10 Bahasa Yang Paling Terancam Dan Bakal Pupus

1,759

Dalam 195 buah negara yang membentuk dunia ini, wujud lebih 7000 buah bahasa yang masih hidup dan diamalkan. Menurut senarai bahasa-bahasa yang terancam yang dikeluarkan oleh UNESCO, lebih separuh daripada angka tersebut akan pupus menjelang tahun 2100. Terdapat beberapa tahap yang menjadi pengukur kadar terancam bagi sesebuah bahasa, iaitu:

  • Terdedah kepada ancaman – Kebanyakan golongan belia menuturkan bahasa tersebut, namun pengamalannya hanya terhad kepada tempat tertentu (hanya bertutur di rumah, misalnya).
  • Terancam dengan pasti – Golongan belia tidak lagi mempelajari bahasa tersebut sebagai ‘bahasa ibunda’ di rumah.
  • Sangat terancam – Bahasa tersebut dituturkan oleh orang-orang tua (bertaraf datuk-nenek), sementara golongan ibu bapa mungkin memahaminya namun mereka tidak menuturkannya kepada anak-anak atau sesama mereka.
  • Terancam dengan kritikal – Penutur yang paling muda bagi bahasa tersebut adalah dari golongan datuk-nenek dan warga emas, dan mereka tidak menuturkannya secara menyeluruh atau kerap.
  • Pupus – Tiada lagi ada lagi penutur bagi bahasa tersebut.

Menurut pendefinisian UNESCO, sesebuah bahasa itu dikelaskan sebagai terancam apabila ia tidak diajarkan oleh penutur tua kepada golongan belia dan ia tidak lagi dituturkan dalam kehidupan seharian. Status terancam bagi bahasa tersebut akan berubah menjadi kritikal jika penutur yang masih hidup adalah dari golongan warga emas dan ia dituturkan dalam kalangan masyarakatnya sahaja.

Selain itu, sesebuah bahasa juga boleh dianggap terancam jika ia menerima tekanan yang besar dari luar. Contoh bagi situasi ini dapat dilihat dengan jelas pada bahasa-bahasa asli di Amerika Utara yang kebanyakannya telah terancam dan pupus. Semasa kolonisasi di Amerika sedang rancak berlaku, lebih separuh dari keseluruhan bahasa asli di sana mengalami kepupusan akibat kebanyakan penuturnya dibunuh secara beramai-ramai. Pada tahun 1994, dianggarkan terdapat kira-kira 155 buah bahasa asli yang masih berbaki di Amerika Syarikat. 135 daripadanya dikelaskan sebagai terancam memandangkan golongan belia di sana lebih cenderung bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Dalam separuh daripada 7000 buah bahasa di dunia yang dikategorikan sebagai terancam itu, bahasa-bahasa yang dituturkan oleh masyarakat asli di Malaysia juga tidak terkecuali. Di samping dua buah bahasa kaum Sarawak asli iaitu Seru dan Lelak yang dilaporkan telah pun pupus, terdapat beberapa buah bahasa asli lain yang dikelaskan sebagai terancam. Antaranya adalah bahasa Kejaman, Miriek dan Kristang.

Hal ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Professor Dator’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi pada tahun 2017 yang lalu. Bahasa Bidayuh dan Kelabit juga ikut dimasukkan ke dalam program pemeliharaan berikutan statusnya yang dianggap telah terancam.

Dalam artikel ini, penulis ingin kongsikan 10 dari sekalian buah bahasa asli yang dilaporkan bakal pupus tidak lama lagi:

RESIGARO

Resigaro adalah satu bahasa bagi warga asli Amazon di Peru. Sejak kematian penutur wanita terakhirnya pada tahun 2016, hanya terdapat seorang sahaja penutur bahasa ini yang masih hidup, iaitu Pablo Andrade. Oleh kerana itu, bahasa ini dianggap sebagai salah satu bahasa yang paling terancam di dunia, walaupun penutur tunggalnya itu sedang mengusahakan satu projek pendokumentasian bahasa itu sejak tahun 2016 lagi.

CHAMICURO

Sebuah lagi bahasa masyarakat asli Peru yang dikelaskan sebagai terancam adalah Bahasa Chamicuro. Penggunaan bahasa ini digantikan sepenuhnya oleh Bahasa Sepanyol, meninggalkan hanya 8 orang penutur sahaja yang masih hidup, sebagaimana yang dilaporkan oleh para penyelidik pada tahun 2008. Malangnya, keadaan sudah terlambat untuk menyelamatkan bahasa ini.

NGAN’GIKURUNGGURR

Bancian yang dilakukan pada tahun 2016 mendapati bahawa terdapat kira-kira 26 orang penutur bahasa masyarakat asli dari Australia ini, mengisyaratkan bahawa bahasa ini akan pupus tidak lama lagi. Namun, bahasa ini dianggap dapat dipelihara walau hanya di atas kertas. Hal ini kerana usaha penyelidikan dan pendokumentasian bahasa tersebut berlangsung sempurna, di mana dikatakan bahawa terdapat kira-kira 27 buah jurnal akademik berkenaan bahasa Ngan’gikurunggurr.

ALAWA

Alawa merupakan sebuah lagi bahasa kaum asli dari Australia. Turut dikenali sebagai Galawa atau Waliburu, bahasa ini mempunyai 18 orang penutur pada tahun 1944 dan angka tersebut mengecil sehingga 4 orang sahaja pada tahun 2016. Berkemungkinan besar keempat-empat orang itu merupakan penutur terakhir bahasa ini, menjadikannya bakal pupus dalam beberapa tahun akan datang.

AINU

Dengan hanya kurang dari 15 orang penutur sahaja yang masih hidup, yang kesemuanya adalah warga emas, bahasa kaum asli dari Jepun ini dikategorikan sebagai bahasa yang secara kritikal terancam. Mujur, banyak usaha yang dilaksanakan bagi tujuan memelihara dan menghidupkannya semula, dan masih belum terlambat untuk mewariskan bahasa ini kepada generasi mendatang.

DUMI

Merupakan bahasa bagi masyarakat asli dari Nepal, Dumi dilaporkan memiliki kira-kira 200 orang penutur yang masih hidup pada tahun 2007. Pun begitu, bahasa ini dianggap bakal pupus kerana penutur yang berstatus ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka mempelajari bahasa Dumi.

N|UU

N|uu adalah bahasa yang masih dituturkan oleh 7 orang di Afrika Selatan. Pada asalnya, bahasa ini merupakan bahasa pertuturan bagi kaum Khomani. Akibat tekanan dari ancaman luar, ramai masyarakat Khomani memilih untuk meninggalkan bahasa ini dan menuturkan bahasa Afrika.

YUCHI

Bahasa bagi masyarakat asli Amerika ini hanya mempunyai 4 orang penutur pada tahun 2013. Walaupun dilanda ancaman kepupusan, bahasa ini dipercayai bakal dipelihara menerusi pendokumentasian dan rakaman video berkat usaha-usaha yang giat dilakukan.

TER SAMI

Ter Sami adalah bahasa yang dituturkan oleh sekitar 10 orang di Russia. Seperti Niuu, penggunaan bahasa ini hampir digantikan sepenuhnya oleh bahasa Russia. Terdapat sejumlah pendokumentasian bagi bahasa ini, namun hal itu tidak menghalangnya dari terus dilanda kepupusan.

CHULYM

Menurut bancian yang dibuat pada tahun 2010, terdapat 44 orang sahaja penutur bagi bahasa ini. Penutur termudanya pada waktu itu berusia 54 tahun, membuatkan bahasa kaum Chulym Tatar, kaum yang mendiami Tomsk Oblats dan Krasnoyarsk Krai di Russia bakal hilang dari dunia.

KESAN KEPUPUSAN SESEBUAH BAHASA

Kematian sesebuah bahasa mungkin bukanlah suatu perkara yang memberikan impak langsung pada diri kita secara umum, jika ditanggapi hanya pada permukaan lebih-lebih lagi di zaman yang serbi-serbi materialistik ini. Namun, pada hakikatnya bahasa memegang suatu keupayaan yang tidak hanya terhad sebagai medium komunikasi. Sebaliknya, bahasa adalah kunci kepada keunikan dan identiti sesebuah bangsa yang setiap satu bangsa memiliki warisan kebudayaan yang amat mengasyikkan.

Kematian sesebuah bahasa bermaksud matinya kefahaman jitu tentang setiap satu perkataan yang terkandung di dalam bahasa tersebut. Misalnya, Bahasa Inuit memiliki 50 patah perkataan yang merujuk kepada salji. Angka yang tinggi ini mengisyaratkan signifikasi salji dalam kebudayaan masyarakat Inuit di samping permaknaan yang amat mendalam yang terkandung dalam setiap perkataan yang berbeza.

Jika kesemua 50 perkataan yang merujuk kepada salji itu hanya diterjemahkan secara umum sebagai ‘salji’ berikutan kepupusan bahasa itu dan ketidakfahaman tentang maksud mendalam di sebalik setiap perkataan itu, maka secara tidak langsung penterjemaah berkenaan bakal menghilangkan keunikan maksud salji bagi masyarakat Inuit.

Hal ini sekaligus bakal membuatkan kefahaman kita terhadap identiti dan budaya Inuit tidak mencerminkan perkara yang sebenar. Begitulah keadaannya bagi setiap bahasa yang dikelaskan sebagai terancam ataupun yang sudah pupus.

RUJUKAN

Nur Shahirah Osman. (10 Ogos 2017). Setengah dari bahasa dunia pupus termasuk beberapa bahasa etnik Sarawak – UNESCO. Sarawak Voice.
https://sarawakvoice.com/2017/08/10/setengah-dari-bahasa-dunia-pupus-termasuk-beberapa-bahasa-etnik-swak-unesco/

Sarah P Young. (9 Februari 2019). Ten of the Most Critically Endangered Languages in the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/nine-worlds-most-endangered-languages-0011455

The Borneo Post. (9 Jun 2012). UNESCO berusaha pelihara bahasa Kelabit dan Bidayuh. Borneo Post.
https://www.theborneopost.com/2012/06/09/unesco-berusaha-pelihara-bahasa-kelabit-dan-bidayuh/

The Guardian. (15 April 2011). Endangered languages: the full list.
https://www.theguardian.com/news/datablog/2011/apr/15/language-extinct-endangered

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.