10 Faktor Kekalahan Melaka Kepada Portugis

0
1500
views

Dalam catatan sejarah, begitu banyak peristiwa yang menyaksikan tentera yang ramai dikalahkan oleh tentera yang sedikit. Malah kerajaan-kerajan yang hebat dan besar seperti Dinasti Ming dan Daulah Uthmaniyah turut pernah mengalami kekalahan pada angkatan musuh yang jauh lebih kecil.

Dalam Pertempuran Tumu tahun 1449 Masihi, 500,00 orang tentera Dinasti Ming tewas kepada tentera Mongol yang berjumlah 20,000 orang. Perang ini juga menyebabkan Maharaja Ming iaitu Maharaja Zheng Tong ditawan tentera Mongol.

Pertempuran Vienna tahun 1526 pula menyaksikan kekalahan tentera Uthmaniyah dengan jumlah tentera seramai 100,000 orang kepada tentera Vienna yang berjumlah hanya 20,000 orang. Ketika itu, kelengkapan perang dan senjata api Uthmaniyah jauh lebih banyak dan canggih berbanding Vienna.

Sebenarnya, angkatan tentera Portugis hampir tewas ketika berperang dengan Melaka. Hal ini menyebabkan beberapa orang panglima perang Portugis menggesa Alfonso de Albuquerque untuk berpatah balik ke India dan membatalkan hasrat menakluki Melaka.

Namun keazaman dan tekad Alfonso menyebabkan beliau bertegas untuk terus menyerang Melaka dan seterusnya mencapai kejayaan.

Mengikut pemerhatian saya, ada 10 faktor utama kekalahan tentera Melaka di tangan Portugis yang membawa kepada penaklukan Kota Melaka. Berikut adalah 10 faktor berikut yang boleh dijadikan iktibar :-

1) Penyakit al-Wahn (Cintakan dunia dan takutkan mati)

Disebabkan Melaka dilimpahkan dengan kekayaan yang luar biasa, maka ramai di kalangan orang-orang Melaka telah ditimpa penyakit al-Wahn iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Ini adalah punca utama kekalahan Melaka di tangan Portugis. Dari al-Wahn inilah timbul penyakit-penyakit lain seperti sombong, zalim, kedekut, angkuh, mengabaikan jihad, pengkhianatan, dendam dan iri hati sesama sendiri, rasuah dan sebagainya.

2) Pengalaman perang Portugis

Sebelum berperang dengan Melaka, Portugis sentiasa berperang yang menyebabkan mereka memiliki kepakaran dan kemahiran yang tinggi dalam perang hasil dari pengalaman-pengalaman tersebut selain meningkatkan kekuatan fizikal dan mental tentera. Dengan tentera yang kecil, Portugis mampu menakluki Goa dan menewaskan pakatan Uthmaniyah-Mamluk-Calicut. Sedangkan tentera Melaka hidup dalam suasana aman damai yang menyebabkan mereka kurang berpengalaman dalam perang.

3) Posisi Portugis sebagai penyerang

Dalam perang, pihak yang menyerang memiliki kelebihan psikologi berbanding pihak yang bertahan. Sebagai pihak yang menyerang, tentera Portugis hanya membawa diri dan peralatan perang. Sedangkan tentera Melaka memiliki keluarga dan harta kekayaan yang perlu dipertahankan dan diselamatkan. Ini menyebabkan sebahagian mereka memiliki pertimbangan lain seperti melarikan diri atau membelot.

4) Raja Portugis berhabisan melabur dalam usaha menakluki Melaka

Raja Portugis berusaha sedaya upaya untuk menakluki Melaka dengan melakukan pelaburan yang tinggi. Dengan sebab itu, ketika Portugis hampir tewas dengan tentera Melaka dan beberapa panglima Perang Portugis menggesa Alfonso de Albuquerque untuk membatalkan niat menakluki Melaka, Alfonso bertegas agar perang dengan Melaka mesti diteruskan sehingga menang walau sebarang akibat buruk yang terpaksa ditanggung oleh Portugis.

5) Ketokohan Alfonso de Albuquerque

Alfonso de Albuquerque sememangnya dikenali dengan sikap licik, mempunyai kepintaran dalam strategi perang serta memiliki kekuatan mental dan emosi yang ampuh. Beliau banyak menghabiskan masanya berperang di laut dan di darat. Oleh kerana itu, Alfonso de Albuquerque diberi gelaran Kaisar Timur. Ketokohan dan kebijaksanaannya melayakkannya setara dengan seorang kaisar (maharaja) walaupun beliau hanya seorang pembesar bagi sebuah kerajaan. Beliau juga digelar ‘Singa Di Lautan’ (Lion of the Seas) kerana kepintarannya dalam berperang di laut-laut.

6) Kelemahan Sultan Melaka

Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Syah memiliki beberapa sikap yang negatif seperti bersikap kejam dan terburu-buru dalam melaksanakan hukuman. Hal ini dapat dibuktikan dari peristiwa pembunuhan Tun Mutahir dan ahli keluarganya. Baginda juga bersikap curang dengan isteri Tun biajid iaitu salah seorang pembesarnya. Sikapnya ini sangat berbeza dengan sikap Sultan-sultan Melaka yang terdahulu yang terkenal dengan ketokohan, kebijaksanaan dan memiliki pelbagai kebaikan. Maka tidak hairanlah jika Sultan tidak mendapat sokongan yang jitu dan padu dari rakyat dan para pembesar.

7) Pengkhianatan para pembesar Melaka

Perasaan dendam dan tidak senang dengan Sultan Melaka membawa kepada pembelotan beberapa pembesar Melaka. Oleh itu, mereka telah bekerjasama dengan membocorkan maklumat-maklumat sulit pertahanan Melaka.

8) Portugis mendapat sokongan pedagang asing di Melaka

Pedagang-pedagang asing bukan Islam yang berasal dari China dan India telah memberikan bantuan kepada Portugis. Sebagai contoh, pedagang China telah menyediakan dua buah jong untuk kegunaan Portugis menyerang Melaka. Di samping itu, seorang ceti dari India yang sangat berpengaruh di Melaka iaitu Nina Chatu turut memberikan bantuan kepada Portugis.

9) Sultan Melaka tidak melakukan persediaan perang yang rapi

Portugis menyatakan bahawa antara kelemahan Sultan Melaka yang ketara dalam menghadapi perang dengan Portugis ialah Sultan Melaka tidak menyediakan sebuah kota pertahanan kepada Kota Melaka. Kota pertahan yang berfungsi sebagai kota satelit sangat penting dalam mempertahankan sesebuah pusat kerajaan. Ini diakui sendiri oleh Alfonso de Albuquerque di mana beliau berkata seperti berikut:-

“Melaka adalah sebuah kota yang besar, dan ianya kelihatan sukar untuk ditawan. Hal ini akan menjadi kenyataan sekiranya Sultan memiliki sebuah kota yang lain yang dia boleh perkukuhkan. Namun dia tidak memilikinya. Jika dia kehilangan Melaka, dia akan mengalami kehilangan yang mutlak”

10) Penaklukan pelabuhan-pelabuhan di India

Sebelum Portugis melancarkan perang ke atas Melaka, mereka telah berjaya menawan beberapa buah pelabuhan di India seperti Diu, Calicut dan Goa. Dengan itu, kedudukan Portugis di bahagian timur sangat kukuh di mana pelabuhan-pelabuhan di India ini menjadi pengkalan tentera mereka yang sangat strategik.