10 Fakta Menarik Mengenai Mamot Si Gajah Purba

916

Sebut saja mamot, ramai dapat membayangkan moyang gajah moden itu sebagai gajah besar dan berbulu serta memiliki gading yang panjang. Mamot berevolusi dari genus Mammuthus yang berevolusi sekitar 5.1 juta tahun lalu di Afrika. Mamot bersama sepupu jauh mereka, mastodon pupus sekitar 10,000 tahun yang lalu dan siapa sangka, ini kini menjadi sebahagian daripada budaya pop hari ini. Tetapi ada banyak perkara yang kita tidak tahu tentang mamot.

1. Gading panjang itu menawan, sayang…

Selain dikenali dengan ciri bulunya yang tebal, mamot turut dikenali dengan gadingnya yang panjang di mana ia boleh mencecah sehingga 15 kaki. Gading ini merupakan sebahagian daripada tarikan seksual mamot jantan untuk menarik pasangan betinanya. Ini kerana gading yang panjang, melengkung dan menarik dilihat satu ciri yang membuatkan mamot betina tertarik untuk mengawan dengan mamot jantan. Selain sebagai tarikan seksual, ia juga berperanan sebagai alat perlindungan daripada ancaman pemangsa seperti harimau taring lengkung.

2. Jadi buruan terawal manusia

Dengan panjang 13 kaki dan berat lima hingga tujuh tan, bagi kelompok awal Homo sapiens, ia merupakan satu kejayaan besar sekiranya berjaya menangkap mamot. Mamot menjadi buruan bukan saja untuk mendapatkan bulunya tetapi juga untuk mendapatkan dagingnya yang lazat lagi berlemak. Dan wujud satu teori aktiviti pemburuan mamot secara berkumpulan menerusi kesabaran, perancangan dan kerjasama bagi menjatuhkan mamot merupakan faktor utama pembangunan tamadun manusia.

3. Lukisan gua

Dari 30,000 hingga 12,000 tahun lalu, mamot menjadi subjek kegemaran manusia era Neolitik dalam soal lukisan gua. Bukan sedikit imej haiwan hebat ini diabadikan pada dinding-dinding gua di Eropah Barat. Lukisan-lukisan primitif ini berkemungkinan menjadikan haiwan buruan ini sebagai azimat atau bahan sembahan mereka. Ini kerana mereka percaya jika mamot dilukis pada dinding, maka mereka juga berpeluang menangkapnya di dunia sebenar.

4. Bukan satu-satunya spesis mamalia pra-sejarah berbulu

Selain mamot, ada juga spesis mamalia pra-sejarah yang berbulu pada Zaman Ais. Salah satu daripadanya ialah badak sumbu berbulu atau Coelodonta yang merayap di lembah-lembah Eurasia semasa era berkenaan. Badak ini juga turut menjadi sasaran manusia pra-sejarah bagi mendapatkan daging dan bulunya serta dikatakan menjadi sumber inspirasi legenda unikorn. Sementara mastodon yang banyak didapati di Amerika Utara turut menjadi buruan bagi mendapatkan bulunya tetapi ia tidaklah sepanjang sepupu jauh mereka.

5. Bukan satu-satunya spesis mamot

Mamot yang kita kenali hari ini sebenarnya turut dikenali dengan nama saintifik Mammuthus primigenius. Terdapat 12 jenis mamot yang merayap di Amerika Utara dan Eurasia semasa Zaman Ais seperti Mammuthus trogontherii (Mamot Steppe), Mammuthus imperator (Mamot Raja) dan Mammuthus columbi (Mamot Columbia). Tetapi semua mamot ini tidaklah terkenal berbanding mamot berbulu yang kita kenal hari ini.

6. Spesis mamot terberat

Percayalah, dengan berat antara lima hingga tujuh tan, anda menyangka mamot berbulu merupakan mamot yang paling berbahaya. Hakikatnya, gelaran itu dipegang oleh Mamot Raja di mana fosil spesis jantannya boleh mencecah 10 tan tetapi ada berpandangan ia sebenarnya mempunyai berat 15 tan!

7. Diliputi dengan bulu dan lemak

Dengan bulu tebal yang dimiliki mamot, bukan jaminan ia dapat menahan asakan cuaca sejuk terutama bila suhu jatuh melampau. Justeru di sebalik bulunya yang tebal, terdapat satu lapisan lemak setebal empat inci bagi memastikan mereka kekal panas dan selesa. Dan seperti mana rambut manusia, bulu mamot juga mempunyai warna berbeza dari hitam hingga perang.

8. Mamot terakhir pupus 4,000 tahun lalu

Menjelang tahun-tahun terakhir Zaman Ais, kebanyakan mamot sudah pupus sejak 10,000 tahun lepas akibat cuaca sejuk dan menjadi bahan buruan manusia. Tetapi satu populasi mamot terus bertahan di Pulau Wrangel, Siberia sebelum akhirnya pupus pada 1700 SM. Memandangkan sumber makanan yang terhad, saiz mereka juga sedikit kecil berbanding mamot berbulu sekaligus menyebabkan mereka digelar mamot kerdil.

9. Mumia mamot

Sehingga hari ini, di sesetengah tempat yang beriklim sejuk seperti Siberia dan Alaska, ada saja penemuan mamot dalam keadaan sudah bermumia. Ini berikutan keadaan cuaca yang sejuk dan tersimpan dalam bentuk blok ais membolehkan struktur dan kulit badannya masih kekal utuh. Untuk mengeluarkannya bukanlah satu usaha yang mudah tetapi untuk mengekalkan kedua-duanya itu daripada rosak bila terdedah kepada suhu bilik jauh lebih sukar.

10. Pengklonan mamot

Disebabkan mamot pupus dalam tempoh tidaklah terlalu lama dan kaitannya dengan gajah moden, wujud kemungkinan saintis mengekstrak DNA mamot dan menghasilkan fetus untuk diletakkan dalam spesis pakiderma termasuk gajah. Proses ini dikenali sebagai proses membalikkan semula kepupusan. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.