10 Cara Untuk Mencari Pasal Dengan Staf Hospital Atau Doktor

1,346

1. Beritahu mereka bahawa anda mempunyai hubungan dengan pengarah hospital, pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun pakar dalam hospital tersebut seperti;

“Saya kenal pengarah hospital ni tau”, atau

“Director General KKM tu sedara belah dua pupu saya punya suami angkat tau”

Pastikan anda mengulang ayat ini seberapa banyak kali yang boleh/

Penerangan – Pihak hospital tidak akan memilih bulu, tidak kira anda berpangkat besar, atau tidak bekerja, mereka tetap akan mengutamakan pesakit mana yang paling teruk keadaannya.

2. Pastikan anda membuat aduan secara verbal mengenai semua perkara di hospital sama ada yang berkaitan dengan hospital, contohnya:

“Kenapa makanan di hospital ni tak sedap?”

“Kenapa bantal kat ward ni tak cukup keras macam yang ada dekat rumah saya”, atau yang tidak berkaitan dengan hospital, contohnya;

“Kenapa kalau tak bayar PTPTN tak boleh keluar negara?”

“Kenapa halaju lebuhraya masih 110 kilometer sejam?”

Penerangan – Aduan yang terbaik adalah melalui peti aduan yang terdapat di setiap tingkat di hospital, dan KKM juga menerima aduan secara atas talian menerusi laman web SISPA

3. Ketika pesakit baru sahaja meletakkan punggung di atas katil di wad, anda sebagai waris perlu bertanya secepat mungkin kepada doktor “Bila boleh discharge?”

Penerangan – Pesakit hanya boleh balik sekiranya segala ujian darah dan pemerhatian klinikal menunjukkan pesakit cukup sihat dan stabil untuk diberi kebenaran untuk pulang.

Para doktor tidak akan ‘menyimpan’ pesakit lebih daripada masa yang diperlukan kerana mereka sedar akan risiko jangkitan kuman yang terdapat di hospital. Lagipun, bilangan katil yang terhad membuatkan doktor memberikan anda untuk discharge sejurus selepas anda pulih dan memberi peluang untuk pesakit lain yang memerlukan rawatan.

4. Bawa anak-anak anda yang berumur kurang 12 tahun walaupun terang-terang bertulis “KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 12 TAHUN DILARANG MASUK” dan apabila anda dihalang oleh pegawai keselamatan, pastikan and sedia untuk bergaduh dengan membuka baju serta mengacukan kamera video untuk mendapatkan seramai mungkin views di Facebook mahupun Youtube.

Penerangan – Kajian menunjukkan puluhan jenis kuman yang boleh mempunyai keupayaan untuk menjangkiti pelawat di wad, terutama sekali kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun, di mana sistem imunisasi mereka masih belum efektif sepenuhnya. Kawasan hospital juga mempunyai bilangan bakteria yang teramat tinggi dan tidak disyorkan untuk anda membawa anak-anak anda yang masih kecil untuk melawat.

5. Maki, marah dan mencarut kepada jururawat sekiranya anda mendapati mereka tidak menukar lampin ayah/ibu anda, tidak menyuapkan makanan dan tidak memandikannya.

Penerangan – Tugas hakiki seorang jururawat tidak termasuk menukar lampin, menyuap makanan dan minuman serta memandikan pesakit. Itu tugas anda sebagai waris pesakit. Para jururawat kadangkala membuat tugas-tugas berkenaan atas dasar kasihan dan perikemanusiaan terhadap pesakit yang seringkali diabaikan oleh warisnya.

6. Tipu dan jangan mengaku apa-apa yang ditanya oleh doktor. Daripada tidak pernah mengambil dadah, sehinggalah tidak pernah melakukan seks, anda perlu menipu. Apabila ultrasound scan mendapati ada janin di dalam uterus anda, buat-buat hilang ingatan, gila atau dirasuk hantu raya secara serta-merta.

Penerangan – Segala persoalan yang ditanyakan oleh doktor mengkehendaki anda untuk beritahu secara jujur, kerana hal ini bukan untuk kebaikkan doktor dan staf hospital, sebaliknya hal ini untuk kebaikkan anda sendiri. Lagi jujur anda beritahu semua, lagi cepat dan senang para doktor membuat diagnosis dan memulakan rawatan untuk menyembuhkan apa-apa penyakit anda.

7, Tinggalkan ubat, tak perlu makan langsung, dan kemudian, apabila penyakit anda semakin teruk, salahkan doktor.

Penerangan – Compliancy, atau pengambilan ubat perlu diselaraskan dan diambil mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh doktor mahupun ahli farmasi. Sekiranya anda sememangnya dah tahu anda tak akan makan pun ubat tersebut, sila terus terang dan cakap dengan doktor, kerana hospital membazir jutaan ringgit setahun membeli ubat, dan memberikan kepada pesakit, yang kemudiannya dibuang begitu sahaja. Hentikan perbuatan keji dan pentingkan diri sendiri ini, perbuatan ini hanya akan menyebabkan para pesakit yang betul-betul memerlukan rawatan tidak mendapat ubat yang secukupnya.

8. Salahkan doktor atau jururawat kerana disebabkan mereka, wad sentiasa penuh.

Penerangan – Orang yang patut anda persalahkan apabila wad sentiasa penuh adalah pesakit sendiri, bukan doktor mahupun staf hospital. Nak marah? Pergilah ke katil pesakit, dan marah mereka,

“Kenapa time aku demam selesema ni, time tu lah pakcik ni nak sakit jantung pulak. Sudahnya, aku kena tunggu sampai 30 minit sebab orang tua tu lah punya pasal!”

Kelewatan memberikan rawatan adalah disebabkan oleh nisbah pesakit dan doktor terlalu jauh, disamping mentaliti pesakit yang sering menyalahgunakan perkhidmatan di hospital, yang mana contoh yang terbaik adalah di wad kecemasan.

9. Offer the doctor/health staff to marry your single son/daughter

Penerangan – Ni, no komen 😛

10. Ambil gambar di dalam wad walaupun dah terang lagi bersuluh tulis “DILARANG MENGAMBIL GAMBAR DI DALAM WAD”.

Penerangan – Baik pesakit, mahupun perawat, minta jangan ambil gambar di ruang wad, yang mana gambar pesakit-pesakit lain terdedah. Jika anda ingin ambil gambar di kaunter jururawat sekalipun, tolong pastikan tiada whiteboard di belakang yang tertulis nama pesakit. Ini salah satu punca breach privacy and confidentiality seorang pesakit.

Baiklah, itu sahaja setakat ini ya. Pastikan anda jangan cuba pula buat perkara-perkara yang saya tulis ni. Haa, siapa buat, saya cubit medulla oblongata dia

#iMedArt #iMedEx

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.