Antara filem terbaik yang menceritakan krisis ekonomi di tahun 2008 – 2009 di Netflix ialah The Big Short. Selain daripada filem tersebut menghiburkan, dibintangi pula oleh pelakon ternama, dan juga sarat dengan maklumat, saya amat tertarik dengan sebuah dialog yang diucapkan oleh watak Ben Rickert (dilakonkan oleh Brad Pitt). Dialog tersebut seperti berikut:

“Every one percent unemployment goes up, 40,000 people die”

(setiap satu peratus pengangguran meningkat, 40000 orang mati)

Kadar pengangguran di Malaysia menurut International Monetary Fund (IMF) pada tahun ini ialah 4.9%. Memetik sumber yang sama, kadar pengangguran pada tahun 2019 ialah 3.3%. Cuba renungkan berapa ramai orang yang terkesan dengan pengangguran?

Tulisan kali ini bukanlah ingin membuktikan statistik tersebut. Walau hanya seorang sahaja yang mati disebabkan pengangguran, isu ini masih perlu diselesaikan. Matlamat tulisan kali ini ialah ingin membawa anda menyelam ke dalam otak ahli ekonomi tentang pengangguran dan bagaimana cara untuk menanganinya.

Salah siapa?

Sebelum abad ke-20, ahli ekonomi melihat kemiskinan sebagai masalah sosial yang besar dan perlu diberi perhatian. Akan tetapi di penghujung abad ke-19, pengangguran mula meningkat ditahap yang membimbangkan di Britain dan Amerika Syarikat. Sama seperti isu kemiskinan, pengangguran dianggap berpunca daripada diri sendiri. Oleh sebab itu, ahli ekonomi dan kerajaan tidak memandang isu tersebut dengan serius.

Seorang aktivis sosial, ahli ekonomi, dan bangsawan  berbangsa Inggeris yang bernama Beatrice Webb menghasilkan The Minority Report iaitu dokumen pertama yang membentangkan konsep dan dasar negara kebajikan. Antara kandungan dokumen tersebut ialah “tugas untuk mengurus pasaran buruh negara bagi mengurangkan pengangguran sepatutnya diletakkan di bahu seorang menteri”.

Maka daripada situ, wujudlah istilah baru di mata ahli ekonomi dan kerajaan iaitu pengangguran luar kawal (involuntary unemployement). Bukan itu sahaja, lahirlah juga pendapat alternatif iaitu bukan semua orang menganggur berpunca daripada diri sendiri tetapi juga keadaan ekonomi yang di luar kawalan individu.

Mahzab Klasikal lwn. Keynesian

 Secara umumnya, jumlah orang yang bekerja ditentukan dengan tahap upah benar (real wages). Upah benar ialah tahap upah/gaji berbanding dengan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan. Semasa krisis ekonomi, harga barang cenderung untuk turun lebih cepat berbanding gaji. Hal ini disebabkan kurangnya permintaan daripada pengguna maka harga pun turun. Ingat lagi semasa PKP dulu, harga minyak turun sehingga RM 1.50? Itu antara contoh harga barang yang turun semasa krisis.

Harga barang turun semasa krisis ekonomi tapi kebanyakan pekerja tidak mahu turnkan gaji. Maka tahap upah benar pun meningkat. Apabila tahap upah benar meningkat, maka semakin ramailah orang yang mahu kerja. Akan tetapi, permintaan untuk buruh/pekerja akan menurun kerana kadar upah benar yang tinggi. Oleh sebab berlakunya situasi tersebut, kadar pengangguran pun meningkat.

 Bagi mahzab klasikal, mereka percaya kepada pasaran bebas. Mereka agak tidak setuju campur tangan kerajaan dalam ekonomi. Dalam soal pengangguran juga begitu, biar pasaran yang uruskan isu itu. Mereka percaya bahawa pasaran bebas akan bertindak secara automatik dan membetulkan sebarang ketidakseimbangan yang ada dalam pasaran termasuk pengangguran. Oleh yang demikian, pengangguran akan berkurang dengan sendirinya.

Bagi mahzab klasikal lagi untuk mengurangkan pengangguran lebih-lebih lagi semasa krisis ialah penganggur perlu memberi tekanan kepada industri/majikan untuk merendahkan gaji/upah dengan sanggup untuk menerima gaji yang lebih rendah. Oleh sebab ahli ekonomi klasikal percaya kepada pasaran, mereka yakin yang pasaran cukup fleksibel untuk menurunkan tahap upah benar. Oleh itu, pengangguran dapat diatasi ketika krisis apabila industri/majikan menawarkan gaji yang lebih rendah dan penganggur sanggup bekerja dengan gaji rendah.

Kemelesetan Agung 1929 (The Great Depression) pun melanda. Seorang ahli ekonomi terkemuka ketika itu John Maynard Keynes memerhatikan bahawa pasaran tidak berfungsi seperti biasa ketika kemelesetan itu berlaku. Oleh sebab itu juga, pasaran yang didakwa mampu membawa kesimbangan dengan sendirinya tidak mampu untuk mengawal pengangguran yang tinggi ketika itu. Mengapa boleh berlaku sedemikian?

Keynes berpendapat bahawa agak sukar untuk orang menerima gaji yang lebih rendah. Siapa nak terima gaji lebih rendahkan? Secara teori memanglah industri ataupun syarikat boleh turunkan gaji dan ambil pekerja tetapi hal ini tidak berlaku semasa Kemelesetan Agung 1929. Kalau majikan turunkan gaji pekerja mereka, hal ini akan mengakibatkan pekerja kurang motivasi seterusnya mengurangkan produktiviti.

Tambahan pula, apabila kemelesetan berlaku, kurangnya permintaan daripada pengguna sebab ramai yang tiada kerja apalagi duit. Kita ambil contoh PKP lagi, orang tidak boleh keluar rumah maka permintaan untuk minyak pun berkurang, harga minyak jatuh, maka keuntungan menurun dan mungkin rugi. Di mata majikan, kalau mereka ambil pekerja sekali pun pekerja akan tidak produktif dan hanya merugikan pihak majikan. Kurangnya permintaan mengakibatkan pengangguran.

Pengganda

 Keynes tidak melihat pengangguran luar kawal berpunca daripada diri sendiri tetapi solusinya di tangan kerajaan. Antara solusi yang dibawakan dalam mahzab Keynesian ialah menggunakan pengganda (multiplier). Konsepnya mudah, jika kerajaan meningkatkan pelaburan atau perbelanjaan, akan berlaku peningkatan permintaan lalu berlaku pula peningkatan dari segi ekonomi.

Keynes berpendapat bahawa kemelesetan akan membawa kepada satu kitaran yang sangat buruk. Hal ini demikian kerana apabila kemelesetan berlaku maka jualan (sales) akan jatuh kerana permintaan menurun disebabkan ramai yang menganggur. Jika majikan tidak membuat untung, maka lebih ramai akan dibuang kerja. Kitaran ini akan berterusan jika kerajaan tidak masuk campur.

Jika kerajaan masuk campur dengan merangsang permintaan, kitaran positif akan bermula. Kalau anda pernah dengar istilah-istilah “pakej rangsangan ekonomi” atau “projek rangsangan ekonomi” itulah contoh pengganda yang digunakan untuk merangsang permintaan. Antara contoh lain pengganda yang kita semua pernah dengar ialah Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Dengan adanya BPN, kita akan membelanjakan wang tersebut ke pasaraya dan sebagainya. Dalam tak sedar, kita telah mencipta permintaan. Semakin tinggi permintaan, semakin banyak jualan dan keuntungan, dan semakin banyak juga pekerja/buruh diperlukan untuk memenuhi permintaan tersebut. Akhirnya pengangguran dapat dikawal.

Kesimpulan

 Kesimpulannya, ketika zaman Kemelesetan Agung 1929 terdapat dua mahzab ekonomi bercakaran mengenai cara untuk mengurangkan pengangguran. Klasikal percaya bahawa pasaran akan selesaikan sendiri kadar pengangguran. Manakala Keynesian pula percaya kerajaan perlu suntik dana ke dalam ekonomi. Sejujurnya saya lebih cenderung kepada Keynesian. Sebagai penetup, pada pendapat anda, apakah solusi yang kerajaan perlu bentang dalam Belanjawan 2021 nanti untuk kawal pengannguran?

RUJUKAN:

Buckley, G., & Desai, S. (2011). What you need to know about economics. John Wiley & Sons.

International Monetary Fund. (2020). Malaysia and the IMF. IMF. https://www.imf.org/en/Countries/MYS

Kishtainy, N. (2012). The economics book. Dk Pub.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang yang meminati subjek politik, ekonomi, dan falsafah. Cenderung kepada konservatism, Keynesian, dan berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah. Namun begitu, saya hanyalah seorang guru di pusat pendidikan swasta dan bercita-cita melahirkan generasi intelektual dan bermoral tinggi serta bersedia mempertahankan agama, raja, dan negara.

Comments are closed.