasa pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin. Ketika itu, Khulafa ar-Rasyidin ibarat hanya seekor semut kecil yang serba kekurangan hanya berbekalkan iman dan jihad, sedang berhadapan dengan dua ekor gergasi yang serba lengkap darisegi peralatan tentera. Umat Islam mula bertembung dengan Empayar Rom pada tahun 629 dalam Pertempuran Mu’tah (masih lagi di zaman Rasulullah s.a.w), dengan Parsi pada tahun 633 dalam Pertempuran Rantai. Kemudian satu persatu wilayah Rom dan Parsi berjaya di tawan oleh umat Islam. Antara peperangan yang hebat ialah Pertempuran Yarmouk, Firaz (kedua-duanya di ketuai oleh Khalid al-Walid), dan Pertempuran al-Qadisiyah yang diketuai oleh Saad bin Abi Waqqas.

Dalam Pertempuran Firaz tahun 634, tentera Islam pimpinan Khalid al-Walid hanya berjumlah 15,000 mampu mengalahkan ratusan ribu tentera gabungan Rom, Parsi, dan Arab Kristian pimpinan Hormozd. Kemudian, pada bulan Ogos 636, berlaku Pertempuran Yarmouk yang disifatkan oleh sejarawan antara pertempuran ajaib di dunia dengan kehebatan Khalid al-Walid sebagai panglima perang. Tentera muslim yang berjumlah kira-kira 20,000 orang mampu mengalahkan 150,000 tentera Rom pimpinan Theodore Trithyrius. Ada pendapat mengatakan tentera muslim 40,000 mengalahkan 250,000 tentera Rom. Theodore terbunuh dalam pertempuran tersebut. Maharaja Rom Heraclius pernah berkata sebelum baginda pulang ke Konstantinopal.

“Selamat tinggal, selamat tinggal selama-lamanya Syria, tanah yang indah bagiku. Kau adalah musuhku sekarang. Salam sejahtera ke atas kamu.”

Seterusnya, dalam pertempuran menentang Empayar Parsi, Pertempuran al-Qadisiyyah merupakan pertempuran besar-besaran menentang Empayar Parsi pada bulan November 636 menyaksikan kemenangan menakjubkan tentera Islam pimpinan Saad bin Abi Waqqas yang berjumlah 30,000-40,000 menentang 200,000 tentera Parsi pimpinan Rostam Farrokhzad. Rostam juga terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Selepas pertempuran tersebut, tentera Islam mara ke Tanah Parsi dan berjaya menumbangkan Empayar Parsi Dinasti Sasaniyyah dengan kematian Shahanshahnya yang terakhir iaitu Yazdegerd III pada tahun 651. Di sebelah Barat pula, tentera Muslim terus mara dan menakluk banyak wilayah Rom hingga ke tanah Berber.

Selepas berlaku ketidakstabilan politik Khulafa ar-Rasyidin ketika di akhir pemerintahan Sayyidan Uthman dan Ali hingga membawa kepada berakhirnya Khulafa ar-Rasyidin, penaklukan ke atas Rom di teruskan oleh Khilafah Bani Umayyah, Abbasiyyah, Seljuk, dan akhirnya berjaya di tawan sepenuhnya oleh Sultan Muhammad al-Fatih dari Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1453.

Gambar 11: perluasan kuasa ketika zaman Rasulullah s.a.w, Khulafa ar-Rasyidin dan Khilafah Umayyah.
Sumber: https://beyondthecusp.wordpress.com/tag/rashidun-caliphs/

RUJUKAN

Azizur Rahman, Syed (2001). The Story of Islamic Spain. Goodword Books. p. 129. ISBN 978-81-87570-57-8.

“Mamluk | Islamic dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 2015-11-13.

Finkel, Caroline. Osman’s Dream: The Story of the Ottoman Empire, 1300–1923. Basic Books. pp. 2, 7. ISBN 978-0-465-02396-7.

Streusand, Douglas E., Islamic Gunpowder Empires: Ottomans, Safavids, and Mughals (Boulder, Col : Westview Press, 2011) (“Streusand”), p. 135.

Andrew J. Newman, Safavid Iran: Rebirth of a Persian Empire, IB Tauris (March 30, 2006).

“BBC – Religions – Islam: Mughal Empire (1500s, 1600s)”. Retrieved 2017-11-25.
Justin Marozzi (2006). Tamerlane: Sword of Islam, Conqueror of the World. Da Capo Press. p. 342. ISBN 978-0-306-81465-5.

Beatrice F. Manz (2000). “Tīmūr Lang”. Encyclopaedia of Islam. 10 (2nd ed.). Brill. Retrieved 24 April 2014.

Graziella Caselli, Gillaume Wunsch, Jacques Vallin (2005). “Demography: Analysis and Synthesis, Four Volume Set: A Treatise in Population”. Academic Press. p.34. ISBN 0-12-765660-X

Tsai, Shih-Shan Henry (2002), Perpetual Happiness: The Ming Emperor Yongle (2 ed.), University of Washington Press, pp. 188–189, ISBN 0-295-98124-5

Blankinship, Khalid Yahya (1994), The End of the Jihad State, the Reign of Hisham Ibn ‘Abd-al Malik and the collapse of the Umayyads, State University of New York Press, p. 37, ISBN 0-7914-1827-8

G. R. Hawting, The First Dynasty of Islam: The Umayyad Caliphate AD 661-750, p. 105. London: Routledge, 2002. ISBN 9781134550586

Brauer, Ralph W. (1995). Boundaries and Frontiers in Medieval Muslim Geography. Philadelphia, PA: American Philosophical Society. pp. 7–10. ISBN 0-87169-856-0. LCCN 94078513
Vallely, Paul (11 March 2006). “How Islamic Inventors Changed the World”. The Independent. London, UK. Archived from the original on 3 May 2015.

Hakan Ozoglu (24 June 2011). From Caliphate to Secular State: Power Struggle in the Early Turkish Republic. ABC-CLIO. p. 8. ISBN 978-0-313-37957-4. Retrieved 8 June 2013.

Sowerwine, James E. (May 2010). Caliph and Caliphate: Oxford Bibliographies Online Research Guide. Oxford University Press, USA. p. 5. ISBN 9780199806003.
Asma Afsaruddin (2008). The first Muslims: history and memory. Oneworld. p


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.