Terperangkap di antara rasa gatal dan kesan bilur di samping rasa gerun akan virus bawaan nyamuk, mudah untuk kita terlupa bahawa nyamuk adalah keajaiban evolusi. Atau mungkin mereka tidak mendapat keadilan yang sepatutnya daripada kita. Dengan spesis nyamuk yang melebihi 3,000 jenis, hanya 80 jenis yang sebetulnya menggigit manusia dan sekurang-kurangnya ada jenis yang memakan nyamuk lain untuk kita.

Semenjak menetas, mereka membesar menjadi dewasa dalam masa lima hari. Mereka membiak dalam beberapa minit selepas menetas. Malah mereka mempunyai anggota badan yang mengagumkan dalam dunia haiwan jika ingin dibandingkan mengikut anggota mulutnya yang menyengat.

  • NYAMUK ADALAH PENERBANG HANDAL DI DALAM CUACA BURUK

Purata titik hujan adalah 50 kali lebih berat daripada purata berat nyamuk. Namun nyamuk mampu meredah hujan tanpa masalah. Jika sebuah kapal terbang Boeing 747 dihentam oleh titis hujan yang serupa, sebanyak 2375 tan air akan menimpanya dan pastinya kapal terbang itu tidak mampu menyamai kemampuan seekor nyamuk. Bagaimana serangga ini melakukannya?

Satu legenda umum menyatakan bahawa serangga-serangga cukup lincah untuk mengelak titik-titik hujan. Beberapa tahun yang lepas, sepasukan jurutera yang berpusat di Institut Teknologi Georgia telah memerhati nyamuk sebenar dan nyamuk tiruan Styrofoam menggunakan kamera berkuasa tinggi. Mereka memerhatikan nyamuk itu terbang ketika hujan bagi meneliti keadaan sebenar yang terjadi. Mereka mendapati bahawa nyamuk tersebut tidaklah terbang cukup laju untuk mengelak titik-titik hujan tetapi kelambatan mereka itulah yang mengelakkan daripada terhempas jatuh ke Bumi.

Jisim seekor nyamuk yang rendah di samping kelajuan yang perlahan telah menyebabkan perlanggaran berlaku di antara titik hujan dan nyamuk. Tetapi, titik itu hanya berubah bentuk dan tidak memindahkan momentum yang cukup untuk mengganggu penerbangan nyamuk tersebut.

  • TEXAS IALAH PUSAT BANDAR NYAMUK DI AMERIKA

Dengan sebanyak 3,000 jenis spesis nyamuk di dunia, lebih kurang 150 dijumpai di Amerika Syarikat dan 85 jenis daripada itu dijumpai di Texas. Apabila orang mengatakan semua yang ada di Texas besar belaka, anda boleh memasukkan biodiversiti jenis gigitan serangga pembawa penyakit ke dalam koleksi tersebut.

  • SESETENGAH NYAMUK BENAR-BENAR BAHAYA TERHADAP MANUSIA

Nyamuk betina yang mengigit dan menghisap darah adalah pemindah penyakit yang hebat. Oleh sebab itu, nyamuk dikategorikan sebagai haiwan paling berbahaya di dunia. Setiap tahun, parasit malaria yang direbak oleh mereka telah membunuh dua hingga tiga juta orang dan menjangkiti 200 juta atau lebih orang lagi. Mereka juga menyebar patogen yang menyebabkan demam kuning (yellow fever), demam Rift Valley, demam Chikungunya dan penyakit West Nile.

  • … DAN SESETENGAH NYAMUK TIDAK MEMUDARATKAN.

Bukan semua spesis nyamuk menghisap darah daripada manusia dan di antara mereka yang menghisap, bukan semua merebakkan penyakit. Penghisap darah itu tidak perlu menghisap darah anda sepanjang masa. Nyamuk jantan hidup sepenuhnya bergantung pada nektar dan cecair pokok lain.

Malah makanan ruji buat nyamuk betina juga berasaskan tumbuhan. Kebanyakan masa mereka hanya menghisap darah manusia ketika mereka sedang bersedia untuk membiak. Ini kerana darah mengandungi lipid, protein, dan pelbagai nutrien lain yang diperlukan untuk penghasilan telur.

  • NYAMUK SEBENARNYA MEMBANTU PERSEKITARAN

Apabila anda menyapu losyen kalamin di seluruh badan, nyamuk mungkin hanya mengganggu anda tanpa sebab tetapi banyak spesis memainkan peranan ekologi. Nyamuk Aedes impiger dan Aedes nigripes yang berkumpul seperti awan tebal di Artik Rusia dan Kanada merupakan sumber makanan utama buat burung-burung penghijrah.

Jauh ke selatan, pelbagai haiwan seperti unggas, serangga, lelabah, salamander, cicak-cicak, katak, dan ikan, akan selalu memakan pelbagai jenis spesis nyamuk. Tumbuhan memerlukan mereka juga dan sesetengah daripada mereka seperti anggerik daun majal (blunt-leaved orchid) dan anggerik monyet (monkeyface orchid) bergantung pada nyamuk sebagai pendebunga primer.

Sesetengah jenis nyamuk juga handal di dalam mengawal jumlah nyamuk. Spesis nyamuk daripada genus Toxorhynchites menjadikan larva nyamuk dan nyamuk muda sebagai makanan mereka. Malah mereka kadang-kadang memakan spesis mereka sendiri.

  • NYAMUK ADALAH PEMBURU HEBAT (MACAMLAH KAMI PERLU BERITAHU ANDA FAKTA INI)

Nyamuk pakar di dalam menangkap bahan kimia yang dikeluarkan oleh perumah mereka iaitu manusia. Mereka boleh mengesan karbon dioksida di dalam nafas kita, bahan 1-octen-3-ol di dalam nafas dan peluh, di samping bahan-bahan organik lain yang kita hasilkan menggunakan tujuh puluh lebih jenis reseptor bauan dan bahan kimia di antena mereka. Reseptor-reseptor ini boleh mengesan jejak kimia sejauh beberapa ratus kaki dan sebaik sahaja nyamuk itu mendekatinya, ia akan mengesan bahan kimianya dan juga mengesan melalui penglihatan. Di samping itu, mereka gemar pada orang yang memakai pakaian berwarna gelap

  • NYAMUK BOLEH MENJADI CEREWET

JIka kelihatan anda selalu berkelubung dari hujung rambut hingga hujung kaki sedangkan orang lain yang duduk di sebelah anda hanya memakai pakaian singkat, ia bukan satu paranoia. Nyamuk benar-benar berada di sekitar untuk mendapatkan anda.

Sesetengah orang mempunyai bau badan dan mengeluarkan bahan kimia yang menarik minat nyamuk manakala sesetengah yang lain mengeluarkan bau yang membuatkan mereka tidak digemari nyamuk dan bau ini samaada bertindak sebagai pencegah atau menyelubungi bahan kimia yang akan menjadikan nyamuk suka.

  • MULUT SEEKOR NYAMUK BETINA DIBINA KHAS UNTUK MENGHISAP DARAH

Nyamuk bukan sekadar menembus masuk proboscis-nya ke dalam kulit anda dan mula menghisap. Apa yang anda lihat melekat di muka nyamuk adalah labium yang menyarung bahagian mulut yang digunakan untuk menghisap. Labium akan membengkok ke belakang ketika nyamuk mengigit di mana ia membenarkan bahagian lain untuk melalui hujungnya dan melakukan peranan masing-masing. Sepasang mandible dan maxillae yang tajam dan runcing akan digunakan untuk menembusi kulit. Hypopharynx dan labrum yang berongga masing-masing akan digunakan untuk menyalurkan air liur dan menyedut darah.

  • AIR LIUR NYAMUK MENGHALANG PEMBEKUAN DARAH

Air liur yang dipam keluar dari hypopharynx ketika nyamuk mengigit adalah penting untuk mempengaruhi kecenderungan darah kita untuk membeku. Ia mengandungi sekumpulan bahan kimia yang menahan pengecutan salur darah, menyekat pembekuan darah serta pengagregatan platelet. Justeru itu ia memastikan darah kita sentiasa cair ketika lalu di dalam labrum nyamuk lalu mengganggu hidangan mereka.

  • NYAMUK BOLEH MELETUP

Tekanan darah membantu pengisian perut nyamuk lebih cepat lalu memudahkan hidangan mereka. Namun ada lagenda yang mengatakan ia juga menyebabkan kematian mereka. Ceritanya begini, anda boleh melenturtegangkan otot yang hampir dengan tempat gigitan atau meregangkan kulit supaya nyamuk itu tidak boleh menarik keluar proboscisnya lalu tekanan darah anda akan mengisi perut nyamuk sehingga ia meletup.

Terdapat kesefahaman di antara pakar entomologi yang merasakan perkara ini tidak benar namun ada cara yang lebih sukar untuk meletupkan nyamuk ini. Untuk membuat bom darah, anda haruslah memotong bahagian ventral saraf tunjang. Saraf ini akan menghantar maklumat mengenai rasa kenyang. Semasa ia dipotong, saraf tunjang itu tidak boleh memberitahu otak nyamuk bahawa perutnya sudah penuh lalu ia akan berterusan mengisi perutnya hingga mencapai saiz kritikal.

Sekurang-kurangnya seorang pengkaji mendapati bahawa nyamuk tidak cakna akan betapa penuhnya mereka dan akan berterusan menghisap walaupun perut mereka sudah pecah lalu darah memancut keluar daripada bahagian hujung mereka yang meletup itu.

TERJEMAHAN:

Matt Soniak. (30 Mei 2012). 10 Things You Need to Know About Mosquitoes. Mental Floss.
http://mentalfloss.com/article/30791/defense-mosquito-10-things-know-about-summer%E2%80%99s-biggest-annoyance


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.