PAKAIAN BERJAHIT TERTUA DI DUNIA

Baju Tarkhan merupakan baju paling tua setakat yang diketahui. Baju ini ditemui oleh William Flinders Petrie pada tahun 1912, di dalam salah sebuah makam yang terletak di Tarkhan, 50 km (31.07 batu) arah selatan dari Kaherah. Walau setelah ditemui, kehadiran baju ini tidak disedari sehinggalah ia diasingkan daripada longgokan kain linen kotor yang dihantar ke Muzium Victoria dan Muzium Albert di London pada 1977 bagi tujuan penyimpanan.

Baju linen berleher-V ini masih dalam keadaan terpelihara dan mempunyai lengan yang berlipat. Pada tahun 2016, pentarikhan karbon dilakukan ke atas Baju Tarkhan dan hasil ujian mendapati ia berasal dari tahun 3482-3102 SM, iaitu pada zaman Dinasti Pertama Mesir. Pada hari ini, baju tersebut menjadi sebahagian daripada koleksi UCL Petrie Museum of Egyptian Archaeology di London.

PATUNG KAYU BERUSIA 11 000 TAHUN

Berhala Shigir merupakan salah satu hasil kayu paling ajaib dari zaman prasejarah. Saintis mendapati usia patung tersebut mencecah 11 000 tahun, sekaligus menjadikannya patung kayu paling tua di dunia. Berhala Shigir berukuran 2.8m (9.2 kaki) tinggi.

Sebelum patung ini mengalami kerosakan pada era Soviet, ketinggiannya mencecah 5.3m (17.4 kaki). Patung Shigir diukir dari sebatang pokok dan dicampur dengan bahan-bahan daripada batu. Bahagian badan patung Shigir berbentuk segi empat tepat yang rata dan bahagian dadanya terdapat garis-garis melintang, seakan-akan mewakili tulang rusuk.

Antara elemen menarik pada patung ini adalah anggotanya yang terbahagi kepada tujuh bahagian. Ahli akademik mengandaikan bahawa ia menyimbolkan hierarki sosial. Mereka juga berpendapat tulang pipi yang tinggi dan hidung patung yang mancung mencerminkan wajah sebenar pencipta patung berkenaan.

KEJU KURUN KE-13 SM

Semasa ahli arkeologi meneroka sebuah makam dari kurun ke-13 SM milik Pthames, iaitu datuk bandar Memphis pada zaman Mesir Purba, mereka menemukan sejumlah balang yang telah pecah. Salah sebuah balang tersebut mengandungi pepejal putih yang mampat dan fabrik kanvas yang mungkin digunakan untuk menutup balang atau melindungi pepejal berkenaan.

Untuk mengenal pasti kandungan pepejal tersebut, pihak penyelidik pun melarutkannya lalu menyaring protein yang terkandung di dalamnya, sebelum melakukan analisa dengan menggunakan cecair kromatografi dan spektrometri jisim. Peptida-peptida yang dikesan melalui teknik tersebut mendapati pepejal itu adalah produk tenusu yang dihasilkan daripada susu lembu dan susu kambing. Dalam erti kata lain, pepejal yang ditemui di makam Pthames itu adalah keju – antara yang tertua di dunia.

PERMAIDANI PAZYRYK

Permaidani Pazyryk merupakan salah satu contoh permaidani tertua yang wujud sehingga ke hari ini. Permaidani tersebut ditemui dalam keadaan hampir sempurna, tersimpan di sebuah makam diraja yang terletak di Lembak Pazyryk, Siberia. Berdasarkan ujian pentarikhan yang dilakukan, ahli arkeologi mendapati ia berusia seawal kurun ke-5 hingga kurun ke-4 SM.

Makam tempat permaidani ini ditemui telah dirompak pada dahulukala. Habis kesemua barangan berharga dalam makam tersebut dilarikan, menyisakan barangan yang dianggap kurang bernilai, seperti permaidani. Lebih daripada itu, mereka juga tidak menutup semula makam setelah menggeledahnya.

Akibatnya, air pun melimpah masuk dan menggenangi Permaidani Pazyryk. Pada musim sejuk, air tersebut membeku sekaligus membentuk lapisan pelindung di atas permaidani. Disebabkan adanya lapisan ais inilah makanya permaidani tersebut tidak reput. Keadaan permaidani terpelihara dengan begitu sempurna hinggakan warnanya tidak luntur hingga ke hari ini.

Corak pada permaidani ini melibatkan sebuah petak besar yang diisi oleh 24 buah petak kecil. Dalam setiap petak tersebut pula terdapat corak silang yang membentuk empat kelopak teratai. Petak besar itu tadi dikelilingi oleh bingkai yang bercorak griffin, disusuli oleh bingkai bercorak rusa. Bingkai paling luar pula bercorak pahlawan berkuda dan tentera pejalan kaki.

Karyawan yang menghasilkan Permaidani Pazyryk ini mencurahkan banyak perhatian ketika melukis corak-corak berkenaan, hinggakan setiap rusa digambarkan bersama organ dalamnya sekali, seperti hati, usus, dan sumsum. Permaidani ini disulam menggunakan teknik yang dikenali sebagai ‘simpulan berganda simetri, atau simpulan-Turki’ dan secara keseluruhan, ia mempunyai lebih 1 250 000 simpulan.

Pihak penyelidik masih belum dapat mengenal pasti asal-usul permaidani ini. Ada yang mengandaikan ia berasal dari Parsi, sambil ada pula yang mendakwa ia sememangnya berasal dari Asia Tengah, rantau yang menyaksikan berlakunya interaksi antara tamadun Scythia dan Parsi.

GELANG DENISOVA

Gelang tertua di dunia dihasilkan daripada batu hijau yang digilap dengan begitu teliti. Gelang yang diperkirakan berusia 40 000 tahun ini ditemui pada tahun 2008 di daerah Altai, Siberia. Memandangkan lokasi tepat penemuannya adalah di Gua Denisova, maka saintis menyimpulkan bahawa gelang tersebut dihasilkan oleh manusia Denisova. Hal ini sekaligus membuktikan bahawa mereka jauh lebih maju dari apa yang disangka, kerana teknologi pembuatan hanya tersebar luas pada era-era terkemudian, khususnya Neolitik.

Bagi masyarakat purba, barangan kemas dianggap mempunyai kuasa ajaib. Kebiasaannya, gelang dan kalung leher dipakai oleh mereka untuk melindungi diri dari semangat jahat. Ketelitian dalam penghasilan gelang ini mengisyaratkan bahawa pemiliknya mempunyai status yang tinggi dalam kalangan masyarakatnya.

BUKU BERCETAK ANTARA TERAWAL DI DUNIA

Sebuah salinan manuskrip penting Buddha-Mahayana yang berjudul Sutra Berlian merupakan buku lengkap bercetak yang paling awal di dunia. Salinan ini ditemui oleh seorang sami Tao pada awal kurun ke-20 di Gua Mogau yang terletak di Dunhuang, China. Buku ini diperkirakan berusia seawal 868 Masihi. Sutra Berlian merupakan sebuah teks ringkas, di mana jika ia diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, jumlah patah perkataannya mungkin hanya dalam 6000 sahaja.

Walaupun pendek, ajaran yang terkandung di dalamnya sangat terperinci dan mempunyai pelbagai tafsiran. Ringkasnya, Sutra Berlian mengandungi pesanan kepada para pengikut Buddha supaya ‘membelah ilusi-ilusi realiti yang menyelubungi diri’ agar dapat menyedari apa itu hakikat yang sebenar.

ADUAN PELANGGAN PERTAMA DALAM SEJARAH MANUSIA

Tidak kira di mana pun manusia berada, layanan pelanggan yang memuaskan cukup sukar didapatkan. Itulah yang didedahkan oleh Nanni, seorang pedagang tembaga dari Babylon yang hidup pada 1750SM. Ketidakpuasan hati beliau diukirkan pada sebuah tablet tanah liat yang kini dipamerkan di Muzium British.

Tablet tersebut dianggap sebagai aduan pelanggan paling tua di dunia, di mana Nanni meluahkan kekecewaannya dengan panjang lebar terhadap urus niaga yang dilakukannya dengan Ea-Nasir. Terjemahan tablet tersebut adalah sebagaimana berikut:

“Beritahu pada Ea Nasir; Nanni menghantar pesanan berikut:

Sewaktu kamu datang (dahulu), kamu berkata pada aku, “Aku akan serahkan jongkong-jongkong tembaga yang berkualiti kepada Gimil-Sin.” Kemudian, kamu beredar (begitu sahaja) yanpa memenuhi janji yang kamu lontarkan pada aku. Kamu letakkan jongkong-jongkok tidak berkualiti di hadapan utusan aku (Sit-Sin) lalu berkata, “Kalau kamu mahu mengambilnya, ambil sahajalah. Kalau tidak mahu, tolong berambus!”

Kamu kira aku ini siapa sehingga kamu melayan aku sedemikian hina? Aku sudah pun hantar utusan demi utusan yang budiman untuk mengambil semula beg duit aku (yang aku serahkan kepada kamu sebagai bayaran deposit). Tetapi kamu tetap juga melayan aku dengan hina dan mengusir mereka dengan tangan kosong. Malah, mereka terpaksa melalui wilayah musuh.

Belum pernah pedagang yang berdagang dengan (persatuan) Tilmun melayan aku sebegini rupa. Kamu seorang sahaja yang melayan utusan aku dengan hina. Tentang hal remeh antara kita, iaitu wang perak yang aku berhutang pada kamu, memang kamu layak mengungkit tentangnya. Namun, ingatlah bahawa aku sudah pun serahkan 1080 paun tembaga kepada istana bagi pihak kamu, umi-abum juga telah diberikan 1080 paun tembaga – ini, aku lakukan tanpa tertakluk pada apa yang telah kita sepakati dalam tablet mohor yang tersimpan di kuil Samas.

Nah bagaimana kamu membalas budi aku tentang pemberian tembaga itu? Kamu menahan beg duit aku di wilayah musuh; dan sekarang aku minta kamu kembalikan duit aku itu dengan jumlah penuh.

Dan ketahuilah, mulai sekarang, aku tidak akan menerima sebarang tembaga buruk daripada kamu. Mulai sekarang juga aku akan memilih dan mengambil sendiri jongkong-jongkong tembaga, dan aku enggan berurusan dengan kamu lagi kerana kamu telah melayan aku dengan begitu hina.”

KASUT KULIT BERUSIA 5500 TAHUN

Kebanyakan bahan organik seperti kulit haiwan yang dipakai oleh masyarakat Paleolitik atau Neolitik telah pun reput tanpa dapat kita saksikan pada hari ini. Walau bagaimanapun, dengan persekitaran yang sesuai, bahan-bahan organik dapat bertahan mengharungi peredaran zaman. Misalnya, kasut kulit berusia 5500 tahun yang ditemui di sebuah gua di Armenia. Kasut ini bersaiz kecil, kira-kira saiz kasut wanita jika mengikut piawai Eropah dan Amerika.

Kasut prasejarah ini dapat mengekalkan bentuknya berkat persekitaran dalam gua yang sejuk dan kering, di samping lapisan najis kambing yang menutupinya, persis seperti pengedap cuaca. Selain kasut, antara yang turut ditemui di dalam gua itu adalah bekas-bekas pengisi gandum, barli dan aprikot.

Sehingga kini, ahli arkeologi masih belum menemukan jawapan mengapa barangan tersebut ditinggalkan di situ. Antara hipotesis yang dikemukakan adalah ia disimpan atau disembunyikan pada masa-masa konflik. Mungkin juga ia dibiarkan di dalam gua tersebut sebagai sembah korban buat dewa.

SELUAR TERTUA SETAKAT YANG DITEMUI

Pada tahun 2014, sepasukan ahli arkeologi menjalankan ekskavasi di makam-makam yang terletak di bahagian barat China. Dalam ekskavasi tersebut, mereka menemui rangka milik dua orang penternak nomad bersama sehelai seluar berusia 3000 tahun – dipercayai seluar paling tua pernah ditemui. Penemuan ini mengesahkan lagi teori yang mengusulkan berlakunya peralihan dari penggunaan tunik kepada seluar dalam kalangan masyarakat nomad pada waktu itu.

Seluar ini dihasilkan daripada kain bulu dan mempunyai corak-corak di bahagian kakinya. Ia dijahit daripada tiga helai kain bulu berwarna perang; sehelai untuk bahagian selangkang dan dua helai lagi untuk kedua-dua belah kaki. Seluar ini turut dilengkapi dengan poket di kedua-dua sisi dan tali untuk mengikat pinggang.

TERJEMAHAN:

Ancient Origins. (28 Ogos 2018). Ten of the Oldest Everyday Items Ever Found.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/ten-oldest-everyday-items-0010619


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.