10 Fakta Yang Kita Tidak Ketahui Mengenai Al-Fateh

0
1596
views

Sultan Muhammad II atau Muhammad al-Fateh bukanlah seorang individu yang asing dalam lipatan sejarah. Bagindalah individu yang berjaya merealisasikan impian umat Islam iaitu menawan kota Constantinople. Dan atas jasa baginda juga, Sultan Muhammad II mengukuhkan kekuatan Kerajaan Islam Uthmaniyyah sebagai satu kuasa yang disegani dan digeruni kawan mahupun lawan. Tetapi tahukah anda, ada banyak fakta menarik tetapi tidak diketahui berkenaan baginda.

1. Muhammad II merupakan anak ketiga Sultan Murad II dan isteri keempat baginda, Huma Hatun yang dilahirkan pada 30 Mac 1432. Tidak diketahui berkenaan latar belakang keluarga bonda baginda. Terdapat dua teori siapa Huma Hatun iaitu pertama, seorang wanita Yahudi dari Itali bernama Stella. Sementara teori lain menyatakan beliau merupakan orang Serbia dan teori ini disokong sejarawan Turki, Ilber Ortayli. Ada juga yang berpandangan bonda baginda berasal dari Perancis. Nama bonda Muhammad II iaitu Huma bermaksud burung syurga berdasarkan sebuah legenda Parsi, sekaligus turut memberi petunjuk bonda baginda merupakan orang asing.

Jetpack Langkawi

2. Apabila Muhammad II mencecah usia 11 tahun, mengikut adat istiadat Uthmaniyyah, baginda dihantar ke Amaysa untuk menimba pengalaman dan mendapat latihan pentadbiran. Semasa di Amaysa, baginda diajar dalam pelbagai perkara seperti agama, kejuruteraan dan sains. Dua tokoh yang memberi impak besar semasa tempoh ini ialah Molla Gurani dan penasihat agama baginda, Akhshamsaddin. Semua perkara ini amat berguna pada baginda untuk tempoh terkemudian terutama semasa kempen ke atas kota Constantinople.

3. Muhammad II bukanlah anak kesayangan Sultan Murad II dan bukan waris kepada takhta kerajaan Uthmaniyyah. Selepas saudara baginda mati dibunuh akibat dicekik di atas katilnya, barulah baginda menjadi pewaris takhta kerajaan dan belajar selok-belok pentadbiran di Edirne pada usia 11 tahun.

4. Muhammad II ditabalkan sebagai sultan pada tahun 1444 selepas ayahanda baginda, Sultan Murad II mengambil keputusan meninggalkan takhta kerajaan. Semasa tempoh pertama ini, ramai musuh kerajaan Uthmaniyyah mengambil kesempatan usia Sultan Muhammad II dengan mengisytiharkan perang ke atas kerajaan tersebut. Antara kerajaan yang mengisytiharkan perang ialah Hungary apabila mereka melanggar Perjanjian Damai Szeged atas alasan ianya bukan satu kesalahan. Menyedari bahaya yang menanti, Sultan Muhammad II meminta Sultan Murad II kembali sebagai sultan tetapi permintaan baginda ditolak ayahandanya. Ini mendorong baginda menulis sepucuk surat yang terkenal di mana ia berbunyi, “Sekiranya kamu seorang Sultan, maka datang dan ketuailah askar kamu. Sekiranya aku seorang Sultan, aku memerintahkan kamu untuk datang dan mengetuai askar aku.” Berikutan itu, Sultan Murad II kembali dan mengetuai tentera Uthmaniyyah mengalahkan tentera Hungary dalam Pertempuran Varna pada tahun yang sama.

5. Selepas kemangkatan Sultan Murad II, Sultan Muhammad II meneruskan cita-cita baginda menguasai kota Constatinople. Ini dimulakan dengan membina kota Rumelihisari di sebelah Eropah Turki dengan matlamat mengawal Selat Bosphorus. Selepas kota tersebut siap, baginda mengenakan cukai ke atas mana-mana kapal yang melalui kawasan tersebut. Satu insiden ngeri berlaku apabila sebuah kapal Venice yang enggan membayar cukai tersebut ditenggelamkan dengan sedas tembakan meriam. Anak-anak kapal yang terselamat dipenggal oleh tentera Uthmaniyyah sementara nakhoda kapal tersebut disalib dan diletakkan di pesisir selat sebagai tanda amaran kepada mana-mana kapal yang melalui selat tersebut untuk membayar cukai dikenakan.

6. Selepas berjaya menawan kota Constantinople, Sultan Muhammad II mencatat sejarah tersendiri iaitu menjatuhkan hukuman mati ke atas perdana menterinya sendiri, Candarli Halil Pasha. Ketegangan hubungan Sultan Muhammad II dengan Halil Pasha bukanlah isu baru kerana ia sudah bermula sejak tempoh pertama baginda sebagai sultan. Halil Pasha merupakan individu bertanggungjawab menyingkirkan Muhammad II dan mengembalikan ayahanda baginda, Sultan Murad II ke takhta kerajaan Uthmaniyyah. Selain itu, kekayaan luar biasa keluarga Halil Pasha yang diraih lebih satu abad kerana mempunyai hubungan erat dengan pemerintah kerajaan Uthmaniyyah sebelumnya turut menjadi punca. Tetapi kemuncak kepada semua ini ialah apabila Halil Pasha menasihati baginda untuk meninggalkan kepungan Constantinople semasa operasi penaklukan Constantinople berlangsung. Sehari selepas Constantinople ditakluk, Halil Pasha ditahan dan dihukum mati di Edirne. Kedudukan beliau digantikan oleh bapa mentua baginda, Zaganos Pasha.

7. Selepas Constantinople ditawan, ramai mahu menjarah kota bersejarah tersebut. Selepas beberapa lama, Sultan Muhammad II membenarkan proses penjarahan berlaku tetapi hanya diberi tempoh tiga hari. Sepanjang tempoh tersebut, tentera-tentera bergaduh berkenaan pemilikan harta yang dijarah dan terdapat juga catatan kontroversi daripada pihak Greek yang mengatakan ramai penduduk beragama Kristian terkorban ketika penjarahan selama tiga hari ini berlaku. Hanya pada 2 Jun, baginda meninjau kota tersebut dan mendapati ia ditinggalkan, sebahagian daripadanya musnah, rumah-rumah, gudang-gudang dan kedai-kedai ditinggalkan. Sultan Muhammad II menangis sambil berkata”

“Inilah kota yang kita takluki di mana kita kemudiannya jarah dan musnahkan.”

Selepas itu, baginda mengarahkan penjarahan dihentikan, rumah-rumah penduduk dibaiki dan penduduk yang ditangkap dilepaskan tanpa dinafikan hak mereka.

8. 10 tahun selepas kejayaan baginda menguasai Constantinople, Sultan Muhammad II berangkat ke kota Troy. Di sini, baginda mengisytiharkan bahawa dendam orang Troy terhadap orang Yunani (Byzantine) sudah terbalas iaitu penguasaan Constantinople. Ini sebenarnya merujuk kepada kisah Troy di mana kota tersebut tumbang selepas mereka terpedaya dengan taktik kuda Trojan yang diperkenalkan orang Yunani.

9. Pasca-penaklukan Constantinople, Sultan Muhammad II menuntut gelaran Caesar atau Kaisar, gelaran khusus yang digunakan oleh maharaja Empayar Rom berdasarkan pendapat Constantinople merupakan ibu kota empayar tersebut sejak 330 Masihi. Dan untuk mengukuhkan tuntutan baginda, Sultan Muhammad II turut melantik Gennadius Scholarius sebagai ketua komuniti Ortodoks Timur. Sebagai pertukaran kepada perlantikan tersebut, Scholarius menyokong tuntutan baginda pada gelaran tersebut.

Dan dari segi pertalian darah, Sultan Muhammad II ada sebab yang kuat. Ini kerana moyang baginda, Sultan Orhan I berkahwin dengan seorang puteri Byzantine dan Sultan Muhammad II percaya baginda berasal dari keturunan John Tzelepes Komnenos, anak saudara kepada Maharaja Byzantine, John II Komnenos atau John Si Tampan (John the Beautiful). Bagaimanapun, baginda bukan orang pertama yang mahukan gelaran Kaisar. Ini kerana Maharaja Austria, Frederick III juga mahukan gelaran tersebut kerana berasal dari keturunan Charlemagne yang mengambil gelaran tersebut selepas ditabalkan sebagai maharaja oleh Pope Leo III pada 800 Masihi.

10. Satu legasi aneh dan menakutkan Sultan Muhammad II ialah pengenalan Undang-Undang Pembunuhan Saudara (Law of Fratricide). Menerusi undang-undang tersebut, baginda bertitah,

“Sesiapa dari kalangan anak-anakku yang mewarisi kesultanan ini, maka dia berhak membunuh saudaranya sendiri dengan tujuan menjaga kepentingan orde dunia. Ramai ulama membenarkannya, maka bertindaklah mengikut kadar sepatutnya.”

Untuk ingatan, pembunuhan sebegini bukan eksklusif kepada kerajaan Uthmaniyyah saja, ia turut berlaku ke atas kerajaan-kerajaan lain termasuk Empayar Rom, Byzantine, Parsi dan kerajaan Islam Andalusia.

Ada logik di sebalik pengenalan undang-undang ini. Untuk mengelak berlakunya perang saudara dan perebutan takhta, sesetengah pemerintah Turki membahagikan empayar mereka kepada beberapa wilayah dan ianya diserahkan kepada putera-putera raja untuk ditadbir.

Namun, amalan sebegini hanya melemahkan sesebuah kerajaan dan ia membawa kejatuhan kepada sesebuah kerajaan tersebut. Dan ini ditambah dengan sejarah awal kerajaan Uthmaniyyah penuh dengan peristiwa-peristiwa cubaan individu merampas takhta kerajaan dan mereka ini bukan saja mendapat sokongan pembesar tempatan tetapi juga oleh orang luar termasuk kerajaan Byzantine.

Ada tiga sebab ia boleh dikuatkuasakan. Pertama, jika mereka melancarkan pemberontakan untuk merampas takhta. Ini yang berlaku ke atas Cem Sultan, salah seorang putera Sultan Muhammad II. Selepas kemangkatan baginda, Cem Sultan mencadangkan kepada kekandanya, Bayezid II untuk berkongsi pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah. Bagaimanapun, idea tersebut ditolak Bayezid II dan baginda menewaskan Cem Sultan. Cem Sultan terpaksa melarikan diri ke Eropah dan hidup dalam keadaan menyedihkan.

Kedua, seseorang itu boleh dibunuh sekiranya wujud tanda pemberontakan akan berlaku. Ini berlaku kepada Korkut, kekanda Sultan Selim I. Selepas Selim I ditabalkan sebagai sultan, Korkut mengisytiharkan taat setia kepada baginda. Tetapi untuk menghilangkan rasa curiga pada saudaranya itu, baginda menulis sepucuk surat palsu dengan mengatakan ramai pemimpin tentera memberi sokongan kepada baginda. Dari situ, Korkut boleh melancarkan pemberontakan ke atas Selim I. Dan Korkut memberi maklum balas positif pada surat tersebut. Ini menyebabkan Sultan Selim I mengarahkan kekanda baginda dihukum bunuh berhampiran Emet pada tahun 1513 dan dikebumikan di Bursa. Keadaan sama turut menimpa putera Sultan Suleiman al-Qanuni, Mustafa.

Sebab ketiga ini pula ialah mereka dibunuh bukan atas sebab pemberontakan atau persediaan memberontak tetapi atas sebab mengukuhkan kekuasaan masing-masing. Rakyat melihat kerajaan Uthmaniyyah sebagai orang yang berhak ke atas takhta. Mana-mana yang cuba menuntut dari luar dinasti tersebut pasti akan ditolak dan akan menimbulkan pemberontakan. Ini yang berlaku ke atas Sultan Murad IV yang terpaksa mengorbankan saudaranya untuk mengelak rusuhan pasukan Jannisaries kerana mereka mahu menabalkan saudaranya itu sebagai sultan.

Duta Austria ke Islambul (nama baru Constantinople pasca-penaklukan Muhammad II) semasa pemerintahan Sultan Suleiman al-Qanuni, Ogier Ghiselin de Busbecq menyifatkan situasi yang melanda putera-putera kerajaan Uthmaniyyah ini amat menyedihkan. Dan bagi sesetengah pembunuhan, ramai melihat ia sebagai satu pencabulan undang-undang dan melanggar prinsip syarak. Tetapi bagi penyokong undang-undang ini, ia perlu dilaksanakan atas sebab menjaga maslahah awam.

Buktinya, ia menjadikan pemerintah-pemerintah Uthmaniyyah yang hebat dan tegas serta sukar dicabar. Amalan ini berterusan hinggalah era pemerintahan Sultan Ahmed I di mana baginda tidak membunuh saudaranya, Mustafa. Selepas era ini, putera-putera raja tidak dihantar ke wilayah-wilayah tertentu dan menunggu giliran untuk menjadi sultan di istana. Ini membawa kepada kemerosotan kerajaan Uthmaniyyah pada akhirnya.

SUMBER

1. Dash, Mike. (2012). The Ottoman Empire’s Life or Death Race.

2. Ekinci, Ekrem Bugra. (2015). The history of fratricide in the Ottoman Empire Part 1.

3. Ekinci, Ekrem Bugra. (2015) The history of fratricide in the Ottoman Empire Part 2.

4. Inalcik, Hilal. Britannica.com. Mehmed II Ottoman Sultan.

5. Encyclopedia.com. Mehmed the Conqueror.

Previous articleTeori Saintifik Tidak Sama Dengan “Teori” Yang Kalian Bayangkan
Next articlePahlawan Banjar Dari Pulau Borneo – Pangeran Antasari Bin Pangeran Masohut @ Mas’ud
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE