10 Kempen Terbesar Maharaja Teragung Dinasti Qing

0
642
views

10 Kempen Besar Qing merupakan sebuah kempen ketenteraan yang di lancarkan oleh Dinasti Qing ketika pemerintahan Maharaja Qianlong (1735-1796). Kempen ini dijalankan sebanyak 10 kali bermula tahun 1747 ketika menentang orang Tibet di wilayah Sichuan hingga penyerahan kalah Nepal kepada Qing pada tahun 1792. 10 Kempen Besar Qing ini sebenarnya di rujuk sendiri oleh Maharaja Qianlong kepada dirinya sendiri ketika di penghujung usianya sebagai “Old man of the Ten Complete” dan menulis sebuah karangan yang berjudul “Record of the Ten Completions”

Senarai di bawah ialah 10 kempen-kempen ketenteraan yang di lancarkan ketika pemerintahan Maharaja Qianlong.

  1. Kempen Pertama (1747-1749) – Kempen Jinchuan Pertama

Kempen yang pertama ialah menumpaskan pemberontak etnik Tibet di wilayah Sichuan yang berlaku tahun 1747-1749, dan kempen kedua pada tahun 1771-1776. Kempen ini di kenali sebagai Kempen Jinchuan yang di jalankan sebanyak dua kali.

Pemberontakan berlaku apabila ketua puak Tibet di Sichuan yang di gelar Tusi ingin menyatukan seluruh Tusi di Jinchuan bagi membentuk pemerintahan berasingan daripada empayar China. Tusi di wujudkan sejak Dinasti Ming lagi akibat perbezaan budaya dan agama antara orang Cina dengan orang Tibet.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Ming memperkenalkan sistem Tusi yang bertindak sebagai ketua bagi menguruskan hal ehwal berkaitan puak Tibet di Sichuan. Di wilayah Sichuan terutamanya di daerah Jinchuan, terdapat banyak kabilah Tusi yang semuanya menjadi naungan kepada empayar Ming. Menjelang kejatuhan Ming, terdapat beberapa Tusi ingin membebaskan diri daripada pengaruh Qing dan bertindak menyerang Tusi yang lain bagi menyatukan puak Tibet Sichuan.

Gambar 1: Kempen Jinchuan

Dalam kempem Jinchuan pertama antara tahun 1747-1749, Tusi utama Jinchuan iaitu Slob Dpon bertindak menyerang Tusi yang lain bagi menyatukan puak Tibet bagi membentuk sebuah wilayah yang merdeka. Hal ini menyebabkan Tusi yang setia kepada Qing bertindak melaporkan perkara tersebut kepada Gabenor Sichuan iaitu Ji Shan, yang kemudiannya menghantar ribuan tentera bagi memerangi Slob Dpon.

Ji Shan tidak berjaya dalam usaha tersebut terpaksa memaklumkan kepada kerajaan pusat di Beijing supaya mengerahkan ramai tentera ke Sichuan bagi menangkap Slob Dpon, dan Maharaja Kangxi bersetuju dan menghantar kira-kira 70,000 orang tentera pimpinan Zhang Guangsi dan Naqin. Di sebabkan faktor geografi Jinchuan yang bergunung-ganang, dan masalah peribadi antara Zhang dengan Naqin menyebabkan pasukan Qing tewas di tangan pemberontak. Kekalahan tersebut menyebabkan Zhang di jatuhi hukuman mati, manakala Naqin membunuh diri.

Kemudian Maharaja Qianlong menghantar panglima berpengalaman iaitu Fuheng bersama kira-kira 80,000 orang tentera pada tahun 1749. Akhirnya pemberontak berjaya di kalahkan dan Slob Dpon menyerah kalah. Beliau berjanji untuk taat setia kepada maharaja dan negara, dan sanggup membayar pampasan kepada negara.

1. Perang Qing-Dzungaria Keempat (1755-1759) – Kempen Kedua, Ketiga, dan Keempat

Perang Qing-Dzungaria (1687-1757) merupakan konflik ketenteraan yang panjang melibatkan Empayar China yang di ketuai Dinasti Qing menentang Empayar Mongol pimpinan Dinasti Dzungaria. Perang tersebut termasuk Perang Qing-Dzungaria Pertama (1687-1697), Perang Qing-Dzungaria Kedua atau Perang Tibet (1720), Perang Qing-Dzungaria Ketiga (1723-1732) ketika pemerintahan Maharaja Yongzheng, dan Perang Qing-Dzungaria Keempat (1755-1759).

Dalam Perang Qing-Dzungaria Pertama dan Kedua telah di terangkan di atas ketika pemerintahan Maharaja Kangxi yang di menangi oleh Qing. Dalam Perang Qing-Dzungaria Ketiga (1723-1732) berlaku ketika pemerintahan ayahanda Qianlong iaitu Maharaja Yongzheng. Perang tersebut berakhir dengan genjatan senjata apabila Qing tidak berjaya mengalahkan Mongol walaupun telah menghantar kira-kira 250,000 orang tentera. Dzungar hanya di tewaskan oleh orang Mongol sendiri daripada puak Khalka yang setia kepada Qing.

Manakala Perang Qing-Dzungaria Keempat (1755-1759) berlaku ketika pemerintahan Maharaja Qianlong dan merupakan siri yang terakhir dalam perang menentang puak Mongol Dzungar. Dalam perang tersebut, berlangsung ketika pemerintahan Maharaja Qianlong dan merangkumi tiga kempen ketenteraan yang termasuk dalam 10 Kempen Besar Qing. Perang ini merupakan perang terpenting dalam 10 Kempen Besar Qing bagi mengekalkan kuasa di wilayah Mongolia dan melebarkan kuasa ke Turkestan Timur (Xinjiang). Fuheng menjadi orang penting dalam menasihati maharaja ketika perang tersebut.

Gambar 2: Jeneral Fuheng

2. Kempen Kedua (1755)

Dalam kempen pertama Perang Qing-Dzungaria Keempat atau Kempen Kedua 10 Kempen Besar Qing, konflik berlaku antara dua orang pemimpin Mongol iaitu Dawaichi dan Amursana. Dawaichi bertindak sebagai pembangkang yang tidak mahukan Dzungaria tunduk dengan Qing, manakala Amursana pula lebih memihak kepada Qing. Dalam pemilihan sebagai Khan kepada kerajaan Dzungaria, Dawaichi berjaya mengalahkan

Amursana menyebabkan Amursana bertindak meminta bantuan ketenteraan daripada Qing untuk melawan Dawaichi. Qianlong bersetuju disebabkan Amursana bersetuju menjadikan Dzungaria sebagai negeri naungan kepada Qing, dan baginda menghantar bala tentera seramai 48,000 orang pimpinan Zhaohui. Amursana turut di sokong oleh pemerintah (atau Khoja) bangsa Turki puak Uyghur dari Altishahr atau Turkestan Timur iaitu Burhanuddin.

Akhirnya Dawaichi berjaya di kalahkan dalam peperangan tersebut dan Amursana di angkat menjadi Khan bagi Kekhanan Dzungaria tetapi kuasa beliau hanya sedikit sahaja, selebihnya di kuasai oleh Qing. Amursana tidak berpuas hati akibat tidak berkuasa penuh ke atas Kekhanan Dzungaria, beliau pula bangkit menentang Qing.

3. Kempen Ketiga (1756-1758)

Dalam kempen kedua Perang Qing-Dzungaria Keempat atau Kempen Ketiga 10 Kempen Besar Qing, Maharaja Qianlong memerangi Amursana akibat penentangan Amursana dan sahabatnya iaitu Chingunjav yang tidak berpuas hati kerana tidak berkuasa penuh ke atas Kekhanan Dzungaria. Tentera Qing pimpinan Zhaohui turut mendapat sokongan adik beradik Khoja dari Turkestan Timur iaitu Burhanuddin dan Jahan yang sebelum ini menyokong Amursana. Gabungan tentera Manchu-Turki serta sokongan tentera Mongol yang menyokong Qing berjaya mengalahkan Amursana dan Chingunjav. Kedua-duanya sempat melarikan diri.

4. Kempen Keempat (1758-1759)

Selepas tamat kempen kedua Perang Qing-Dzungaria Keempat pada tahun 1758, dua beradik tadi iaitu Burhanuddin dan Jahan pula bangkit menentang Qing kerana penguasaan Qing di wilayah Turkestan Timur. Mereka bersama beberapa puak Turki yang lain seperti Uzbek, Kazakh, dan Kyrgyz serta sokongan puak Mongol Dzungaria yang anti-Qing bersama-sama menentang Qing. Maharaja Qianlong sekali lagi mengarahkan Zhaohui untuk memerangi pemberontak.

Pada peringkat awal, Zhaohua tidak berjaya mengalahkan pemberontak apabila ramai askarnya terbunuh. Dengan itu, Qing menghantar pula tiga orang panglima iaitu Namjil, Fude dan Machang bagi membantu Zhaohui. Burhanuddin pula mengerahkan kira-kira 5,000 orang tentera berkuda melawan tiga orang jeneral tersebut dan berlaku pertempuran sengit yang berpihak kepada Qing tetapi kehilangan Namjil yang terbunuh. Kemenangan tersebut membawa kepada deretan kemenangan Qing dalam pertempuran berikutnya menyebabkan Burhanuddin dan Jahan mengundurkan diri ke wilayah Emiriyyah Badakhshan yang ketika itu di perintah oleh Mir Sultan Shah.

Sultan Shah berjanji akan menyerahkan dua orang Khoja tersebut kepada Qing, dengan menipu Burhanuddin dan Jahan bahawa mereka menerimanya yang melarikan diri ke negeri Badakhshan, sebaliknya apabila Khoja tersebut sampai ke ibu kota Badakhshan, Mir Sultan Shah menangkap mereka dan menyerahkan kepada tentera Qing pada tahun 1759. Dengan itu berakhirnya Perang Qing-Dzungaria Keempat

Peperangan tersebut sebenarnya merupakan malapetaka kepada puak Dzungaria apabila berlakunya pembunuhan beramai-ramai ke atas mereka oleh pasukan tentera Qing yang di kenali sebagai “Dzungar Genocide” yang membunuh hampir semua puak Dzungar hingga hampir pupus. Seramai kira-kira 600,000 orang puak Dzungar di bunuh, dan kini puak Dzungar telah kehilangan identiti akibat perkahwinan campur disebabkan mereka yang terselamat terlalu sedikit. Kerajaan Qing menyusun semula penempatan di kawasan wilayah asal Dzungaria dengan meletakkan etnik Cina Han, Cina Hui, dan Uyghur di kawasan tersebut

5.  Kempen Kelima (1765-1769) – Perang Qing-Burma

Perang Qing-Burma (1765-1769) atau Perang Sino-Burma merupakan Kempen Kelima daripada 10 Kempen Besar Qing ketika pemerintahan Maharaja Qianlong. Perang ini melibatkan Empayar China melalui Dinasti Qing menentang Empayar Burma melalui Dinasti Konbaung pimpinan Raja Hsinbyushin yang di beri jolokan “the most militaristic king of Konbaung”. Dalam kempen ini, kerajaan Qing melancarkan invasi sebanyak 4 kali ke atas wilayah Burma.

Perang ini tercetus akibat perbalahan sempadan antara Qing dengan Burma. Qing berkuasa di Yunnan, manakala Burma yang ketika itu di bawah Dinasti Toungoo berkuasa di negeri Shan. Kedua-dua wilayah tersebut merupakan sempadan antara kedua-dua dinasti. Menjelang kejatuhan Dinasti Toungoo di Burma, wilayah-wilayah kecil berjaya membebaskan diri daripada Empayar Burma dan membentuk negeri sendiri.

Sebahagian negeri-negeri tersebut berjaya di takluk oleh Qing. Kemudian, pada tahun 1752, Dinasti Toungoo telah di gulingkan oleh Aung Zeya yang kemudiannya menubuhkan Dinasti Konbaung dan memakai gelaran Raja Alaungpaya yang merupakan antara raja teragung dalam sejarah Myanmar.

Gambar 4: Raja Alaungpaya

Kemudian, Raja Alaungpaya ingin menguasai semula wilayah bekas jajahan Dinasti Toaungoo bagi mengembalikan semula kegemilangan Empayar Burma. Dengan pantas Raja Alaungpaya berjaya menakluk semula bekas wilayah Burma dan tenteranya sampai ke negeri-negeri Shan pada tahun 1758 bagi menguasai semula negeri tersebut. Serangan daripada Burma menyebabkan penguasa di Shan bertindak melarikan diri ke Yunnan, China dan memohon bantuan daripada Gabenor Qing di Yunnan.

Pada tahun 1759, Gabenor di Yunnan memohon bantuan ketenteraan daripada kerajaan pusat untuk bertindak balas ke atas Burma dan Maharaja Qianlong bersetuju untuk mengirim tentera Green Standard pimpinan Liu Zhao ke Yunnan dan menyerang Burma dari utara pada tahun 1764. Ketika itu, Raja Hsinbyushin yang baru sahaja menaiki takhta kerajaan Burma mula memasuki Empayar Siam pimpinan Kerajaan Ayutthaya dan berperang dengan Siam yang merupakan musuh tradisi Burma yang di kenali sebagai Perang Siam-Burma 1765-1767.

  • Invasi Pertama (1765-1766)

Invasi pertama di jalankan oleh Liu Zhao bersama 6,000 orang tentera ketika ramai tentera Burma menumpukan peperangan ke atas Siam. Liu dan beberapa tentera dari etnik Shan mula memasuki wilayah Burma dan mengepung bandar Kengtung. Burma bertindak balas dengan Ne Myo Sithu sebagai jeneral menyerang semula tentera Qing dan berjaya mengundurkan tentera Qing. Liu yang malu dengan kekalahan tersebut membunuh diri dengan meminum racun.

  • Invasi Kedua (1766-1767)

Invasi kedua yang di pimpin oleh Yang Yinju lebih besar dengan penyertaan 27,500 orang tentera dan 14,000 orang tentera Green Standard dan berjaya memasuki Burma Hulu dan menawan Bhamo pada tahun 1766. Burma yang menyedari kerajaan Qing menghantar tentera yang agak ramai bertindak menghantar panglima perang hebatnya iaitu Maha Thira Thura bagi menggempur Qing di Burma Hulu tetapi masih lagi menumpukan tumpuan dalam menghancurkan Siam.

Tentera Qing yang tidak biasa dengan cuaca panas di Burma menjadi semakin lemah akibat serangan penyakit dan ribuan tentera Qing mati akibat serangan pelbagai penyakit. Kesempatan ini di gunakan oleh Maha Thira Thura dan Ne Myo Sithu menghancurkan tentera Qing dan berjaya mengembalikan semula wilayah Burma Hulu dan Shan ke tangan Burma. Tentera Qing pimpinan Yang terpaksa berundur ke Yunnan dan beliau memalsukan berita kepada Maharaja Qianlong dengan mengatakan Qing telah berjaya mengalahkan Burma dan memohon supaya maharaja menerima pelan damai dari Burma. Bagaimanapun Maharaja Qianlong menyedari pembohongan tersebut dan menghukum bunuh ke atas Yang.

  • Invasi Ketiga (1767-1768)

Invasi ketiga dilancarkan oleh Maharaja Qianlong dengan kehadiran panglima berpengalaman iaitu Ming Rui serta kira-kira 50,000 orang tentera yang kebanyakannya daripada tentera Manchu Bannerman yang lebih berpengalaman dan terlatih berbanding tentera orang Cina dalam sayap Green Standard Army. Qianlong berpendapat, dua kekalahan memalukan Qing dengan negara kecil seperti Burma di sebabkan orang-orang Cina dalam tentera Green Standard sangat lemah berbanding dalam sayap Manchu Bannerman.

Oleh itu, baginda menghantar ramai pasukan Manchu Bannerman bagi menggempur Burma. Serangan di lancarkan ketika musim sederhana bagi mengelakkan tenteranya di serang penyakit seperti invasi kedua yang dilakukan pada musim panas menyebabkan ramai tenteranya mati akibat serangan penyakit.

Di pihak Burma, mereka masih lagi memberikan tumpuan dalam usaha menghancurkan Siam yang perintah oleh Kerajaan Ayutthaya. Dalam dua invasi Qing sebelum ini, Raja Hsinbyushin yang berada di Siam menolak untuk menghantar semua tenteranya bagi melawan Qing sebab baginya menghancurkan Siam lebih penting.

Waqaf Saham

Pada April 1767, Burma berjaya menakluk kota Ayutthaya yang merupakan ibu negara Kerajaan Ayutthaya. Kejatuhan Kerajaan Ayutthaya menyebabkan negeri-negeri dan wilayah dalam Empayar Siam membebaskan diri dan membentuk pemerintahan sendiri. Oleh itu, Burma mengambil masa untuk menguasai semua negeri-negeri tersebut.

Menjelang November 1767, puluhan ribu tentera Qing memasuki Burma dari Burma Hulu dan berpecah kepada dua bahagian yang keduanya akan menyerang Inwa (Ava) ibu negara Burma tetapi melalui laluan yang berbeza. Yang pertama pimpinan Ming Rui, yang kedua pimpinan E’erdeng’e.

Raja Hsinbyushin mengarahkan 3 orang komander perangnya iaitu Maha Thira Thura, Ne Myo Sithu, dan Maha Sithu bagi menghadapi ancaman Qing. Pertempuran berlaku di Bhamo dengan kemenangan berpihak kepada Qing, manakala di pasukan Qing pimpinan E’erdeng’e mengalami kesukaran apabila di serang secara gerila oleh Burma. Kekalahan Burma di Bhamo menyebabkan tentera Burma terpaksa berundur ke Inwa.

Raja Hsinbyushin yang menyedari ibu negaranya berada dalam keadaan bahaya terpaksa mengundurkan ramai tenteranya di Siam bagi melawan Qing. Dengan 30,000 orang tentera Qing pimpinan Ming Rui mara ke arah Inwa, pegawai Burma menggesa Raja Hsinbyushin untuk tidak meneruskan peperangan dengan Qing dan melarikan diri tetapi di tolak oleh Raja Hsinbyushin yang akan mempertahankan Burma walau apa cara sekalipun.

Pertempuran berlaku di Maymyo yang jarak kira-kira 80km utara Inwa dengan keajaiban berlaku apabila kemenangan berpihak kepada Burma. Manakala tentera Qing pimpinan E’erdeng’e turut mengalami kekalahan teruk akibat serangan bertali arus pasukan gerila Burma di kawasan pergunungan. Tentera Qing Machu Bannerman yang di tangkap di bunuh secara beramai-ramai, dan hanya kira-kira 2,500 orang sahaja daripada 50,000 orang tentera Qing selamat dan sempat melarikan diri. Ming Rui yang turut melarikan diri ke Yunnan bertindak membunuh diri.

Gambar 5: laluan utama perjalanan dalam Invasi Ketiga Perang Qing-Burma
  • Invasi Keempat (1769)

Invasi keempat (1769) merupakan invasi terakhir Qing ke atas Burma dalam Perang Qing-Burma. Maharaja Qianlong terkejut dengan kekalahan Qing dalam invasi ketiga kerana telah menghantar ramai tentera berpengalaman serta jeneralnya yang hebat iaitu Ming Rui menentang Burma.

Baginda menjangkakan Qing mencapai kemenangan mudah tetapi sebaliknya berlaku. Tentera Qing telah mengatakan kepada maharaja bahawa Burma tidak akan dapat di takluk walau dengan apa cara sekalipun tetapi Maharaja Qianlong belum mengaku kalah, malah baginda kembali menyusun langkah bagi menentang sekali lagi Burma. Baginda melantik Fuheng yang berpengalaman sebagai penasihat ketika Qing menghancurkan Dzungaria dan kempen Jinchuan Pertama sebagai komander utama serta 3 orang timbalannya iaitu Agui, Suhede, dan Aligun.

Sebenarnya pegawai Qing telah bersetuju untuk berdamai dengan Burma dan di terima memandang Burma sibuk menguasai negeri-negeri di Siam. Tetapi pelan damai tersebut di tolak oleh Maharaja Qianlong yang dipengaruhi oleh Fuheng kerana ingin menjaga maruah Qing sebagai kuasa besar, manakala Burma hanyalah negara kecil. Dengan itu, Maharaja Qianlong menghantar 60,000 tentera Manchu Bannerman pimpinan Fuheng bagi menghadapi Burma.

Raja Hsinbyushin yang menyedari bahawa Qing telah menghantar tentera paling ramai berbanding tiga siri invasi sebelum ini terpaksa mengundurkan hampir semua tenteranya di Siam, dan menempatkan sedikit sahaja tenteranya di Siam menyebabkan sebuah negeri yang di ketuai oleh Chao Tak berjaya mengalahkan tentera “garison” Burma dan berjaya menyatukan semula Siam membentuk Kerajaan Thonburi, dan memakai nama Raja Taksin yang di gelar The Great oleh sejarawan.

Gambar 6: Raja Taksin “the great”

Pada April 1769, Fuheng dan 60,000 orang tentera tiba di Yunnan dan merencana strategi peperangan. Pasukan Qing di pecahkan kepada 3 bahagian iaitu yang pertama menyerang Bhamo dan Kaungton, pasukan kedua dan ketiga menyusuri Sungai Ayeyarwaddy (Irrawaddy) dan mara ke arah Inwa yang turut di sertai ribuan pelayar dari Angkatan Laut Fujian. Fuheng tidak melalui pergunungan Shan kerana kawasan tersebut berisiko terkena serangan gerila Burma, dan beliau juga menjaga perhubungan bekalan makanan agar tidak terputus.

Di pihak Burma pula, strategi mereka bersifat bertahan. Raja Hsinbyushin mengarahkan Maha Thira Thura sebagai komander perang utama bersama 40,000 orang tentera, dan strategi mereka memecah 4 buah pasukan berasingan dengan 3 daripadanya melawan 3 pasukan Qing, manakala satu pasukan lagi bertindak memotong bantuan bekalan Qing. Pasukan penembak Perancis pimpinan Pierre de Milad yang berkhidmat dengan Burma turut di kerah dari Siam bagi menghadapi Qing. Ribuan bot Burma turut di gunakan menentang bot Angkatan Laut Fujian.

Peperangan berlaku pada Oktober 1769 ketika monsun belum lagi berakhir apabila Qing berjaya menawan Bhamo. Kemudian Qing membina ratusan bot untuk melalui Sungai Ayeyarwaddy. Akibat berlaku salah faham dalam mengikut arahan, tentera Burma dan pasukan bot Burma berjaya mengalahkan pasukan Qing. Pasukan bot Qing tewas kerana pasukan tentera darat Qing tidak membantu mereka akibat salah faham dalam mengikut arahan.

Dalam masa yang sama, tentera Burma juga berjaya memutuskan saluran bekalan makanan dan komunikasi menyebabkan pasukan tentera Qing terputus hubungan. Sekali lagi ramai tentera Qing terkena serangan penyakit akibat musim hujan yang melanda Burma dan kelaparan akibat kekurangan bekalan makanan. Hal ini di manfaatkan oleh Burma dalam mengalahkan tentera Qing dan bertindak mengepung pasukan Qing.

Pegawai Burma dan Qing menawarkan genjatan senjata tanpa pengetahuan Maharaja Qianlong dan Raja Hsinbyushin. Maha Thiru Thura membuat genjatan senjata dan tidak melakukan pembunuhan beramai kerana tidak mahu lagi di serang oleh Qing yang menyebabkan mereka menampung kos peperangan yang tinggi, bagi pihak Qing pula, mereka menerimanya kerana mereka berada di pihak yang kalah.

Dalam genjatan senjata tersebut, Qing perlu mengakui kekuasaan Burma di wilayah Shan dan bersetuju menghantar hadiah ke Burma, sebagai balasan Burma akan membebaskan ribuan tawanan perang Qing dan menyambung semula perdagangan antara kedua-dua negara.

Apabila isu genjatan senjata ini sampai ke pengetahuan Maharaja Qianlong, baginda marah dan tidak dapat menerima genjatan senjata tersebut yang mencalarkan maruah Qing apabila terpaksa memberikan hadiah kepada Burma. Baginda bertindak untuk tidak mengikuti genjatan senjata tersebut. Begitu juga bagi pihak Raja Hsinbyushin, baginda turut marah kerana genjatan senjata tersebut di buat tanpa pengetahuannya.

Kesannya, Maharaja Qianlong tidak menghantar hadiah kepada Burma manakala Raja Hsinbyushin tidak memulangkan tawanan perangnya ke China. kedua-dua negara Qing dan Burma mengambil langkah berjaga-jaga di sempadan masing-masing tetapi peperangan tidak berlaku sehingga kemangkatan Maharaja Qianlong dan Raja Hsinbyushin.

Bagi pihak Burma, walaupun mencapai kemenangan membanggakan melawan empayar gergasi Dinasti Qing, namun serangan Qing merupakan kerugian yang sangat besar kepada Burma kerana mereka bersusah payah menakluk Siam tetapi akhirnya meninggalkan begitu sahaja disebabkan terpaksa memberi tumpuan menentang Qing yang bertindak ingin menyerang ibu negaranya iaitu Inwa.

6. Kempen Keenam (1771-1776) – Kempen Jinchuan Kedua

Dalam Kempen Jinchuan Pertama telah di huraikan di atas di bahagian Kempen Pertama (1747-1749). Bagi kempen Jinchuan Kedua pula (1771-1776) yang juga kempen Keenam bagi keseluruhan 10 Kempen Besar Qing, cucu Slob Dpon iaitu Sonom bersama dengan sahabatnya iaitu Senggesang membentuk pakatan tentera secara rahsia dan bertindak menyerang Tusi yang lain secara tiba-tiba pada tahun 1771.

Marah dengan perbuatan tersebut, Maharaja Kangxi mengerahkan 20,000-50,000 orang tentera ke Jinchuan bagi melawan pemberontak tetapi di malukan oleh puak pemberontak. Maharaja bertekad mahu menghapuskan sistem Tusi dengan melantik panglima berpengalaman iaitu Agui dan Wenfu.

Sekali lagi Qing mengalami kekalahan di sebabkan faktor geografi dan cuaca sejuk melampau. Wenfu turut terbunuh dalam peperangan tersebut. Maharaja Kangxi yang nekad mahu menamatkan perang tersebut walaupun berhadapan dengan kos peperangan yang tinggi, bertindak menghantar kira-kira 400,000 orang tentera beserta meriam ke Jinchuan dan akhirnya berjaya menumpaskan pemberontak dan Sonom dibunuh.

Kempen peperangan menentang puak Tibet tersebut menelan belanja paling besar dalam 10 Kempen Besar Qing serta terpaksa mengerahkan kira-kira 600,000 orang tentera sepanjang kempen di jalankan.

7. Kempen Ketujuh (1786-1788) – Pemberontakan Lin Shuangwen

Pemberontakan Lin Shuangwen berlangsung antara 1786-1788 yang menyebabkan Maharaja Qianlong melancarkan kempen ketenteraan yang ketujuh dalam kariernya sebagai maharaja. Pemberontakan tersebut di cetuskan oleh Lin Shuangwen akibat ketidakpuasan hati beliau terhadap gabenor Qing di Taiwan iaitu Sun Jingsui. Sun bertindak kejam ke atas pengikut Tiandihui atau Persatuan Langit dan Bumi yang masih setia dengan Dinasti Ming, dan berjaya mengumpulkan ramai penyokong anti-Manchu di Taiwan.

Dengan jumlah pengikut kira-kira 50,000 orang, mereka berjaya mengalahkan pasukan Qing di Taiwan. Dengan berita kekalahan Qing di Taiwan dan puak pemberontak yang berjaya menguasai Taiwan, Maharaja Qianlong mengarahkan panglimanya iaitu Fuk’anggan untuk mengetuai kira-kira 50,000 orang tentera Qing ke Taiwan bagi menghapuskan kumpulan pemisah.

Ketika sampai di Taiwan pada tahun 1788, mereka mendapati kira-kira 300,000 orang pengikut Lin Shuangwen bersedia untuk menentang kerajaan. Disebabkan kekurangan peralatan perang dan kurang pengalaman, mereka tidak mampu mengalahkan pasukan Qing, dan akhirnya Qing berjaya menguasai semula Taiwan dan Lin di tahan.

Gambar 7: kapal angkatan laut Qing yang digunakan untuk mengangkut tentera ke Taiwan

8. Kempen Kelapan (1788-1789) – Invasi Qing ke atas Vietnam

Invasi Qing ke atas Vietnam atau di kenali sebagai Pertempuran Ngoc Hoi-Dong Da meletus antara tahun 1788-1789 yang melibatkan Dinasti Qing dengan Dinasti Tay Son yang memerintah di utara Vietnam.

Qing melancarkan invasi ke atas Dinasti Tay Son selepas waris Dinasti Le melarikan diri ke China dan memohon bantuan daripada Qing untuk memulihkan Dinasti Le dan menghancurkan Dinasti Tay Son. Mengikut adat, Dinasti Le mengakui dinasti-dinasti di China sebagai tuan mereka dan Vietnam merupakan sebuah negeri naungan kepada China.

Apabila Dinasti Le tumbang ke tangan Dinasti Tay Son, Dinasti Tay Son enggan mengakui ketuanan China ke atas Vietnam, dan bagi menjaga maruah Qing sebagai tuan kepada Vietnam, Qing bertindak memihak Dinasti Le dan ingin memulihkannya supaya Vietnam kekal sebagai negeri yang mengakui ketuanan kepada China.

Pada tahun 1788, pasukan Qing pimpinan Sun Shiyi beserta kira-kira 15,000 orang tentera menyerang Vietnam dari utara dan menakluk kota Thang Long (Hanoi) pada November. Maharaja Tay Son iaitu Maharaja Quang Trung (nama asalnya Nguyen Hue) merekrut ramai tentera sehingga mencecah 100,000 untuk bertempur melawan Qing yang sudah menceroboh wilayah Vietnam.

Ketika tentera Qing asyik dengan menyambut Tahun Baru Cina pada tahun 1789, tentera Tay Son datang menyerang secara mengejut dan berjaya mengalahkan Qing dengan mudah dan ramai komander perang Qing terbunuh. Sun Shiyi sempat melarikan diri ke China. Dengan itu, Tay Son berjaya mengembalikan semula wilayahnya di utara Vietnam.

Gambar 8: Maharaja Quang Trung

Walaupun Maharaja Quang Trung memenangi pertempuran tersebut baginda menyedari serangan balas bakal tiba dari Qing yang mungkin akan menghacurkan kerajaannya. Oleh itu baginda bertindak mengakui ketuanan China ke atas Tay Son, dan membayar ufti ke China setiap tahun. Oleh itu bagi Qing, mereka sebenarnya kalah dalam menang.

9. Perang Cina-Nepal (1788-1792) – Kempen Kesembilan dan Kesepuluh

Perang Cina-Nepal merupakan konflik antara Kerajaan Nepal pimpinan rajanya iaitu Rana Bahadur Shah menentang Dinasti Qing ketika era pemerintahan Maharaja Qianlong. Pada asalnya peperangan ini hanya melibatkan Nepal dengan Tibet yang ketika itu merupakan negeri naungan kepada Qing.

Masalah timbul akibat masalah perdagangan antara Nepal dengan Tibet. Barangan yang di jual oleh Tibet dibeli dengan syiling yang tidak berkualiti daripada Nepal, hal ini menyebabkan kerugian di sebelah Tibet. Begitu juga dengan barang dari Tibet seperti garam yang di jual kepada Nepal merupakan garam yang tidak berkualiti sehingga menimbul kemarahan Nepal.

Selain itu, timbul khabar angin di Nepal bahawa Tibet mahu menyerang mereka akibat salah faham tersebut sebagai alasan untuk Nepal menyerang Tibet. Dengan itu, berlakunya perang pertama antara Nepal dengan Tibet.

Gambar 9: Rana Bahadur Shah, raja Nepal
  1. Kempen Kesembilan (1788-1789)

Pada tahun 1788, bapa saudara kepada Raja Nepal iaitu Bahadur Shah dan beberapa panglimanya bertindak menyerang Tibet dan berjaya mengalahkan tentera Tibet pimpinan Dalai Lama. Maharaja Qianlong mengetahui pencerobohan Nepal tersebut bertindak mengirim tenteranya pimpinan Jeneral Chanchu ke Tibet bagi menenangkan wilayah tersebut. Chanchu tidak terus menyerang Nepal sebaliknya memilih untuk tinggal di Tibet sementara masalah reda, selepas rundingan dicapai mereka pulang semula ke China. Dalam rundingan yang di adakan antara kedua belah pihak dan perjanjian tercapai yang di kenali sebagai Perjanjian Kerung (Gyirong), Tibet didapati bersalah kerana menimbulkan provokasi dan masalah terlebih dahulu, dengan itu, mereka dikehendaki membayar pampasan dan ufti tahunan kepada Nepal. Tibet yang enggan membayar pampasan menyebabkan hubungan kembali tegang dan menjadi faktor utama berlakunya perang kedua antara mereka.

  1. Kempen Kesepuluh (1791-1792)

Akibat keengganan Tibet membayar pampasan dan ufti tahunan kepada Nepal menyebabkan Bahadur Shah sekali lagi mengumpulkan kira-kira 30,000 orang tenteranya bertindak menyerang Tibet melalui dua arah. Nepal berjaya mengalahkan tentera Tibet dan bandar Gyirong dan Kuti di takluk oleh Nepal. Sebaik sahaja Maharaja Qianlong mengetahui Tibet sekali lagi di serang, kali ini baginda tidak berlembut lagi, baginda menghantar kira-kira 70,000 orang tentera yang di ketuai oleh Fuk’anggan. Pertempuran berlaku memihak kepada Qing dan dalam keadaan terdesak Bahadur Shah terpaksa meminta bantuan ketenteraan dan kelengkapan perang dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) bagi menguatkan askarnya yang turut berdepan serangan negeri jiran iaitu Sikkim. SHTI telah meletakkan beberapa syarat yang dilihat oleh Bahadur sebagai cubaan untuk menjajah Nepal, Bahadur Shah tidak bersetuju dengan SHTI kemudiannya terpaksa menyerah kalah dengan Qing dan menandatangani perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Betravati yang meletakkan syarat Nepal dikehendaki menghantar ufti ke China selang 5 tahun sekali dan mengakui kekuasaan Qing di Tibet.

KESIMPULAN

10 Kempen Besar Qing di lancarkan bagi mengukuhkan Qing sebagai empayar terkuat di rantau Asia. Kempen ini sebenarnya meninggalkan beban kewangan yang tinggi kepada Dinasti Qing kerana perlu menempuh peperangan yang besar terutamanya ketika menentang puak Tibet dalam Kempen Jinchuan. Walaupun menghadapi kesukaran seperti kempen menentang Tibet di Sichuan, serta kekalahan kepada Burma dan Vietnam, Maharaja Qianlong tetap unggul manjadi maharaja teragung Dinasti Qing dengan keamanan dalam negara iaitu di Tanah Besar China tanpa pergolakan politik dan sokongan padu orang Han kepada baginda.

 

RUJUKAN

The Editors of Encyclopædia Britannica. “Qing dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 12 March 2018.

Maxwell K. Hearn and Madeleine Zelin, Consultants. The Kangxi and the Qianlong Emperor. Project Mcah Columbia.

Peter C. Perdue, China Marches West:The Qing Conquest of Central Asia,177-180

Burney, Col. Henry (August 1840). Four Years’ War between Burmah and China. The Chinese Repository. 9. Canton: Printed for Proprietors.

Dai, Yingcong (2004). “A Disguised Defeat: The Myanmar Campaign of the Qing Dynasty”. Modern Asian Studies. Cambridge University Press

Skoggard, Ian A. (1996). The Indigenous Dynamic in Taiwan’s Postwar Development: The Religious and Historical Roots of Entrepreneurship. M.E. Sharpe. ISBN 9781563248467. OL 979742M

A History of Vietnam: From Hong Bang to Tu Duc, Chapter 6 The Nguyen Hue Epic, pages 153–159, by Oscar Chapuis, Greenwood Publishing Group (1995), ISBN 0-313-29622-7

“Tibetan and Nepalese Conflict”. Official website of Nepal Army. Archived from the original on 2011-06-07.